Friday, September 3, 2010

Ketelusan dalam sebuah perhubungan

BERAT amat untuk memikul status andartu atau anak dara tua walaupun bagi setengah perempuan ia tidak langsung membawa kudis.

Bagi perempuan yang tidak kisah tentang hidup dan erti berkeluarga masalah ini mungkin dipandang ringan tetapi bagaimana dengan mereka yang ada keinginan untuk berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri tetapi tidak bertemu jodoh?

Juga bagaimana rasanya apabila cinta yang diharap dapat membawa ke jenjang pelamin berakhir dengan perpisahan setelah kekasih berkahwin dengan orang lain?

Inilah topik yang ingin saya paparkan minggu ini, kisah yang dialami seorang wanita yang hanya mahu dipanggil sebagai Su berasa dari Kepala Batas, Pulau Pinang.

Kita ikuti luahan perasaan Su untuk dikongsi bersama.

“Usia saya hampir mencecah 47 tahun dan menjalankan perniagaan salun rambut, sejak 23 tahun lalu. Biarpun keinginan untuk berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri sentiasa berbunga di hati, namun sampai kini saya masih belum bertemu jodoh.

“Memang berat untuk memikul status andartu. Lebih-lebih lagi kerana kenangan masa lalu. Bukan tidak pernah bercinta malah kisah cinta saya amat nostalgik. Sayangnya, si dia berubah hati dan berkahwin dengan perempuan lain.

“Entahlah saya sendiri tidak tahu kenapa dia berubah hati tetapi jawapan yang saya terima mudah sahaja, awak anggaplah ini sebagai takdir.

“Mudah bagi lelaki mengeluarkan kata-kata. Mudah juga mereka menutup kelemahan sendiri. Tetapi saya reda dan menganggap memang jodoh saya dengannya tiada.

“Lelaki yang telah menghancurkan hati saya itu dikenali sebagai Ad (bukan nama sebenar) berasal dari Pantai Timur sedangkan saya tinggal di Kepala Batas, Pulau Pinang.

“Jarak memisahkan kami. Tanggal 30 0gos 1991, ertinya 19 tahun telah berlalu. Saya tidak akan lupa tarikh itu, tarikh yang merubah kehidupan saya.

“Tarikh itulah Ad tiba-tiba muncul di salun saya dan memperkenalkan seorang wanita bernama Ila sebagai isterinya. Hancur luluh hati saya.

“Kekasih yang saya selama ini selalu mengucapkan kata cinta dan kasih kepada saya tiba-tiba muncul memperkenalkan isterinya.

“Tergamam saya seketika. Seluruh tubuh menggigil. Saya cuba kawal diri dan bersikap tenang seolah-olah tiada apa yang menyakitkan, namun jauh di sudut hati, hanya Allah sahaja yang tahu.

“Seminggu saya hanya mampu menangis, sedangkan Ad di ulit bahagia bersama isterinya. Peliknya lagi, Ad meminta supaya hubungan kami tidak diputuskan. Dia mahu kami menjadi kawan dan pada masa sama sebagai pasangan kekasih.

“Alasannya, Ila isterinya tahu hubungan kami dan tidak ambil kisah tentang itu semua. Pelikkan! Mana ada perempuan dalam dunia ini yang membenarkan suaminya berkawan dan berkasih dengan perempuan lain?

“Kata Ad cintanya pada saya tidak berubah, cuma yang bezanya dia sudah berkahwin. Sepatah kata Ad, awak boleh hubungi saya bila-bila masa sama ada susah atau senang, duka mahupun sedih, saya sentiasa bersama awak.

“Awak boleh anggap apa saja pada saya, kawan boleh, sahabat boleh, saudara boleh, kekasih boleh, malah suami pun boleh.

“Saya kata pada Ad, semua saya boleh lakukan kecuali menganggapnya sebagai suami, kerana suami kita perlu jumpa tok kadi. Saya juga bertanya dia, kenapa memilih isteri dari kawasan tempat tinggal saya tidak dari negeri asalnya.

“Kata Ad dia kahwin dengan Ila semata-mata kerana saya, kerana tidak mahu hubungan kami putus, jika dia berkahwin orang dari tempatnya, dia tidak berpeluang jumpa saya lagi.

“Bodohnya alasan Ad, bagi saya lelaki macam Ad cintanya cuma depan mata, pusing belakang hilanglah cinta, cinta pada saya, kahwin dengan Ila atas maknanya? Cinta atau nafsu?

“Saya tidak faham hati lelaki, tamak atau memang sengaja mendera perasaan wanita. Ad tidak mahu lepaskan saya. Kami masih berhubung sehingga 2002, ketika itu dia sudah ada lima orang anak. Dia juga pernah mengajak saya nikah di Golok tetapi saya enggan.

“Pada saya lelaki sama sahaja. Lain di hati lain pula di mulut. Keadaan ini menyebabkan saya sukar menerima pinangan yang datang malah setiap pinangan saya tolak. Sampai bila saya harus begini?

“Bohonglah kalau saya kata tidak mahu kahwin. Naluri kewanitaan saya masih normal, cuma apabila perasan masih dihantui kenangan silam hati menjadi sayu sebab luka yang ditinggalkan amat perit untuk ditelan.

“Saya berazam akan melupakan semuanya dan kembali menjadi diri saya yang sebenar. Semoga saya mendapat hidayah untuk menikmati kehidupan seperti mana yang saya impikan. Kepada Ad jangan ganggu saya lagi,” kata Su menamatkan ceritanya.

Baguslah Su, itulah yang sepatutnya anda lakukan dari awal lagi sebaik mendapat tahu dia sudah berkahwin.

Lupakan dia, jangan hubungi dia lagi, biarkan dia dengan rumah tangga dan keluarganya. Anda masih ada masa depan.

Uruskan perniagaan anda dengan baik agar ia terus berkembang dan mencapai kejayaan cemerlang. Mungkin Allah memberi ujian ini untuk menghadiahkan anda seorang lelaki yang lebih baik daripada Ad. Setiap kali selepas solat berdoalah, mudah-mudahan jodoh anda akan segera sampai.

Menutup kata, kebahagiaan itu bukan hanya bersandarkan pada cinta tetapi ketelusan dalam sebuah perhubungan.

Salam

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: