PENYANYI popular, Hafiz Suip memilih 14 Mei ini untuk menamatkan zaman bujangnya.

Hafiz yang mengikat tali pertunangan bersama Nureffy Jesreel Abdullah pada Februari tahun lalu berkata. persiapan majlis hari bahagianya sudah pun siap hampir 70 peratus.

"Semakin dekat dengan hari perkahwinan, semakin saya berasa gementar. Pada masa sama, macam-macam cabaran yang datang. Bagaimanapun saya anggap ia perkara biasa dilalui bakal suami seperti saya.

"Apabila bertemu sesiapa pun, andainya soal kahwin yang dibicarakan, ia menambah tekanan. Apapun, saya sudah bersedia memikul tanggungjawab ini. Diharapkan, apa yang dirancang kelak akan berjalan lancar. Insya-ALLAH," katanya petik laporan Berita Harian.

Mengenai perancangan mengadakan majlis di ibu kota, Hafiz tidak dapat memberikan sebarang kata putus mengenainya.

 "Memang ada keinginan ke arah itu, tetapi saya tidak dapat mengesahkan perkara yang belum pasti," katanya.

Menurut Hafiz, beliau dan Effy menjalinkan persahabatan sejak lima tahun lalu ketika dirinya belum mencipta nama sebagai penyanyi.

Hafiz juga berkata dirinya tertarik dengan Effy kerana gadis itu lemah lembut, matang dan menghormati orang tua.