LABIS - Langkah untuk menjadikan Pekan Bekok sebagai lokasi berasaskan ekopelancongan dan agro-pelancongan selaras dengan hasrat kerajaan negeri, semakin ketara apabila pelbagai usaha telah dilakukan.
Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong berkata, antaranya bangunan lama yang mempunyai nilai estetika dan warisan di sekitar Pekan Bekok di sini, akan diberi nafas baharu bagi memberi satu lagi nilai tambah kepada pekan kecil tersebut.
“Kita sedar di Bekok terdapat pelbagai bangunan lama dan melalui Program Transformasi Bekok (BTP), bangunan lama yang terdapat di sini akan dihiasi lukisan mural berkonsepkan flora dan fauna.
“Bagaimanapun, lukisan mural ini akan dilaksanakan secara berperingkat, di mana tenaga kerja terlibat terdiri daripada penduduk setempat dengan bantuan badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Menurutnya, sebelum ini terdapat beberapa bangunan lama telah dilukis dengan mural seperti bangunan di Jalan Wijaya, di sini, yang dihiasi dengan lukisan Air Terjun Sungai Bantang, selain menjangkakan lebih banyak mural dilukis tahun ini.
Menurutnya, Bekok kawasan yang kaya dengan tarikan pelancongan kerana merupakan pintu masuk kedua untuk pelancong yang ingin ke Taman Negara Johor Endau Rompin, terletak kira-kira 26 kilometer dari Pekan Bekok.
“Selain Air Terjun Sungai Bantang, terdapat beberapa perkampungan Orang Asli seperti Kampung Tembayan, Kudung, Tamok, Kemidak dan Selai, yang mana masyarakatnya masih mengamalkan cara hidup tradisional.
“Saya berharap lebih ramai pelancong akan datang ke Bekok selepas ini, sekali gus merancakkan kembali ekonomi penduduk setempat kerana perhubungan ke Bekok juga mudah, sama ada menaiki kereta api atau perjalanan darat,” katanya.
Dalam pada itu, Tee Yong berkata, isu pembangunan Pekan Bekok telah dibawa ke Parlimen, namun belum ada perancangan untuk memajukan Bekok dalam skala besar buat masa sekarang.
“Untuk pembangunan jangka masa panjang, saya mengharapkan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru yang akan melalui Bekok dapat mengubah landskap ekonomi dan sosial penduduk di sini.
“Saya juga telah mencadangkan supaya Bekok menjadi stesen perhentian kereta api tersebut dan secara tidak langsung memberi akses lebih mudah kepada pengunjung yang ingin datang ke Bekok pada masa akan datang,” katanya.