Monday, September 20, 2010

Kayuhan Offroad Rutin Wajib pujMAC

Antara peserta yang terlibat dengan kayuhan offroad di kota Warisan.

JIKA sebelum ini basikal mountain bike (MTB) hanyalah aktiviti bermusim pilihan golongan remaja dalam mencari kelainan dengan menunggang basikal jenama BMX.

Kini, sukan itu sudah punya peminat tersendiri dari pelbagai latar belakang khususnya dalam kalangan penduduk kota yang gemarkan aksi lasak, mementingkan kecergasan dan cintakan alam sekitar.

Justeru, usah terkejut andai anda melihat sekumpulan pengayuh basikal membuat kayuhan di jalan raya. Mereka bukanlah atlet yang sedang melakukan latihan tetapi merupakan ahli-ahli kelab berbasikal yang mulai tumbuh bak cendawan pada era moden ini.

Sama seperti rutin yang dilakukan kelab berbasikal yang aktif di sekitar Lembah Klang, pujMAC tidak ketinggalan melakukan kayuhan tiga kali seminggu iaitu pada hari Selasa, Jumaat dan Ahad.

Aktiviti pada malam Selasa dan Jumaat bertumpu kepada kayuhan di jalan raya manakala kayuhan offroad dilakukan pada waktu siang setiap hari Ahad.

PujMAC merupakan singkatan kepada Kelab Mountain Bike Puncak Jalil yang berpangkalan di kawasan perumahan Puncak Jalil, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan diasaskan oleh Asri Md Nasir, 39.

Menurut Asri atau lebih dikenali sebagai Chif Assry dalam kalangan ahli kelab itu, idea untuk menubuhkan pujMAC timbul selepas berpindah ke rumah baru di Puncak Jalil sekitar tahun 2005.

Asri mula meminati MTB menerusi rakannya.

“Memandangkan penduduk-penduduk di situ datang dari berbilang bangsa, agama dan kedudukan timbul persoalan cara-cara untuk merapatkan hubungan silaturahim sesama penduduk kerana Puncak Jalil adalah kawasan perumahan yang besar. Jadi saya mula mereka laman blog mengenai MTB,” katanya kepada Mingguan mStar.

Dengan terhasilnya laman blog http://puncakjalilmountainbike.blogspot.som, sambutan yang diterima daripada penduduk di sekitar kawasan perumahan itu begitu memberangsangkan.

Oleh itu, pujMAC berpindah ke laman web www.pujmac.com yang memaparkan setiap aktiviti kelab berkenaan.

Sehingga kini, pujMAC mempunyai 25 ahli terdiri daripada lelaki dan wanita, kebanyakannya penduduk di kawasan perumahan itu.

PujMAC turut mendapat penyertaan peminat sukan berbasikal di sekitar Puchong, Selangor dan Kuala Lumpur.

Lebih menarik, tiada sebarang bayaran dikenakan untuk menyertai pujMAC, sebaliknya mereka menuntut komitmen dan semangat setiakawan tinggi daripada setiap ahli.

Baru-baru ini, pujMAC melakukan kayuhan offroad secara berkumpulan pada waktu malam di Kota Warisan, Sepang.

Ternyata kayuhan pada waktu malam sedikit sebanyak menguji keberanian dan stamina sesiapa saja yang meminati aktiviti berbasikal lasak itu.

Kayuhan offroad itu merupakan aktiviti wajib pujMAC yang dilakukan pada waktu malam setiap hujung bulan.

Kayuhan sejauh 40 kilometer itu yang meliputi kawasan sekitar perumahan Kota Warisan dan menyelusuri ladang kelapa sawit berdekatan bermula pada jam 11.00 malam dan berakhir tiga jam kemudian.

Seramai 24 ahli berkumpul untuk memulakan kayuhan pada malam itu.

Meskipun kayuhan itu dilakukan pada bulan Ramadan, Asri memberitahu ia tidak menghalang ahli pujMAC dalam meneruskan aktiviti mereka seperti bulan-bulan biasa.

Pengayuh PujMAC menduduki tempat pertama dan kedua di Kulim Jamboree tahun lalu.

Kayuhan tiga kali seminggu tetap diteruskan selepas mereka selesai menunaikan solat tarawih tetapi kayuhan offroad pada waktu siang akan diubah ke waktu malam.

“Kayuhan Malam Jambori Melaka sedikit sebanyak memberi idea kepada pujMAC untuk mengekalkan kayuhan offroad pada waktu malam kerana ia lebih mencabar dan menjanjikan pengalaman berbeza. Pada masa sama, kami turut berlatih sebagai persiapan untuk pertandingan MTB pada waktu malam, Oktober ini,” jelas Asri yang juga bertindak sebagai Presiden pujMAC.

Menyentuh mengenai risiko yang bakal dihadapi setiap pengayuh, Asri berkata segalanya bergantung kepada tahap keselamatan yang ditekankan setiap kumpulan ataupun kelab.

“Bagi pujMAC, setiap kali kami menganjurkan kayuhan, kami akan membentuk satu pasukan. Kayuhan kami rata-ratanya disertai gabungan pengayuh baru dan lama. Oleh itu, ahli pujMAC akan mengetuai kayuhan manakala dua pengayuh lagi akan bertindak sebagai ‘doktor’. Alat kawalan jauh (radio) turut digunakan oleh Leader, Runner dan Sweaper untuk berkomunikasi antara satu sama lain,” ujarnya.

Aktiviti berbasikal lasak terutamanya melibatkan kayuhan menuruni bukit bukan saja memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi tetapi mengayuh selaju mungkin untuk mendapat kelajuan maksimum.

Bagi yang baru ‘mengenal basikal’, usah bimbang kerana pujMac turut berkongsi teknik kayuhan yang betul dan cara-cara mengendalikan gear MTB.

PujMAC mementingkan semangat setiakawan yang tinggi dalam kalangan setiap ahli.

“Kami ada tiga pengayuh yang bertugas sebagai runner bagi memastikan jarak kayuhan antara satu sama lain tidak begitu jauh terutamanya ketika memasuki hutan. Sweaper pula bertanggungjawab untuk mengawal pengayuh terakhir sepanjang kayuhan itu,” kata Asri yang memiliki sebuah basikal berjenama JAMIS di awal pembabitannya dalam MTB.

Sejak hampir tiga tahun penubuhannya, pujMAC mula memberanikan diri menyertai pertandingan MTB seluruh Malaysia sepanjang tahun lalu.

Antara pertandingan yang mereka sertai adalah Putrajaya Mountainbike 2010, Kulim Jamboree di Kedah, Kayuhan Antara GAPI di Rawang, Selangor dan Selangor Mountainbike Speed Challenge.

Usaha gigih pujMAC selama ini membuktikan kelab itu bukan calang-calang lawan apabila dua pengayuh mereka dinobatkan selaku johan dan naib johan daripada 1,000 peserta seluruh Malaysia pada Kulim Jamboree tahun lalu.

Untuk mengekalkan prestasi terbaik itu, mereka mensasarkan untuk mencari pengayuh muda bagi membentuk dua pasukan berbeza pada masa akan datang.

“Kami mahu membentuk dua pasukan berbeza. Pasukan pertama lebih bertumpu kepada perlumbaan MTB jarak dekat manakala pasukan kedua lebih kepada jambori ataupun kayuhan MTB jarak jauh. Kayuhan jarak dekat meliputi jarak sejauh 10 hingga 20 kilometer. Jambori pula melibatkan jarak 35 hingga 55 kilometer,” ujarnya.

Melihat kepada penerimaan masyarakat yang memberangsangkan mengenai kewujudan sukan MTB, Asri berharap agar Malaysia memiliki laluan khas untuk pengayuh basikal pada masa hadapan.

“Saya kesal dengan sikap segelintir pemandu kerana tidak menghormati pengayuh basikal yang lengkap memakai pakaian keselamatan ketika kayuhan di jalan raya. Saya berharap agar mereka memberi laluan ataupun prihatin terhadap aspek keselamatan pengayuh basikal,” akhirinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: