|
|
BERMULA era pengarah tersohor Allahyarham Yasmin Ahmad, filem-filem indie mula mendapat tempat di hati peminat filem tempatan.
Filem indie dianggap oleh sesetengah pihak sebagai sebuah filem bebas yang mampu mengutarakan pelbagai topik untuk dijadikan plot penceritaannya tanpa perlu bergantung terhadap kehendak pasaran.
Walaupun ada ketika hasil kutipan tiketnya tidak memberangsangkan, penggiat filem indie tidak pernah berputus asa untuk menghasilkan filem demi filem atas dasar cinta mereka kepada seni perfileman.
Terbaru, sebuah filem indie terbitan Perantauan Pictures dihasilkan berjudul The Joshua Tapes yang membariskan pelakon seperti Baki Zainal, Phoon Chi Ho dan Matthew Ho Tien Li.
Ketika dihubungi baru-baru ini, pengarah filem tersebut, Arivind Abraham memberitahu, filem itu merungkai erti persahabatan antara tiga sahabat iaitu Reza, Ryan dan Ajeet.
"Ia berkisar mengenai kebenaran dan penebusan dalam hubungan persahabatan yang terjalin.
"Mereka cuba mengkaji tabiat masing-masing yang memastikan jalinan persahabatan itu kekal kukuh sampai bila-bila.
"Filem ini juga mengajar penonton agar menerima kebenaran walaupun ia cukup pahit," jelas Arivind.
Selain itu, menurut Arivind, filem itu turut mengetengahkan konsep 1Malaysia
The Joshua Tapes tidak membariskan artis popular seperti mana filem komersial lain.
Namun, nama seperti Baki, Chi Ho dan Matthew sudah lama menjadi sebutan di kalangan peminat filem indie kerana bakat lakonan mereka yang bersahaja.
Ketiga-tiga mereka telah banyak terlibat dalam penggambaran filem indie dan juga pementasan teater serta mempunyai peminat di kalangan peminat filem pendek indie tempatan.
Baki yang juga merupakan hos rancangan travellogue, Step Forward di 8TV itu memberitahu, filem tersebut cukup menarik untuk ditonton oleh golongan remaja.
"Pelbagai iktibar yang boleh diambil melalui mesej yang disampaikan melalui filem ini.
"Terutamanya apabila persahabatan itu terjalin di kalangan tiga individu yang berlainan bangsa," ujar Baki yang fasih berbahasa Mandarin itu.
Secara tidak langsung, tambah Baki, ia memaparkan konsep 1Malaysia seperti mana yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tahun lalu, ketika membintangi sebuah filem pendek sempena projek 1Malaysia, Baki pernah berlakon bersama Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Filem yang berdurasi selama 105 minit dan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaranya itu bakal menjengah pawagam pada 30 September ini di beberapa lokasi terpilih sahaja.
Lokasi tersebut ialah Golden Screen Cinema (GSC) Pavilion, Kuala Lumpur, GSC Mid Valley Megamall, Petaling Jaya dan GSC One Utama, Damansara.
Selain tiga pelakon utama terbabit, mereka yang terlibat ialah Alfred Loh dan Grace Ng.
Alfred sebelum ini pernah terlibat dalam drama bersiri di 8TV seperti Blogger Boy dan Frontpage selain Kapten Boleh yang disiarkan di saluran Astro Ceria.
Grace Ng pula merupakan penyampai berita di nTV7 dan telah banyak menjayakan teater berbahasa Inggeris.
Dalam pada itu, Arivind menambah, proses penggambaran hanya mengambil masa selam tiga minggu di pelbagai lokasi yang bermula di Taman Tun Dr. Ismail, Sungai Buloh, Hulu Langat, Sabak Bernam, Kuantan dan sekitar Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: