Monday, September 13, 2010

Damai klasik, Asia

pix_gal0
Sentuhan menjadi Joey dan Zac Bong hasilkan penataan mewah karektor di setiap ruang

PADA usia 30 tahun dan ibu kepada dua cahaya mata perempuan, Kyra,5 dan Mala, 3, hakikatnya, Joey Bong boleh dikira muda belia. Namun, pemikiran dan prinsipnya mengenai tata hias jauh menjangkau pemikiran manakala sentuhan tangan ajaibnya mengubah kediaman biasa menjadi sarat falsafah dan terampil luar biasa.Baik Joey mahupun suami, Zac Bong, menyukai konsep kediaman klasik disulami sentuhan Asia. Bagaimanapun, diminta mengulas lanjut hiasan dalaman pilihannya, Joey berkata:
“Secara jujur, saya tertarik mencuba tema Tropika Asia tetapi tidak mahu terlalu ekstrem. Pilihan gaya saya menjurus kepada fusion yang mengutamakan keseimbangan klasik dan kontemporari,” katanya yang memilih perabot, kemasan dan perhiasan bertunjangkan warna alam.

Menyifatkan warna bumi meminjamkan suasana tenang dan sebagai terapi minda, kecintaannya terhadap skim itu diserlahkan melalui pilihan fabrik redup dengan tekstur ringkas.

“Berbanding meriah motif, fabrik sederhana corak tak lapuk dipandang serta sesuai sebarang tema,” katanya.

Kesederhanaan sekali lagi menjadi teras hiasan dalaman menerusi penggunaan perabot kayu dan rotan yang mengisi sebahagian rumah. Kata Joey, perabot itu adalah cermin peribadi mereka selain kewujudannya menambah karektor ruang.
“Walaupun, hala pemikiran kami moden dan percaya pada praktikal namun kilau kemasan kulit dan logam kaku jelas tidak secocok jiwa. Sebaliknya, kami berpendapat perabot semula jadi menitipkan aura hangat, mempesona dan dijamin tidak ditelan zaman,” katanya.

Menjelas lanjut karektor dan ruang, Joey menjadikan ruang makan dilengkapi meja makan berpermukaan konkrit sebagai rujukan utama. Menyifatkan ruang berkenaan menggamit memori zaman kanak-kanak bersama mendiang nenek, kata Joey ruang itu diilhamkan berasaskan pelan lantai ruang dapur neneknya ketika itu.

“Saya masih ingat lantai jubin mini ruang dapur nenek. Jubin meriah motif dan warna ceria tempias budaya Cina Peranakan. Saya akui tidak upaya meniru seratus peratus namun memadai menonjolkan permukaan meja konkrit diturap jubin kecil-kecil tapi tahan lasak berukuran 4 inci x 4 inci,” katanya seraya memberitahu ruang dapurnya dibina sedemikian rupa khusus memenuhi aktiviti rutin lasak.

Meskipun menginginkan sebuah ruang dapur tahan lasak, namun Joey tidak pula tertarik melengkapinya dengan perabot serta kemasan kalis karat. Selain bertentangan cita rasa, Joey secara peribadi lebih menyukai sebarang hiasan bersifat vintaj.

“Seeloknya, apa saja dibeli bukan setakat bertahan sehari dua tetapi mampu digunakan selagi hayat ada. Kekal lama bukan dinilai dari faktor umur semata tetapi juga rekaan dan motif mendahului zaman,” ujarnya yang turut mempraktikkan amalan DIY (Do it Yorself atau aktiviti lakukan sendiri) semata-mata mengindahkan kediaman.

Kemahirannya itu dimanfaatkan di hampir seluruh kediaman membabitkan kamar tidur utama, bilik tidur anak dan pelbagai kemasan serta aksesori penyeri sudut.

Menariknya, berbanding mengusulkan merah jambu lembut yang lazimnya menjadi kesukaan kanak-kanak perempuan cilik, Joey sebaliknya melatih anak-anaknya menyayangi alam melalui penggunaan warna hijau menghiasi hampir keseluruhan bilik.

Bahkan tema penataan mengambil inspirasi kem perkhemahan musim panas membuang kebiasaan jiwa keletah dan keanak-anakan kanak-kanak perempuan.

Katanya, ilham timbul setelah dia dan suami mengecat bilik tidur anaknya dengan warna hijau zaitun sebelum disusuli pilihan langsir sedondon bahkan bertujuan menghidup suasana, Joey melukis mural pokok epal di dinding tumpu bilik anaknya itu.

“Saya cuba mengusir tanggapan stereotaip bahawa anak perempuan perlu dididik menyukai sebarang elemen merah jambu. Saya sendiri sewaktu kecil diajar ayah bertukang dan mencintai seni kraf. Hanya kemudian, saya mendapat tahu anak-anak gemarkan aktiviti perkhemahan lalu saya cipta sebuah khemah besar untuk ditempatkan di bilik mereka. Seronok tengok mereka gembira dan meneroka imaginasi dengan khemah itu,” katanya yang turut bertanggungjawab mengubahsuai dan memperbaharui semula rekaan terendak lampu, papan kepala katil, hiasan dinding bunga fabrik, alas meja panjang di samping berbakat menyiapkan lukisan dinding, antaranya bermotifkan rumpun buluh, bunga mawar putih dan sebagainya.

Daya kreativiti Joey tidak terhenti setakat itu tetapi memancing perhatian menerusi keharmonian perabot dan kemasan melatari kamar tidur utamanya. Sesuatu mengagumkan, meskipun bilik tidurnya mempunyai tingkap luas dan mencecah siling namun disebabkan bakat menghias semula jadi, dia berupaya membentuk suasana damai serta romantik di situ.

Berbanding kemasan tingkap langsir dan bidai, Joey menitipkan kelainan apabila memilih cadar sebagai hiasan tingkap. Katanya, punca utama dia menggantikan fabrik dengan cadar kerana tertawan dengan tekstur menarik kain kapasnya selain harga ditawarkan munasabah.

“ Selain itu, saya berkenan dengan kelembutan warna kain itu yang secara tidak langsung membuatkan bilik nampak romantik,” katanya.

Menyamakan kediamannya sebagai ‘sarang’ menghimpunkan kasih sayang keluarga, dia menambah karektor dan watak ruang melalui hiasan dinding batik Jawa.

Katanya, sejak kecil dia begitu teruja menghayati kehalusan sarung batik dan kebaya nyonya pakaian basahan mendiang neneknya dulu. Namun, kerana kain itu tiada lagi dalam simpanannya, dia menggantikan batik Jawa sebagai kenangan.

“Daripada disimpan saja dalam almari, lebih baik dijadikan hiasan dinding untuk tatapan mata dan santapan minda,” katanya yang mempunyai blog berkaitan seni kraf dan DIY www.facebook.com/polkadotcupcake.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: