MARANG - Selain pertandingan ayam serama, rakyat di negeri itu juga gemar pada satu lagi aktiviti waktu senggang iaitu memikat burung tekukur yang turut dikenali sebagai merbuk.
Unggas itu merupakan spesies burung yang habitat liarnya di kawasan hutan dan kawasan berbukit manakala cara untuk menjerat atau menangkap burung ini perlu mengenal pasti kawasan tempat tinggalnya terlebih dahulu.
Seorang pemikat dan penjual tekukur, Rosli Che Mat, 53, berkata, kerja memikat burung itu memerlukan kesabaran tinggi dan kadang-kala terpaksa mengambil masa berhari-hari untuk mendapatkan seekor burung yang diingini.
Menurut Rosli, lazimnya pilihan itu dibuat berdasarkan pada bunyi kicauan yang merdu.
“Untuk tujuan memikat tekukur, seseorang pemikat memerlukan seekor denak untuk mengumpan burung pemikat yang ditambat dan jerat dengan menggunakan tali dan dua batang pemacak iaitu unjang diperbuat daripada besi.
“Burung tekukur liar yang tersilap langkah akan memasuki jerat tersebut. Kebiasaannya, ia tidak akan terlepas lagi dari perangkap itu apabila sebelah kakinya sudah terikat,” katanya ketika ditemui di Jalan Undang di sini.
Rosli berkata, hobinya memikat burung tersebut bermula sejak usia muda lagi dan kini juga aktif menjual burung tekukur kepada peminat unggas bersuara merdu malah pernah menjual seekor burung pada harga lebih RM10,000 seekor.