Syanie bersama bekas suaminya pada majlis perkahwinan mereka.
"TAHAP kesabaran ada batasnya," luah pelakon Syanie atau nama sebenarnya Syaniza Hisham, 42, mengenai perceraiannya dengan Nadi Putera Mohd Zainol, 30, pada 23 Februari lalu.
Pelakon yang popular dengan filem Biar Betul dan Cinta Luar Biasa itu reda rumah tangga yang dibina tidak mampu bertahan, malah sedikit pun tidak nampak kesal di wajah, sebaliknya meneruskan kehidupan serta karier seperti biasa.
"Punca sebenar perceraian biarlah kami sahaja yang tahu. Cukuplah sekadar saya beritahu kami berpisah kerana sikap dia yang tidak menghargai saya sebagai isteri.
"Tidak perlu diungkit lagi apa yang berlaku dan telah dilakukan oleh dia (bekas suami) kepada saya.
"Apabila sampai satu masa saya sudah tidak dapat menahan sabar lagi, maka inilah sahaja keputusan dan jalan terbaik untuk kami," katanya ketika ditemui di Karnival Keusahawanan Melewar 2016 di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban, semalam.
Jelasnya, dia mengambil sikap berdiam diri mengenai kisah perceraian atas dasar hormat kepada bekas ibu mertua yang meminta agar kisah perkahwinannya tidak dihebohkan walaupun selama ini ramai pihak menuding jari menyalahkan dirinya.
“Sebab itulah saya mengambil keputusan berdiam diri, namun lain pula ceritanya apabila bekas suami bertindak membuka akaun Facebook baru dengan status ‘single’, yang menyebabkan ramai pihak mula mencanang kisah rumahtangga kami.
“Saya tak kisah pun, tapi kalau dia sendiri tak tahu nak jaga maruah diri, buat apa saya berdiam lagi, sebab itulah sekarang ini saya bersuara dan memberi penjelasan," katanya.
Katanya, hubungannya dengan anak dan keluarga bekas mertua masih baik dan sehingga kini mereka masih berhubung.
Syanie turut berpesan kepada mereka yang tidak tahu menahu perkara sebenar mengenai rumahtangganya agar tidak sesuka hati membuat spekulasi tanpa usul periksa.
Terdahulu Syanie pernah mendirikan rumahtangga bersama Mohd Attirmidi Abdul pada 1996 dan bercerai pada 2002.
Namun, selepas 12 tahun Syanie berkahwin dengan Nadi Putera pada 2014.
Kata Syanie, dia tidak serik untuk berkahwin sekiranya bertemu jodoh pada masa akan datang, namun untuk mencari jodoh dia tidak pernah memikirkan hal itu lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: