ALOR SETAR - Sebuah keluarga di Kampung Berjaya, di sini terpaksa bergantung hidup dengan hasil menjual besi buruk sejak hampir 20 tahun lepas.
Kamaliah Abdullah, 43, berkata, suami, Nor Azman Saidin, 57, akan mencari barang lusuh seawal jam 4 pagi setiap hari, sebelum menjual barangan itu.
“Dalam sehari, bolehlah dapat dalam RM20 buat beli barang dapur untuk makan atau minum. Itu pun tidak menentu, ada kalanya pendapatan diperoleh kurang bergantung pada keadaan.
“Jikalau hari hujan, memang tiada langsung hasil pendapatan untuk menyara kami anak beranak,” katanya dalam lawatan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) ke kediaman mereka, semalam.
Katanya, sebahagian lebihan barangan lusuh akan dibawa pulang untuk dibaiki bagi kegunaan seisi keluarga, manakala ada juga diletakkan di hadapan kediaman untuk dijual.
“Alhamdullilah, kami tak perlu beli perkakas kediaman. Kebanyakan barangan elektrik, seperti televisyen dalam rumah sebenarnya ditemui di tempat pembuangan sampah,” katanya.
Kata ibu anak lima itu, pendapatan diperoleh suaminya hanyalah cukup-cukup makan untuk menampung kos keperluan harian mereka sekeluarga.
Katanya, mereka juga perlu menanggung dua anak, Mohd Zulkarnain, 8, dan Mohd Razin, 12,yang masih bersekolah rendah.
Sementara itu, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat LZNK, Mohd Sani Harun berkata, pihaknya  turun padang menyelami masalah keluarga berkenaan dan memberi bantuan asas persekolahan kepada dua anak pasangan itu.
Menurutnya, mereka difahamkan anak Kamaliah menggunakan pakaian sekolah lama kerana tidak berkemampuan membeli keperluan sekolah baru untuk dua kanak-kanak itu.
“Melalui bantuan asas persekolahan itu, maka mereka berdua boleh bergilir-gilir menggunakan baju sekolah lama atau baru untuk ke sekolah setiap hari,” katanya.
Susulan itu, Sani berkata, pihak LZNK turut memproses permohonan bantuan untuk membantu keluarga itu, malah akan mempertimbangkan bantuan miskin bulanan untuk meringankan bebanan mereka.
Turut hadir, Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat LZNK, Ahmad Hambali Mohd Puat.