Friday, September 24, 2010

Festival muzik metal di ladang jagung


TORFROCK antara kumpulan yang beraksi di WOA dengan gaya dan persembahan mereka yang tersendiri.


SCHLESWIG-Holstein hanyalah sebuah kampung kecil di utara Jerman. Jaraknya sekitar dua jam perjalanan menaiki bas dari Hamburg, iaitu bandar terbesar yang paling hampir dengan kampung tersebut.

Penduduk yang mendiami ladang jagung dan sayur-sayuran di situ pula tidak lebih daripada 2,000 penghuni.

Sepanjang masa, Schleswig-Holstein biasanya sunyi sepi. Kalau ada pun bunyi traktor pembajak atau suara para petani yang bekerja di ladang.

Bagaimanapun, setiap awal Ogos sejak tahun 1990, kampung yang menghijau dengan hasil-hasil pertanian itu menjadi sibuk.

Kampung itu sesak dengan kenderaan seperti bas, kereta dan karavan dari seluruh Eropah. Mereka berkampung di situ selama empat hari empat malam.

Kesunyian Schleswig-Holstein turut dipecahkan dengan dentuman muzik metal yang berkumandang dari lima buah pentas di kawasan pedalaman kampung itu yang diberi nama Wacken.

Hampir 80,000 orang membanjiri Wacken. Jumlah itu 40 kali ganda daripada penduduk yang mendiami kampung terbabit!

Apakah yang menyebabkan suasana di sana begitu meriah sekali, termasuklah pada 5 hingga 7 Ogos lalu?

Lumrah buat para pengunjung yang datang ke situ menjerit beramai-ramai dengan sebutan 'Wackeeeeeen!'.

Suara itu bergema di setiap ceruk kampung tersebut. Ia kedengaran di mana-mana. Jeritan itu cukup untuk menggambarkan kemeriahan tersebut.

Tidak kira tua dan muda, yang bujang ataupun sudah berkeluarga, mereka cukup bersemangat meriuh-rendahkan kebeningan di Wacken.

Ia lahir daripada suatu semangat untuk melihat kumpulan-kumpulan pemuzik metal kegemaran mereka beraksi di kampung itu.

Pada pesta yang dikenali sebagai Wacken Open Air Festival (WOA) itu, tahun ini ia masuk kali ke-21 penganjurannya.

Lima pentas yang diberi nama Black Stage, True Metal Stage, W.E.T. Stage, Beer Garden Stage dan Wackinger Stage merupakan tumpuan para peminat.

Dengan tiket berharga 120 Euro (RM480) termasuk tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang jagung, para pengunjungnya disajikan dengan konsert tanpa henti.

Bukan setakat dua tiga jam, tetapi selama tiga hari berturut-turut.

Juga bukan satu dua kumpulan, sebaliknya hampir 70 pemuzik metal dari pelbagai negara beraksi pada festival itu.

Konsert bermula pukul 11 pagi dan berakhir sekitar pukul 3 pagi setiap hari sepanjang WOA berlangsung!

Malah, para peminat metal yang menyaksikan WOA juga tidak datang dari sekitar Eropah sahaja, tetapi juga dari seluruh dunia.

Seramai 16 peminat metal dari Malaysia termasuklah penulis antara yang tidak ketinggalan menyaksikan kemeriahan pesta itu pada tahun ini.

Ramai juga peminat metal yang datang dari pelbagai negara seperti Oman, Bahrain, Cyprus, Mexico, Brazil, Amerika Syarikat, Jepun, Norway, Sweden, India, Australia dan Israel.

Sewaktu WOA lupa sebentar perbezaan warna kulit, bangsa, negara dan agama masing-masing.

Monica Peterssen, seorang remaja perempuan yang datang dari Orebro, Sweden misalnya, sanggup datang bersendirian semata-mata kerana mahu melihat sendiri keunikan di WOA.

"Inilah uniknya Wacken. Muzik metal berjaya menyatukan kita semua di sini. Peace (aman)," komennya ringkas kepada Hits.

WOA makin membesar

WOA merupakan festival muzik metal yang semakin membesar setiap tahun. Pada 1990 sewaktu pertama kali dianjurkan hanya 800 peminat menghadirinya dan harga tiket 12 deutschmark (RM25) sahaja.

Ketika itu cuma ada enam kumpulan yang mengadakan persembahan iaitu 5th. Avenue, Axe 'N Sex, Motoslug, Sacret Season, Skyline dan Wizzard. Kesemua kumpulan terbabit dari Jerman.

Pada 1995 bilangan peminat WOA bertambah menjadi 5,000 orang, 1995 (5,000 orang), 2000 (25,000 orang) dan 2005 (40,000 orang).

Tahun ini festival setahun sekali itu mencatat pengunjung seramai 80,000 orang.

Lebih menakjubkan lima tahun kebelakangan ini setiap tahun tiket festival itu habis dijual termasuk tahun ini.

Tahun lalu contohnya, WOA mencatat rekod apabila tiket konsert itu habis dijual pada 30 Disember 2008.

Kesemua 70,000 tiket habis dijual 200 hari sebelum festival itu berlangsung.

Penulis bersama rakan-rakan yang lain turut menerima tempias itu. Tiket yang dibeli melalui Internet termasuk di laman lelongan e-bay melonjak sehingga RM1,000 untuk satu tiket.

WOA tahun ini menjadi tumpuan ramai peminat kerana ia membariskan banyak kumpulan metal terkemuka dunia.

Antaranya Iron Maiden, Motley Crue, Alice Cooper, Grave Digger, Anvil, W.A.S.P., Raven, Lizzy Borden, Overkill, Voivod, Slayer, Candlemass, Tiamat, Atrocity, Rotting Christ, Cannibal Corpse, Immortal, Unleashed, Fear Factory, Lock Up, Soulfly, Evile dan Ihsan.

"Tahun ini kumpulan paling popular yang mengadakan konsert di Wacken adalah Iron Maiden dari England. Ramai peminat dari seluruh dunia datang semata-mata mahu melihat persembahan Iron Maiden," ujar Shamsul Kamal Othman, salah seorang peminat dari Malaysia.

Para pengunjung WOA tahun ini bertuah kerana Iron Maiden mempersembahkan lagu yang dipetik daripada album terbaru mereka berjudul The Final Frontier yang berada di pasaran sejak 15 Ogos lalu.

Mereka antara peminat pertama yang mendengar lagu-lagu baru daripada album itu yang dipersembahkan menerusi konsert.

WOA bukan sahaja mendapat sokongan pihak berkuasa Jerman kerana ia boleh dianggap sebagai salah satu produk pelancongan yang menarik ramai pengunjung dari serata dunia.

Para penduduk di Schleswig-Holstein turut mendapat faedahnya. Mereka pada mulanya agak asing dengan para pengunjung yang berambut panjang, berjaket kulit, denim dan memakai kemeja-T warna hitam yang tertera logo dan gambar kumpulan metal kegemaran masing-masing.

Namun, selepas 21 tahun WOA berlangsung di situ, penduduk tempatan sudah biasa dengan kehadiran mereka.

Malah, mereka turut mengambil kesempatan berniaga pelbagai produk tempatan. Daripada air mineral, roti sehinggalah jem buah-buahan hasil tangan penduduk di situ dijual kepada para pengunjung pesta itu.

Pihak berkuasa tempatan bersama penganjur turut menyediakan kemudahan bas, teksi, pondok polis, balai bomba, ambulan dan para pengawal keselamatan bagi mengawal puluhan ribu peminat yang berhimpun pada festival muzik metal yang paling popular di Jerman itu.

Ini kerana, terdapat pelbagai ragam peminat termasuklah mereka yang pengsan kerana berasak-asak di tengah padang yang menghimpunkan puluhan ribu penonton.

Tentunya mereka memerlukan bantuan pihak-pihak terbabit di saat-saat kecemasan seperti itu.

Difahamkan, pihak penganjur WOA sengaja mengehadkan bilangan penonton kerana tidak mahu kawasan festival terlalu sesak sehingga sukar dikawal.

Namun, barisan kumpulan pemuzik metal ternama yang ditampilkan pada setiap tahun tidak mampu menahan rasa keterujaan para peminat muzik genre ini.

Akibatnya, tiket konsert festival itu bukan sahaja terhad jumlahnya dan semakin cepat licin jualannya pada setiap tahun.

Malah, kalau ada pun saki bakinya yang dijual di e-bay harga tiketnya akan menjadi berlipat kali ganda.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: