Sunday, September 19, 2010

Medan interaksi siswa

MEREDAH hutan yang mempunyai kecuraman hampir 90 darjah dan menuruni batuan air terjun setinggi kira-kira 100 meter antara cabaran dihadapi 63 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang menyertai Ekspedisi Pendakian Mahasiswa IPT 1 Malaysia (Expema), baru-baru ini.

GEMBIRA...ceria sebelum memulakan pendakian.
GEMBIRA...ceria sebelum memulakan pendakian.

TRANSIT...Kem Baha menjadi tempat peserta mendirikan khemah untuk bermalam. TRANSIT...Kem Baha menjadi tempat peserta mendirikan khemah untuk bermalam. INDAH...kecantikan Gunung Stong yang masih belum diterokai sepenuhnya. INDAH...kecantikan Gunung Stong yang masih belum diterokai sepenuhnya. MENCABAR...laluan agam curam memerlukan tumpuan sepenuhnya dari pendaki. MENCABAR...laluan agam curam memerlukan tumpuan sepenuhnya dari pendaki. ALAS PERUT...menjamah makanan ringkas di dalam hutan. ALAS PERUT...menjamah makanan ringkas di dalam hutan. SIAP...mendirikan khemah di Kem Baha untuk bermalam. SIAP...mendirikan khemah di Kem Baha untuk bermalam.

INDAH...kecantikan Gunung Stong yang masih belum diterokai sepenuhnya.


Namun semua cabaran itu disahut oleh peserta yang menyifatkan pengalaman mengikuti ekspedisi itu adalah sesuatu yang berharga.

Expema yang julung kali dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu memilih Gunung Stong yang terletak di Hutan Simpan Dabong, Kelantan sebagai lokasi.


Menggunakan tema Mahasiswa Berkeyakinan Pencetus Transformasi, ekspedisi itu bertujuan membina keyakinan di samping mengeratkan hubungan di kalangan mahasiswa dari IPT berlainan.

Ketua Pengarah Expema, Ahmad Lokman Anuar berkata, ekspedisi selama empat hari itu menjadi ruang kepada mahasiswa untuk berinteraksi dan bertukar-tukar pendapat di samping membina jati diri.

Katanya, bukan mudah untuk menawan gunung yang mempunyai ketinggian 1,442 m itu kerana keyakinan dan kerjasama perlu ada dalam diri masing-masing.

"Ilmu yang dipelajari di bilik kuliah berbeza dengan keadaan sebenar kerana sesetengah ilmu dan pengalaman perlu ditimba di luar.

"Masyarakat sering beranggapan mahasiswa sebagai agen perubahan yang akan menyumbang kepada pembangunan negara, justeru, mereka perlu melengkapkan diri dengan nilai-nilai berkenaan sebelum melangkah keluar dari IPT," katanya.

Pendakian bermula di Kem Baha yang terletak di pertengahan antara kaki gunung dan puncak Gunung Stong.

Mereka dibantu oleh jurupandu dari Baha Adventure Team (BAT) yang mempunyai pengalaman luas dan tahu selok-belok gunung itu.

Ahmad Lokman berkata, pendakian selama empat jam untuk sampai ke puncak gunung sememangnya memenatkan dan mencabar kerana mereka berdepan keadaan bukit yang curam.

Katanya, sesetengah peserta cedera kerana kebanyakan mereka tidak pernah terbabit dalam aktiviti lasak sebelum ini.

"Pendakian ke puncak gunung penuh dengan cabaran dan ia memerlukan kekuatan fizikal dan mental selain tahap kesabaran tinggi.

"Namun apabila sampai ke puncak gunung, segala penat lelah kami seakan-akan terbang begitu saja sebaik mata dihidangkan dengan pemandangan cantik dan mengagumkan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Taman Negeri Gunung Stong tersenarai sebagai antara lima destinasi ekosistem terbaik di negara ini dan kaya dengan hidupan flora dan fauna, malah mempunyai gunung batu kapur berusia berjuta-juta tahun.

Menariknya, di gunung itu juga tersembunyi Air Terjun Jelawang yang seakan-akan membentuk huruf 'Y' kerana airnya mengalir dari dua gunung iaitu Gunung Stong dan Gunung Ayam.

Lebih membanggakan, air terjun setinggi 305 m dan mempunyai tujuh peringkat air terjun itu adalah yang tertinggi di rantau ini, sekali gus menjadikan Malaysia tumpuan penggemar aktiviti lasak.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Bioinformatik ini berkata, keunikan dan keindahan air terjun belum diketahui sepenuhnya oleh rakyat negara ini.

"Hutan Simpan Dabong ini boleh dikategorikan sebagai hutan dara dan kita sepatutnya berbangga kerana memiliki khazanah alam yang tidak ternilaii.

"Ekspedisi ini secara tidak langsung dapat menanamkan sikap cintakan alam sekitar di kalangan peserta dan kepentingan memelihara anugerah Tuhan ini," katanya.

Antara pengalaman paling mencabar adalah peserta dikehendaki menuruni batuan air terjun yang licin dengan ketinggian kira-kira 100 m.

Ada peserta yang pada mulanya mengaku kalah dan tidak berani melakukannya, tidak kurang juga yang ragu-ragu dengan tahap keselamatan mereka.

Setiap aktiviti yang dilakukan sepanjang ekspedisi itu dipantau dan dikendalikan sepenuhnya oleh BAT dan aspek keselamatan diletak pada tahap tertinggi.

Melihat bilangan peserta yang menyertai ekspedisi ini, pihak penganjur kini menimbang cadangan untuk melanjutkan ekspedisi ini pada masa akan datang.


PROFIL

NAMA: Muhammad Shafiq Daud
UMUR: 20 tahun
ASAL: Seri Kembangan, Selangor
KELUARGA: Kedua daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Pelajar tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Kepujian Ekonomi Industri Antarabangsa, UKM

EKSPEDISI ini adalah penyertaan pertamanya dalam aktiviti lasak dan dia terlalu teruja untuk memulakan ekspedisi itu.

Namun kurang pengalaman dan barang yang diletakkan di dalam beg galasnya terlalu banyak menyebabkan kakinya mengalami kekejangan di pertengahan pendakian itu.

"Entah di mana silapnya, kaki saya mengalami kekejangan teruk dan ketika itu terbit juga hasrat untuk mengundur diri akibat tidak tahan menanggung kesakitan.

"Namun saya kuatkan semangat untuk mendaki sehingga ke puncak apabila mendapat semangat daripada rakan dan juga urusetia ekspedisi ini," katanya.

Dia berkata, walaupun hanya dia seorang dalam kumpulannya mengalami masalah itu, semua ahli kumpulan tidak meninggalkannya, sebaliknya tetap setia menunggunya sehingga mampu berjalan semula.

"Semangat setiakawan dan kerjasama ditunjukkan oleh ahli kumpulan bagaikan meniup semula semangat saya untuk meneruskan cabaran ini.

"Kesakitan yang saya alami bagaikan hilang apabila berjaya menawan puncak gunung itu dengan dihamparkan dengan pemandangan indah," katanya.

Menurutnya, ekspedisi itu dijadikan peluang untuknya untuk melepas semua tekanan yang dihadapi ketika di kolej.


NAMA: Muhammad Asyraf Ismail
UMUR: 21 tahun
ASAL: Melor, Kelantan
KELUARGA: Kedua daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Pelajar tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal

BERTANGGUNGJAWAB membawa peti pertolongan cemas, tugasnya tidak ubah seperti paramedik yang memberi bantuan kecemasan kepada pelajar yang mengalami kecederaan.

Katanya, dia antara individu terakhir tiba di puncak gunung itu kerana sering tertinggal di belakang.

"Setiap kali peserta cedera, saya memberi rawatan dan menunggu sehingga mereka mampu berjalan sebelum meneruskan pendakian.

"Tugas saya berat kerana perlu memberi rawatan dengan menggunakan ubat-ubatan yang terhad," katanya.

Walaupun tugas itu membataskannya untuk menimba pengalaman pendakian yang sebenarnya, dia tetap berpeluang menikmati keindahan hutan yang belum diterokai itu.

Katanya, dia tidak terlalu mahir untuk merawat kecederaan serius, sebaliknya hanya sekadar mengetahui asas pertolongan cemas.

"Pengetahuan yang saya miliki itu saya gunakan untuk memberi rawatan kepada peserta yang cedera.

"Kebanyakan peserta mengalami kekejangan dan melecet, terutama di bahagian kaki, mungkin disebabkan tidak melakukan regangan sebelum memulakan pendakian.


NAMA: Saidah Sumaiyah Hamidon
UMUR: 22 tahun
ASAL: Johor Bahru
KELUARGA: Kedua daripada 11 beradik
PENDIDIKAN: Pelajar tahun ketiga Sarjana Muda Ekonomi

AKTIVITI lasak lazimnya sering menjadi pilihan golongan lelaki namun bagi gadis ini, tidak ada salahnya jika golongan wanita turut menyertai aktiviti seperti itu.

Sejak kali pertama mendaki gunung setahun lalu, dia bagaikan 'ketagih' untuk menyertai aktiviti seperti itu dan tidak melepas peluang terbabit dalam Expema.
"Saya meminati aktiviti lasak kerana ia mencabar ketahanan fizikal dan mental saya, malah ia mengajar saya untuk menjadi lebih dinamik.

"Tidak dapat dinafikan ada yang beranggapan aktiviti seperti ini hanya sesuai untuk lelaki, tetapi saya mahu buktikan wanita juga mampu melakukannya," katanya.

Walaupun mempunyai pengalaman mendaki gunung sebelum ini, dia tidak terlepas daripada mengalami kekejangan.

"Itu semua saya anggap sebagai pengalaman sebagai pendaki dan akan melakukan persiapan sebelum memulakan pendakian selepas ini," katanya.

Baginya, Gunung Stong menyimpan 1,001 keindahan dan kecantikan dan ia cukup unik sama seperti namanya.


INFO

> Ekspedisi Pendakian Mahasiswa IPT 1 Malaysia (Expema) dianjurkan buat pertama kalinya oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

> Disertai 63 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara

> Mendaki Gunung Stong yang mempunyai ketinggian 1,442 meter

> Dibantu lapan jurupandu dari Baha Adventure Team (BAT)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: