Monday, September 6, 2010

Pihak ketiga 'ubat kuat' tingkat kualiti


Peranan pihak ketiga diharap dapat menguatkan kualiti pendidikan vokasional di negara ini. - GAMBAR HIASAN


PENGLIBATAN pihak ketiga dalam pendidikan teknikal dan vokasional mungkin boleh menjadi 'ubat kuat' yang akan meningkatkan kualiti di sekolah menengah vokasional (SMV).

Perkara itu yang dicadangkan oleh Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) - dalam usaha penjenamaannya - telah menamakan beberapa agensi latihan untuk bekerja sama seperti Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB), Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Cadangan itu akan meliputi kedua-dua tahap kemahiran dan vokasional.

Dalam proses yang dicadangkan itu, entiti latihan dengan pihak ketiga akan disulam dengan program kemahiran tahap dua dan tahap satu, masing-masing bagi program kemahiran dan vokasional.

Walau bagaimanapun, entiti akademik di bawah Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) tetap kekal.

Bagi program kemahiran, adalah dicadangkan program dibahagikan kepada dua fasa - dua tahun fasa pertama untuk lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan baki dua tahun lagi fasa kedua untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagi dua tahun fasa pertama, lepasan PMR yang memasuki pendidikan vokasional akan mengikuti program asas matematik, komunikasi asas serta pendidikan Islam atau Moral melalui PBS.

Pada tahap dua tahun pertama itu, pelajar akan mengikut kurikulum sebanyak 70 peratus, yang meliputi Mata Pelajaran Vokasional (MPV) kolaborasi dengan MARA, CIDB, NATC atau Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), program traineeship, apprenticeship (perantisan) dan program bimbingan kerjaya.

Hal ini bermakna merkeka akan menerima dua bentuk sijil iaitu SPM dan sijil kemahiran/kecekapan.

Bagi fasa kedua, iaitu dua tahun selanjutnya - dikenali juga sebagai program lanjutan - pelajar yang pada ketika ini telah melepasi tahap SPM akan mengikuti kemahiran sehingga Tahap 3.

Pada tahap ini, dicadangkan pelajar mengkuti latihan perindustrian, mengikut kursus jangka pendek, program inkubasi keusahawanan dan artikulasi.

Selepas tamat pengajian mereka akan dianugerahi Sijil Kecekapan Kemahiran (tahap 3) dalam bidang tertentu seperti Gas Tungsten Arc Welding.

Bagi program yang bertahap vokasional, tempoh masa pembelajaran yang dicadangkan, juga adalah sama.

Namun komponen akademik dilebihkan iaitu 40 peratus dan 60 peratus lagi vokasional.

Hal ini kerana bagi yang mengikuti program vokasional, mereka perlu menduduki mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris, Sains, Sejarah serta Pendidikan Islam atau Moral.

Sukatan vokasional akan melebihkan program usaha sama dengan pihak ketiga, serta bimbingan kerjaya sebagai bonus.

Penglibatan pihak ketiga juga penting kerana kebanyakan agensi latihan ini menawarkan kemahiran sehingga tahap lima.

Selain itu, setiap agensi juga menawarkan sijil yang berlainan. Bagi JPK, sijil yang dikeluarkan ialah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), MARA mengeluarkan Sijil Profesional Kemahiran (SPK), CIDB mengeluarkan sijil Kecekapan Kemahiran (SKK) dan MTIB mengeluarkan sijil Kemahiran MTIB.

Kolaborasi dengan agensi latihan ini juga memberi beberapa implikasi yang positif seperti perkongsian prasarana.

Selain itu, secara tidak langsung akan berlaku peningkatan kemahiran dalam kalangan guru vokasional oleh agensi.

Pada masa yang sama, usaha ini dapat mempercepatkan penghasilan tenaga mahir pengajar.

Kolaborasi itu bermakna tiada pentaksiran oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) bagi subjek vokasional.

Program kerjasama juga bermakna kos operasi , pentadbiran, infrastruktur akan menjadi lebih rendah dan tiada yuran pendaftaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: