Friday, September 17, 2010

Linen Saif memikat


Saiful Sidek Abdullah di hadapan butiknya yang menjual pelbagai produk dari linen.


BAGI peminat kain linen, pasti kehadiran kedai atau butik yang menjualnya wajib disinggahi.

Tanggapan masyarakat bahawa pemakaian busana yang dihasilkan daripada linen menampakkan prestij pemakainya membuatkan golongan berada sering memilih untuk menggayakannya terutama pada acara-acara penting.

Tanggapan itu bukan omong kosong kerana memang hanya golongan berada mampu membelinya kerana sehelai baju linen dijual dengan harga ratusan, malah menjangkau ribuan ringgit.

Bagi peminat linen, Butik Saif di Plaza Angsana, Johor Bahru, khusus menjual busana ini.

Beroperasi sejak kira-kira tiga tahun lalu, nama butik kini menjadi sebutan peminat linen kerana produk yang dijual berkualiti tinggi dan mampu beli.

Pemiliknya, Saiful Sidek Abdullah berkata, sambutan orang ramai terhadap busana linen yang dihasilkan pihaknya mendapat sambutan baik daripada pelanggan termasuk orang kenamaan.

Apabila ke luar negara, Saiful tidak pernah lupa mencari dan mendapatkan busana linen yang diingini.

"Baju ini selesa dipakai tapi di sini susah hendak mencari kedai dan butik yang khusus menjual linen. Jadi, kerana jatuh cinta sangat dengan produk linen, saya bertekad mengeluarkan modal hampir RM200,000 untuk membuka kedai ini,'' katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurutnya, bagi memberikan produk yang berkualiti, kain linen yang digunakannya diimport dari India.

"Kain linen mempunyai banyak gred, namun kami memilih gred yang baik dari India berbanding dari China walaupun harganya lebih murah.

Bagi menghasilkan rekaan terkini, Saiful sentiasa berbincang dengan tiga perekanya di kedai jahitannya di Setia Indah, Johor Bahru.

Kini, Saiful mula memperkenal jenama dan logo baju sendiri iaitu SXII bermaksud S bagi Saif dan XII anggka 12 dalam tulisan Roman yang menunjukkan perjuangan sepanjang tahun.

"Logo ini baru diperkenalkan sempena sambutan Ramadan dan Aidilfitri kali ini. Kita juga mula menjual baju-T dengan logo ini yang melambangkan dua bilah pedang.

"Saif dalam bahasa Arab adalah pedang dan dua bilah pedang itu pula melambangkan pedang Rasulullah yang membawa maksud perjuangan ekonomi menurut sunnah dan perjuangan yang berterusan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: