Friday, September 17, 2010

Pada usia 100 tahun Solihati masih sihat


Siti Zainon (kanan) sentiasa akrab dengan ibunya.


KEDATANGAN bulan Syawal kerap mengingatkan detik-detik manis warga emas berusia lebih 100 tahun, Solihati Wahab terhadap suaminya, Jamaludin Sudin yang meninggal dunia di Mekah kira-kira 53 tahun lalu.

Dia yang berasal dari Pasar Rao, Sumatera, Indonesia, berkata, suaminya meninggal dunia di Mekah pada tahun 1957 ketika mengiringi ibunya menunaikan fardu haji.

Seterusnya, dalam keadaan sedih dan kesempitan hidup Solihati terpaksa membesarkan enam anaknya.

Namun tiga anaknya telah meninggal dunia dan kini hanya tiga yang masih hidup iaitu Abdul Rahman Jamaludin, 68, Siti Zainon, 65, dan Abdul Aziz ,58. Solihati cekal membesarkan anak-anaknya dengan menoreh getah di Kampung Batu Tiga, Temoh, Perak.

Ibu saudara bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid itu, terpaksa menoreh getah sendirian bagi menampung perbelanjaan makan minum dan sekolah anak-anaknya.

Hasil kegigihan itu, salah seorang anaknya, Abdul Rahman berjaya menjadi guru dan guru besar sebelum bersara beberapa tahun lalu.

Anak perempuannya Siti Zainon juga seorang guru, manakala anak bongsunya, Abdul Aziz memegang jawatan Pegawai Kebajikan Masyarakat.

"Walaupun mereka tidak memegang jawatan tinggi tetapi nenek bersyukur mereka tidak hidup susah macam dulu ketika masih kecil," katanya ketika ditemui di rumah anaknya di Kampar, Perak, baru-baru ini.

Solihati berkata, ketika arwah suaminya masih hidup mereka sekeluarga menjalankan ibadah puasa dalam suasana yang agak sederhana.

Namun kematian suaminya mengakibatkan kehidupan semakin sempit dengan mata pencariannya hanya menoreh getah, lima kali seminggu.

Bagaimanapun setelah anaknya bekerja, keadaan ahli keluarganya turut berubah apabila mereka mempunyai pendapatan tetap setiap bulan.

Solihati yang kini tinggal bersama Siti Zainon di Jalan Merbau, Taman Melayu Jaya, Kampar, Perak berkata, keadaan hidup orang kampung ketika pemerintahan Inggeris dan Jepun amatlah daif kerana mereka terpaksa bergantung kepada hasil pertanian yang diusahakan secara tradisi.

Keadaan hidup mereka katanya, berubah wajah apabila negara ini merdeka dan anak kampung diberi peluang belajar sehingga ke universiti.

Menurutnya, dia datang ke negara ini ketika berumur 10 tahun dan berkahwin dengan Jamaludin ketika berumur belasan tahun.

Beliau yang masih sihat dan kuat kecuali mempunyai masalah pendengaran berkata, sikap mahu menolong orang lain adalah antara amalan mulia yang disukai Allah.

"Allah akan menolong orang yang sentiasa berbuat baik sesama insan yang tidak gemar bersengketa," katanya.

Solihati berkata, generasi muda mestilah rajin bekerja jika mahu mendapat hasil yang tinggi dan sentiasa meningkatkan pengetahuan serta kemahiran.

Katanya, generasi terdahulu hidup menderita kerana tidak mempunyai ilmu yang tinggi dan tidak ada kemahiran sesuai untuk meningkatkan pendapatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: