Wednesday, May 4, 2016

Tradisi pesta kubang ikan




Tradisi pesta kubang ikan

KUALA TERENGGANU - ‘Pesta kubang ikan’ di mana peserta perlu menangkap ikan darat menggunakan tangan, mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 100 orang penduduk Kampung Teluk Paku menyertainya.
Terdapat juga penduduk menggunakan peralatan seperti serkap sebagai perangkap ikan sebelum diambil menggunakan tangan di dalam lumpur di tali air sepanjang 500 meter itu.
Acara tradisi turun-temurun penduduk Kampung Teluk Paku itu, memberi peluang kepada generasi Y merasai pengalaman nenek moyang terdahulu menangkap ikan tanpa kemudahan teknologi seperti yang ada sekarang.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Teluk Paku, Ayob Mamat berkata, acara itu diadakan setiap tahun bergantung kepada paras air.
Katanya, acara itu sesuai dilakukan ketika musim kemarau atau tali air mula kering kerana lebih banyak ikan dapat ditangkap dengan lebih mudah, hanya menggunakan tangan berbanding ketika air melebihi paras satu meter.
“Ketika air mencapai satu meter, kita akan gunakan pam air untuk keluarkan air supaya senang untuk tangkap ikan yang bermain di atas lumpur atau lopak air. Cara ini hanya mengambil masa lebih kurang dua jam untuk dapatkan ikan yang banyak.
“Berbanding cara dahulu, nenek moyang kita gunakan daun pinang untuk ‘menimba ikan’ yang memakan masa hingga lewat petang baru dapat kutip hasil (ikan).
“Hampir 100 kilogram ikan jenis haruan, puyu, sepat kedah dan banyak lagi berjaya ditangkap menggunakan tangan pada pesta kali ini dan ia merupakan acara paling meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Ikan-ikan ini dimasak dengan menu istimewa iaitu ikan gulai daun kesum yang dijamu khas kepada peserta dan penduduk kampung,” ceritanya.

Peserta teruja dapat banyak ikan
Ayob berkata, Kampung Teluk Paku yang terletak di daerah terpencil di pinggir bandar Kuala Terengganu terkenal dengan lubuk ikan darat kepada penggemarnya, bukan sahaja daripada penduduk tempatan malah turut menjadi tumpuan penduduk di kawasan lain. 
Seorang peserta cilik, Muhammad Izma Wazih Mohd, 9, berkata, dia teruja dapat menyertai pesta kubang ikan itu dan berjaya menangkap dua ekor ikan iaitu ikan haruan dan sepat kedah.
Berkongsi pengalamannya, Wazih berkata, dia berasa bangga kerana dapat menangkap ikan hanya menggunakan tangan walaupun terpaksa mengejar ikan itu dalam keadaan berlumpur pada paras lutut.
Seorang pemuda, Tengku Mohd Raimy Tengku Abd Rashid, 31, berkata, dia tidak menyangka sambutan tahun ini amat menggalakkan bukan sahaja dari kalangan penduduk Kampung Teluk Paku seperti sebelum ini, malah penduduk sekitar turut sama menyertainya.
“Hari ini (kubang ikan) sangat berbeza berbanding tahun-tahun lain, ramai yang datang dan tangkapan pun lebih (banyak),” ceritanya lagi.
Sementara itu, Ibrahim Jusoh, 33, pula berkata, dia membawa serkap buluh kepunyaannya sendiri untuk menangkap ikan darat di tali air berkenaan.
Menurut Ibrahim, dia dan rakan-rakan sebayanya sudah biasa dengan acara kubang ikan seperti yang diadakan, kerana setiap tahun pasti ada penduduk yang melakukannya sama ada ada dalam kelompok kecil atau besar-besaran seperti hari ini (semalam).
“Serkap buluh ini senang digunakan kerana jika ternampak ada gerakan ikan di dalam lumpur atau lopak air, kita hanya serkap dan cari menggunakan tangan di dalam ruang atas serkap yang disediakan. Ia lebih mudah berbanding tanpa serkap.

Resipi ikan gulai daun kesum 
Manakala seorang tukang masak ikan gulai daun kesum, Tuan Safaat Tuan Chik, 62, berkata, resipi menggunakan daun kesum untuk memasak ikan darat menjadi keutamaan bagi menghilangkan rasa hanyir ikan.
“Kalau masak ikan darat memang kena bubuh (letak) daun kesum, lagipun aroma daun kesum dapat melazatkan lagi rasa isi ikan terutama ikan haruan atau ikan keli.
“Bahan-bahan lain sama sahaja seperti masak gulai biasa tetapi bezanya cuma tambah daun kesum mengikut berapa banyak ikan yang digunakan,” katanya, berkongsi rahsia masakan ikan darat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: