Monday, September 13, 2010

Memori raya bidadari peragaan




KETIKA melangkah masuk ke butik Calvin Thoo yang terletak di Lot 10, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, model tinggi lampai, Tengku Azura tetap jelita meskipun hanya mengenakan kemeja, jean potongan seluar Ali Baba dan sandal.

Tiba dengan wajah yang sedikit penat, rupa-rupanya Azura cuma sempat melelapkan mata kira-kira empat jam sahaja pagi itu.

“Apa khabar. Maaf terlewat sedikit sebab malam semalam saya ada sesi fotografi dengan Calvin Thoo. Kami selesai kerja sekitar pukul 5 pagi,” sapa Azura sejurus memasuki premis tersebut.

Tanpa berlengah dia terus duduk di atas kerusi dan bersiap sedia untuk ditata rias oleh dua jurusolek profesional iaitu Zulfazli Suhadi dan Vie Xiandra.

Persiapan bersolek dan mendandan mengambil masa sekitar 45 minit berjalan lancar memandangkan tidak sukar untuk memastikan raut wajah pemilik pingat emas Model World Championship of Performing Arts (WCPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) itu kelihatan jelita.

Menyarung busana pertama iaitu kaftan eksklusif berwarna hijau, Azura yang sudah 17 tahun berkecimpung dalam dunia peragaan banyak memberi aksi istimewa.


AIDILFITRI di kampung dan bersama keluarga menggamit nostalgia dua jelitawan ini.


Apabila beraksi di hadapan lensa kamera dengan memakai busana hari raya, anak pertama daripada dua beradik itu mengakui terkenang saat indah menyambut lebaran.

Azura atau nama sebenar Tengku Norazura Tengku Awang, 35, amat merindui pengalaman menyambut Aidilfitri ketika di bangku sekolah.

Alasannya kerana ketika itu dia dapat bermain bunga api bersama rakan-rakannya.

Secara terus-terang, Azura memberitahu, dirinya amat lasak dan mempunyai ramai kawan lelaki berbanding perempuan.

“Lepas berbuka, saya dengan kawan-kawan akan turun ke padang untuk bermain bunga api. Waktu itu memang seronok malah, kami selalu tidak sabar untuk tunggu waktu berbuka puasa kerana hendak bermain bunga api,” jelasnya sambil ketawa kecil mengenangkan memori kira-kira 25 tahun lalu.

Sakan kutip duit raya


BIARPUN bergelar ibu, Azura dan Zahnita tetap aktif di pentas peragaan.


Dibesarkan di Flat Taman Keramat, Kuala Lumpur, persekitaran pada pagi hari raya cukup indah kerana Azura tidak melepaskan peluang mengumpul duit raya dari rumah ke rumah.

“Kami pergi ke rumah jiran bukannya hendak makan biskut raya atau minum tetapi yang seronoknya apabila menunggu tuan rumah bagi duit raya.

“Bayangkan ada 40 unit rumah di flat kami, dapat RM1 satu rumah memang seronok. Bila habis melawat jiran kami akan kira jumlah berapa dapat, biasanya RM60 hingga RM100,” katanya lagi.

Namun, peredaran masa dan usianya kian meningkat, keseronokan itu sekadar menghiasi ruang fikirannya. Sebaliknya, ibu kepada dua cahaya mata itu kini lebih mengutamakan kemeriahan anak-anaknya.

Begitu juga dari segi persiapan, setiap tahun segala-galanya dilebihkan kepada Adam Mustaqim, 15, dan Ilyas Ammar, 8.

Dirinya cukup sekadar memakai busana yang masih banyak tergantung rapi di dalam almari. Namun, jika mempunyai masa terluang, Azura tetap akan memilih busana Aidilfitri yang baru.

Tahun lalu, wanita yang mempunyai ketinggian 178 sentimeter (cm) dan berkulit sawo matang itu hanya menyambut hari raya di ibu kota.

Bagaimanapun, dia mengakui tidak lengkap sekiranya berhari raya tanpa pulang ke kampung halaman kerana kemeriahan yang dinikmati cukup berbeza.

“Beraya di Kuala Lumpur, lepas solat dan bermaaf-maafan saya akan tidur. Aktiviti memang tidak ada, kawan-kawan pun balik kampung,” ujarnya.

Jadi, tahun ini Azura sekeluarga mengambil keputusan untuk bertolak pulang ke Kuala Terengganu dua hari sebelum hari raya.

Rutin yang akan dilaksanakan ketika berada di kampung adalah mengadakan kenduri kerana dengan cara sebegitu suasana hari raya benar-benar meriah.

“Masakan nasi dagang, pulut tapai dan lontong paling dirindui. Tetapi seperti biasa saya memegang tugas kemas rumah dan cuci pinggan sahaja.

“Masak memang saya tidak pandai,” akuinya lagi.

Terkenang arwah nenek


WALAUPUN bergelar model terkenal, Azura turut tidak melepaskan peluang membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman.


Sementara itu, model dan pelakon yang kian melonjak naik namanya, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 25, mempunyai cerita tersendiri setiap kali tibanya Syawal.

Sempat bersama arwah nenek selama lima tahun sahaja, ibu kepada seorang cahaya mata itu menganggap tempoh tersebut tidak cukup untuk melepaskan rindu.

“Saya dibesarkan di Australia, datang ke sini masa umur lapan tahun. Jadi saya berkesempatan beraya dengan nenek selama lima tahun sahaja.

“Bila nenek sudah tidak ada, raya setiap tahun tidak sebegitu meriah,” jelasnya yang anggun mengenakan kaftan berwarna merah jambu.

Bersembang rancak mengenai Aidilfitri tahun ini, Zahnita sudah memasuki tahun ketiga beraya sebagai isteri Abdul Zackery Ghous, 32, dan ibu kepada, Zahra Feena Abdul Zackery, 3.

Lebih bermakna dia sekeluarga akan beraya sakan di kediaman baru yang terletak di Sungai Buloh. Kegembiraan itu tidak dapat disorok melalui raut wajahnya.

“Mana boleh tidak gembira kalau pindah rumah baru. Walaupun penat perasaan tidak sabar memang ada, apatah lagi suami saya sendiri yang mengecat rumah baru kami,” jelasnya yang masih tidak begitu fasih berbahasa Melayu.

Syawal kali ini juga, Zahnita merancang untuk mengadakan rumah terbuka dengan sebahagian besar sajian pada hari itu seperti kek dan nasi beriani kambing akan dimasak sendiri.

“Inilah masa yang paling tepat kami sekeluarga berkumpul dan menikmati hidangan yang dimasak sendiri ,” ujarnya sambil mengakui dia lebih handal membuat kek keju berbanding biskut raya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: