Sunday, January 1, 2017

Hazama Mahu 'Nikah Gantung'



Hazama.
PETALING JAYA: Penyanyi Hazama merancang untuk melangsungkan majlis pernikahan dengan kekasihnya pemuzik Genervie Kam dalam sebuah majlis sederhana. 
Hazama atau nama sebenarnya Hazama Azmi, 32, berkata, dia berharap rancangan mendirikan rumah tangga itu dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.  
"Saya sekarang terlalu sibuk dengan beberapa program, jadi memang tiada masa untuk buat persiapan perkahwinan. Selain persiapan Anugerah Juara Lagu, saya juga terlibat dengan Mentor Milenia musim kedua. 
"Saya hanya mahu melakukan perkara yang wajib sahaja, mungkin nikah gantung sahaja terlebih dahulu," ujarnya.
Hazama berkata, dia merancang untuk mengadakan majlis tersebut sebelum pertandingan Anugerah Juara Lagu ke31 (AJL31), pada 22 Januari depan. 
Selain itu, penyanyi lagu Malaikat ini berkata, dia dan kekasihnya itu sudah menghadiri kursus perkahwinan. 
Sementara itu, Hazama berkata, dia turut merancang untuk mengadakan majlis resepsi secara sederhana pada suatu masa yang akan difikirkan. 
"Saya tidak fikirkan untuk adakan majlis besar-besaran sebaliknya yang sederhana dan untuk meraikan rakan-rakan sahaja. Namun kami belum membincangkannya lagi," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: