Tuesday, September 21, 2010

Malaysia jadi pilihan


Muhammad Yasin Fatem dan keluarganya mengenang masa depan yang suram ekoran status pelarian yang membelenggu hidup mereka.


JIKA diberi pilihan, saya lebih suka tinggal di Malaysia daripada dipindahkan ke negara lain kerana Malaysia bukan sahaja merupakan sebuah negara Islam yang aman, malah penduduknya juga baik hati.’’

Itulah luahan isi hati Muhammad Yasin Fatem, 49, pelarian Rohingya yang telah 15 tahun menetap di negara ini.

Ketika ditemui baru-baru ini, Muhammad Yasin dan keluarganya ternyata selesa tinggal di Malaysia walaupun kehidupan hariannya boleh diibaratkan ‘kais pagi, makan pagi dan kais petang, makan petang’.

Keadaan tersebut, menurut bapa kepada lima orang cahaya mata itu, lebih baik berbanding kehidupannya di negara asal, Myanmar.

Bercerita lebih lanjut mengenai kehidupannya di Myanmar, menurut Muhammad Yasin, sejak negaranya di perintah oleh junta tentera, rakyat terutama mereka yang beragama Islam hidup dalam penindasan.

Disebabkan keadaan itulah, ramai rakyat Myanmar yang beragama Islam terutamanya mereka yang berasal dari wilayah Arakan telah melarikan diri ke negara-negara jiran semata-mata untuk menyelamatkan diri selain menjalani kehidupan yang lebih baik.

‘‘Saya memasuki Malaysia pada tahun 1995 melalui Sungai Golok seterusnya melintasi Rantau Panjang, Kelantan untuk ke Kuala Lumpur.

‘‘Ketika itu saya sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak tetapi saya seorang sahaja yang datang ke Malaysia manakala isteri serta anak-anak ditinggalkan di Myanmar sementara saya mencari tempat tinggal di sini.

‘‘Selepas segala-galanya stabil dari segi kewangan dan tempat tinggal, saya mula membawa masuk seorang demi seorang ahli keluarga saya yang lain. Saya tidak membawa mereka masuk sekali gus kerana masalah duit tidak mencukupi,’’ ujarnya.

Akhirnya berkat kesabaran dia dan isteri, Shamimah Mohd. Shah, 39, pada tahun 2007, Muhammad Yasin berjaya mengumpulkan kesemua ahli keluarga di negara ini.

Kini menetap di sebuah rumah di sekitar Ampang, kesemua anak-anaknya termasuk isteri dan dirinya telah mendaftarkan dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Tambah Muhammad Yasin lagi, ketika ini hanya dia sahaja yang bekerja memandangkan isterinya menghidap asma dan tidak boleh melakukan kerja-kerja berat.

Namun disebabkan upah yang diterima daripada kerja-kerja pendawaian elektrik tidak mencukupi, ada kalanya dia dan isteri terpaksa mengikat perut ataupun mencatu makanan.

Jelas Muhammad Yasin, pendapatan yang diperoleh terpaksa diagih-agihkan mengikut keperluan harian dan ada kalanya terpaksa berhutang untuk menampung perbelanjaan keluarga memandangkan dia tidak bekerja tetap.

‘‘Kami pelarian, mana boleh bekerja tetap dan kami hanya menerima gaji mengikut berapa hari bekerja.

‘‘Bukan itu saja, kami juga sering bertukar-tukar kerja. Walaupun upahnya rendah kami terima juga kerana perlu mencari sesuap nasi,’’ katanya.

Dia yang berkebolehan dalam kerja-kerja pendawaian elektrik sering dipanggil bekerja oleh syarikat yang memerlukan perkhidmatannya.

Walaupun kini tiga anaknya sudah bekerja, menurut Muhammad Yasin, dia masih perlu menyara keluarga terutama isterinya yang kurang sihat.

Daripada maklumat yang diperolehi, dua anak Muhammad Yasin, Mohd. Hanif, 13, dan Nabila, 6, memahami bahawa mereka merupakan pelarian yang berasal dari Myanmar.

Malah bapa mereka menceritakan segala-galanya termasuk kenapa keluarga tersebut terpaksa meninggalkan negara asal dan tinggal ‘menumpang’ di Malaysia.

Walaupun tidak mendapat pendidikan yang sempurna, Mohd. Hanif dan Nabila ternyata anak-anak yang cerdik.

Ketika berbicara dengan Nabila, ternyata anak kecil itu fasih berbahasa Melayu kerana dia sememangnya dilahirkan di Malaysia di samping membesar dalam komuniti Melayu.

Walaupun sudah 15 tahun menetap di Malaysia, masa depan Muhammad Yasin serta keluarga ternyata masih samar.

Selain mereka berstatus pelarian, keluarga tersebut juga tidak mempunyai dokumen yang sah untuk membolehkan mereka mencari pekerjaan yang lebih baik.

Anak-anak juga hanya berpeluang bersekolah di sekolah yang ditubuhkan UNHCR.

Apa pun, mereka cukup bersyukur kerana dapat menjalani kehidupan yang aman dan damai di Malaysia walaupun mereka dikenali sebagai pelarian Rohingya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: