Friday, September 17, 2010

Penghidap HIV rayu jangan disisih


Danaraj Samuel (kanan) banyak berkongsi pengalamannya untuk dijadikan pengajaran kepada generasi muda.


SETIAP hari masyarakat di negara ini didedahkan dengan maklumat mengenai HIV/AIDS, namun kesedaran terhadapnya masih tipis malah wujud pelbagai prasangka terhadap penghidapnya.

Stigma yang melingkari pemikiran masyarakat mesti dipinggirkan agar penghidap HIV/AIDS dapat menjalani kehidupan normal seperti insan lain.

Masyarakat sekeliling sepatutnya tidak menyisihkan mereka malah bantuan patut dihulurkan agar mereka berpeluang menjalani kehidupan dalam suasana yang menggembirakan.

Salah seorang penghidap HIV positif, Danaraj Samuel, mengakui dia disahkan menghidap penyakit membawa maut itu ketika berusia 26 tahun.

Lelaki berusia 42 tahun itu memberitahu, beliau berasa kehidupannya ketika itu tidak lagi bermakna kerana bila-bila masa sahaja dia akan mati.

''Apabila mendapati ujian darah saya HIV positif, saya betul-betul terkejut. Ketika itu saya merasakan dunia ini gelap dan hanya menunggu hari kematian menjelma.

''Menyesal pun tidak berguna kerana apa yang berlaku semuanya salah saya dan kini saya pasrah dengan apa yang telah berlaku,'' ujarnya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Danaraj tampil berkongsi pengalaman hidupnya sebagai mangsa HIV positif kerana ingin menyedarkan remaja-remaja di luar sana agar jangan mudah terpengaruh dengan kawan-kawan yang akhirnya membinasakan diri sendiri.

Bukan itu sahaja, dia berkali-kali mengingatkan bahawa dalam setiap apa jua yang dilakukan mesti ada batas-batasnya.

Menurut Danaraj, asalnya dia hanyalah seorang remaja bebas dan merupakan perokok tegar.

Tetapi atas ajakan kawan-kawan dan terdorong dengan perasaan ingin mencuba, akhirnya dia mula berjinak dengan ganja dan heroin.

Dari situ dia mula menjadi penagih dadah tegar dan akhirnya berkongsi jarum suntikan dengan rakannya tanpa mengetahui bahawa mereka sudahpun dijangkiti HIV.

''Pada waktu itu, pengetahuan tentang HIV masih kurang.

''Lagipun saya tidak terfikir akan dijangkiti HIV kerana hanya berkongsi jarum dengan seorang rakan sahaja dan tidak sangka rupa-rupanya dia sudahpun dijangkiti HIV.

''Segala-galanya sudah terjadi tetapi kini saya gembira dengan kehidupan hari ini sambil melakukan kebajikan,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: