Monday, September 13, 2010

Fasha rela bermadu

HIDUP berpoligami mungkin 'madu' bagi lelaki, namun tidak semestinya ia juga manis untuk wanita. Malah, mungkin segelintir wanita sanggup hidup bermadu kerana cinta dan tak kurang juga disebabkan harta.

pix_middle



Filem 4 Madu arahan Prof Madya A Razak Mohaideen yang ditayangkan di pawagam sempena Aidilfitri ini menyingkap dilema lelaki berpoligami. Bukan dua atau tiga isteri tapi sampai empat, tentulah lebih gamat cerita dipaparkan.


Tiga bintang terkenal 4 Madu, Rozita Che Wan, Fasha Sandha dan Bienda ada pandangan sendiri mengenai isu ini. Barangkali mudah untuk memperkatakan mengenai poligami tetapi hakikatnya, tidak semua lelaki layak berkahwin lebih daripada satu. Poligami dalam Islam bukan disebabkan nafsu tetapi membantu dan melindungi wanita.

Namun, tidak semua kehidupan poligami itu ibarat meminum racun tetapi ada manisnya. Cuma, lelaki sebagai ketua keluarga harus bijak memainkan peranan. Perkahwinan akan harmoni sekiranya saling memahami dan menghormati. Keikhlasan juga penting kerana rumah tangga yang dibina atas dasar kejujuran selalunya menuju kebahagiaan.


Jangan terkejut kerana Fasha yang kini bercinta dengan Rizal Ashram atau Jejai, sedia mempertimbangkan hajat suaminya jika mahu berkahwin lebih daripada satu.


Fasha atau nama sebenar, Nur Fasha Sandha Hassan berkata, ia sunnah Rasulullah dan dihalalkan dalam al-Quran.

"Bagi saya, asalkan suami mampu dan boleh bersikap adil, kenapa mahu menghalang. Daripada dia melakukan perkara tidak elok di belakang, lebih baik benarkan saja. Ikhlas daripada hati, saya tak kisah jika suami mahu berkahwin dua.

"Cuma, dia harus bersikap adil terhadap isteri-isterinya. Apa yang saya luahkan ini, tidak dipengaruhi sesiapa. Saya memikirkannya secara rasional. Malah, dalam keluarga saya pun ada antara saudara yang menjadi isteri ketiga dan keempat. Jadi, saya positif.


"Saya sudah sedia untuk bergelar isteri. Namun, saya takkan mendesak Jejai (Rizal Ashram) untuk melamar dan kami berkahwin. Soal jodoh kami, biarlah ditentukan Tuhan. Apapun, kami sepakat menetapkan pada tempoh masa tertentu dan bila tarikh itu biarlah rahsia.


"Tak perlu saya canang sekarang kerana sampai masa akan diumumkan. Saya bersyukur sangat bahagia di sisi Jejai dan berharap hubungan ini berkekalan. Saya gembira mengenali Jejai kerana dia banyak mengajar erti kematangan. Kalau dulu, saya cepat melatah," katanya.

Fasha berkata, dia gembira jadual lakonannya begitu sibuk. Malah, katanya dia akan membintangi drama Chinta arahan Feroz Khan pada Oktober ini. Ujar Fasha, Chinta akan menguji sejauh mana bakat lakonannya kerana dia memainkan watak berat.


Menyentuh soal kereta mewah Bumblebee yang didakwa hadiah istimewa Jejai untuknya, Fasha menafikan. Katanya, kereta itu milik kekasih hatinya dan dia sekadar menumpang. Menurut Fasha, mereka sering menaiki kereta itu jika keluar bersiar-siar.


"Semua gosip ini tidak benar. Jejai tak pernah menghadiahkan saya kereta mewah. Saya sendiri pun sudah ada kereta yang dibeli hasil titik peluh sendiri. Ingin ditegaskan, saya tak perlu kereta orang. Malah, saya terima Jejai seadanya dan begitu juga dia.

"Justeru, apa yang orang hendak cakap mengenai saya terpulanglah. Bagi saya, walaupun diri ini tak sempurna di mata orang lain, asalkan Jejai tahu kebenarannya. Kami bahagia bersama dan saya yakin masyarakat pun sudah terima," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: