Tuesday, September 21, 2010

Bergelandangan di negara orang


Bangunan yang menempatkan sekolah komuniti kanak-kanak pelarian Rohingya.


KEAMANAN serta kemakmuran yang dikecapi Malaysia menjadikannya sebagai sebuah destinasi popular bukan sahaja di kalangan para pelancong bahkan ia turut menjadi pilihan kepada pekerja asing dari Indonesia, Thailand, Bangladesh, Pakistan dan banyak lagi.

Mereka ini ada yang masuk secara sah dan ada pula secara haram.

Selain itu Malaysia juga menjadi tumpuan kehadiran kumpulan yang dikategorikan sebagai pelarian yang diiktiraf oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Ketika ini Malaysia menjadi ‘tuan rumah’ kepada pelarian Rohingya dari Myanmar.

Mereka berhijrah beramai-ramai ke negara ini berikutan kekacauan politik yang berlaku di Myanmar pada tahun 1992.

Menurut sukarelawan Agensi Bantuan Malaysia (MRA), Abdul Khalaque Abdul Razak, pelarian Rohingya yang berasal dari wilayah Arakan di Myanmar merupakan etnik minoriti yang tidak diiktiraf oleh rejim tentera Myanmar (junta) dan diberi layanan yang tidak adil.

Keadaan itu menyebabkan ramai pelarian Rohingya yang beragama Islam mencari perlindungan di negara-negara lain seperti Bangladesh, India, Thailand dan Malaysia.

Abdul Khalaque berkata, Bangladesh merupakan destinasi utama yang ditujui pelarian Rohingya pada satu masa dahulu.

Tetapi keadaan tidak selesa di negara itu memaksa lebih ramai pelarian mencari perlindungan di Malaysia atau menunggu peluang penempatan ke negara ketiga.

‘‘Secara umumnya, Bangladesh, Pakistan dan Malaysia merupakan negara pilihan untuk pelarian Rohingya mencari perlindungan setelah tidak diiktiraf di negara sendiri.

‘‘Ketiga-tiga negara ini menjadi pilihan utama kami adalah kerana ia merupakan negara Islam.

‘‘Bagaimanapun kami pasrah sekiranya kami dihantar ke negara ketiga untuk menjalani kehidupan yang lebih sempurna di mana kami akan memperoleh kerakyatan selain dokumen-dokumen sah pengenalan diri masing-masing,’’ ujarnya ketika ditemui di Cheras Baru, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dia yang merupakan salah seorang komuniti Rohingya bagaimanapun memberitahu, sekiranya pelarian Rohingya di Malaysia ingin ditempatkan di negara ketiga, mereka perlu mendaftar dengan UNHCR.

Jelasnya, kehidupan pelarian Rohingya di mana-mana negara yang mereka masuki tidak terjamin kerana menghadapi risiko untuk diusir pada bila-bila masa.

Meskipun mereka ini terpaksa hidup dalam keadaan tanpa memiliki kerakyatan mana-mana negara dan sentiasa dalam ketakutan, mereka tiada pilihan.

Sekiranya pulang ke negara asal, mereka turut tidak diiktiraf sebagai warganegara yang sah disebabkan polisi kerajaan Myanmar.

Itu merupakan masalah utama yang menghantui pelarian-pelarian Rohingya di Malaysia dan ini sekali gus menyebabkan Malaysia sukar menghantar mereka pulang.

Lantaran itu, orang Rohingya berkeluarga di sini tanpa apa-apa hak di sisi undang-undang tempatan.

Ketiadaan dokumen turut menyebabkan mereka hidup dalam keadaan terumbang-ambing tanpa sebarang pekerjaan, pendidikan dan kemudahan.

‘‘Kami memang selesa tinggal di sini (Malaysia). Tetapi dengan keadaan kami yang tidak memiliki sebarang dokumen dan hanya bergantung kepada kad keahlian UNHCR, kami masih lagi merupakan pelarian.

“Untuk itu kami tidak boleh mendapat pekerjaan tetap selain anak-anak kami tidak dapat bersekolah seperti kanak-kanak warganegara Malaysia yang lain.

‘‘Kami sememangnya faham dengan situasi ini. Malah apa yang kami peroleh hari ini sudah cukup baik jika hendak dibandingkan dengan negara asal kami.

‘‘Cuma apa yang kami harapkan agar anak-anak kami dapat menerima pendidikan yang sempurna seperti kanak-kanak warganegara yang lain agar masa depan mereka lebih cerah,’’ jelas Abdul Khalaque lagi.

Sementara itu, perangkaan UNHCR melaporkan sehingga akhir Julai lalu terdapat sekitar 89,800 orang, iaitu jumlah keseluruhan pelarian Rohingya dan pemohon suaka yang berdaftar di ibu pejabat suruhanjaya itu di Kuala Lumpur.

Di Malaysia, undang-undang tempatan tidak mengiktiraf pelarian. Sesiapa saja yang memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah, dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin dan boleh dihukum.

Malaysia juga tidak menandatangani Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian 1951 dan Protokol 1967 mengenainya.

Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian 1951 dan Protokol 1967 memberi hak untuk orang Rohingya tidak dihantar pulang secara paksa jika keselamatan mereka di negara asal terancam.

Sehingga negara menandatangani persidangan itu, kerajaan Malaysia tidak berkewajipan memberikan hak untuk bekerja, perumahan, pendidikan atau bergerak bebas kepada orang Rohingya.

Sesungguhnya, nasib mangsa pelarian itu memang mendapat perhatian antarabangsa dan UNHCR adalah antara agensi PBB yang berusaha menangani isu pelarian pelbagai negara termasuk golongan Rohingya yang terdapat di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: