|
|
KUALA LUMPUR - Peruntukan untuk Bajet 2011 dijangka lebih tinggi berbanding jumlah tahun ini iaitu RM191.5 bilion, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (gambar).
"Peruntukan itu lebih tinggi kerana kita menjangkakan pendapatan yang lebih tinggi berbanding tahun ini, jadi kita bolehlah peruntukan jumlah yang lebih," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Majlis Perancangan Kewangan Malaysia mengenai Pembangunan Kewangan Islam di sini semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual membentangkan Bajet 2011 di Parlimen pada 15 Oktober ini.
Husni menjelaskan, terdapat banyak peruntukan untuk Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) memandangkan tahun depan merupakan tahun kedua pelaksanaannya dan sebagai tambahan, inisiatif di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) akan turut bermula tahun depan.
Ditanya sama ada peruntukan untuk NKRA dan NKEA akan menyaksikan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi, beliau berkata, sebahagian daripada peruntukan untuk NKRA dan NKEA ialah di bawah perbelanjaan pembangunan.
Kira-kira 70 peratus daripada perbelanjaan operasi ialah kos tetap yang termasuklah pembayaran pencen dan pembayaran semula hutang, tambah beliau.
Tahun lepas, Najib mengumumkan peruntukan 2010 berjumlah RM191.5 bilion, di mana RM138.3 bilion atau 72.2 peratus ialah untuk perbelanjaan operasi dan RM53.2 bilion atau 27.8 peratus untuk perbelanjaan pembangunan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: