KEGILAAN wanita terhadap emas bukan hanya membabitkan wanita bergaji besar atau lumayan sahaja, bahkan ketaksuban untuk memilikinya membuatkan ada sesetengah wanita rela mengikat perut, asalkan dapat membeli emas yang diidam-idamkan.
Meskipun harganya melambung tinggi, kedai emas tetap dikunjungi pelanggan yang mahu mendapatkan stok atau rekaan terkini.
Ikuti laporan Sinar Harian bersama wartawan ROSMIZA KASIM dan SITI FATIHAH AWANG, bersama jurufoto,JAZALY AMRY JAAFAR mengenai isu emas dan pengaruhnya terhadap wanita Kelantan.
EMAS mempunyai pelbagai jenis, malah rata-rata penggemar emas seluruh dunia akan memastikan reka bentuk perhiasan mereka terdiri daripada emas yang tulen dan terbaik.
Ada juga di antara penggemar emas ini akan ke luar negara untuk membeli emas di sana. Namun sebenarnya, ia bukanlah disebabkan harga kerana kebanyakan emas adalah sama, sebaliknya proses penghasilannya sahaja yang membezakannya antara menjadi hasil karya yang cantik atau tidak.
Beza emas 916 dan 999
Banyak pendapat membincangkan mengenai perbezaan antara emas 916 dan 999 ini. Namun secara umumnya, perbezaan kedua-dua emas ini dapat diterjemahkan dari segi ketulenan bahan itu sendiri.
Emas 999 dikatakan mempunyai ketulenan sehingga 99.99 peratus berbanding 916 hanya 91.6 peratus. Malah ada berpendapat, kebanyakan emas 916 biasanya dicampur dengan logam lain untuk menjadikannya lebih tumpat.
Emas 916 juga digunakan untuk membuat gelang, rantai dan sebagainya. Selain itu, emas 999 dikatakan mempunyai warna kuning keemasan yang lebih terang berbanding 916, kerana emas 916 dikatakan hanya berwarna kemerahan dan jingga.
Walaupun begitu, emas 999 sering dijadikan emas jongkong, bar atau dinar, berbanding emas 916 yang biasa digunakan untuk membuat perhiasan. Bagaimanapun kini, emas 916 juga kian popular dalam bentuk dinar.
Sering kali juga emas dijadikan salah satu bahan gadaian dan nilai sewaktu pajakan tersebut juga bergantung pada harga nilai emas berkenaan.
Emas 999 dikatakan mempunyai nilai yang jauh lebih tinggi berbanding 916. Nilai yang akan disukat ialah mengikut gram ketulenan emas tersebut. Selain itu, ia juga boleh dinilai melalui ‘spread value’. Spread value bagi emas 999 ialah antara enam hingga sembilan peratus, manakala bagi emas 916 adalah sebanyak 15 hingga 25 peratus.
Ramai pengkaji emas berpendapat, penyimpan emas seharusnya belajar dan membuat kajian berkenaan spread value ini di mana-mana tempat yang menerima emas untuk dibeli, dan memastikan spread value yang ditawarkan lebih rendah.
Dalam pada itu, emas 916 adalah emas yang sangat mudah untuk dipajak di mana-mana kedai pajak emas, walaupun nilaian sewaktu dipajak tidaklah tinggi bergantung kepada ketulenannya. Manakala untuk emas 999 pula, tidak semua kedai menerima pajakan emas jenis tersebut. Kebiasaannya, hanya ada kedai tertentu sahaja yang menerima pajakan 999, ataupun bank dan agensi yang bertauliah.
Peniaga akui emas Kelantan jadi tarikan
Ramai mengakui ‘emas Kelantan’ menjadi tarikan ramai, namun sebenarnya gelaran ‘emas Kelantan’ itu tidak membezakan apa-apa pun. Sebenarnya emas yang digunakan adalah sama iaitu 916 untuk perhiasan wanita. Apa yang membezakannya adalah harga. Harga emas yang dibeli di Kelantan jauh lebih murah berbanding di negeri lain.
Khuzairi Abd Rahman, seorang peniaga emas terkenal yang beroperasi di Parkson Kota Bharu menggunakan nama ‘Tukang Emas’ berkata, memang emas Kelantan menjadi kegilaan ramai, terutamanya daripada rakyat Kelantan itu sendiri.
“Memang ada di antara pelanggan kami yang bekerja di Kuala Lumpur, sanggup balik ke Kota Bharu semata-mata untuk membeli seutas gelang, rantai mahupun cincin, kemudian naik kapal terbang, pulang kembali ke Kuala Lumpur.
“Itu perkara biasa, kerana mereka tidak akan ‘berdiam’ diri jika apa yang mereka mahukan tidak dapat dicapai.
“Malah ada di antara mereka yang sanggup meminta ahli keluarga datang belikan dan pos atau hantar kepada mereka, terutamanya pelanggan yang berada di Brunei, Sabah, Sarawak,” ujarnya.
Katanya, beza emas hanya pada ketulenannya dan emas jenis 916 memang paling sesuai digunakan untuk membuat barang perhiasan. Emas jenis lain juga boleh digunakan untuk dibuat barang perhiasan, namun terpulang kepada campurannya.
Beliau yang lebih setahun menceburi bidang perniagaan emas ini memberitahu, apa yang penting ialah proses pengakhiran produk tersebut yang akan menampakkan kecantikan dan serinya emas itu.
“Kalau finishing (proses akhir) tidak kemas, maka tidak lawa juga. Walaupun harganya beribu-ribu ringgit, tapi ada yang nampak macam dua tiga ratus sahaja. Kalau finishing bagus, cincin berharga RM100 pun nampak macam RM2,000 hingga RM3,000.
“Apabila kita muat naik gambar dalam Facebook, Instagram dan sebagainya, rata-rata peminat emas akan bertanya, sebab mereka tahu, itu hasil finishing yang baik, kemas, bukannya gambar yang telah diedit,” katanya.
Sanggup ‘ikat perut’ untuk beli emas
Menurutnya, cincin merupakan barang perhiasan utama yang menjadi pilihan. Rata-rata pembeli yang ditemui kebanyakannya tidak gemar menyimpan duit, sebaliknya mereka lebih gemar habiskan dengan membeli barang kemas untuk diri sendiri mahupun untuk keluarga.
Pernah terjadi, seorang pelanggan datang ke kedainya, dan pulang ke rumah tanpa membeli sebarang emas. Namun sejam selepas itu, pelanggan tersebut datang kembali, dengan alasan, tidak senang duduk kerana tidak membeli barang yang menjadi pilihannya.
Wujud juga istilah ‘ikat perut’ apabila membincangkan mengenai pembelian emas, terutamanya bagi mereka yang ‘gila-gila’ dan meminati sesuatu reka bentuk tertentu.
Malah tidak keterlaluan dikatakan, mereka juga sanggup menahan nafsu memiliki beg dan baju baharu, asalkan dapat memiliki emas pilihan mereka.
Berkongsi kegilaan terhadap emas, Nor Airi Shahira Romainor, 21, memberitahu, dia meminati emas terutamanya gelang ukir nama, rantai dan cincin sejak meninggalkan bangku sekolah beberapa tahun lalu.
Menurutnya, dia mula mengumpul duit selepas menamatkan persekolahan dan berkat usaha serta dengan bantuan ibu, dia berjaya memiliki gelang nama yang berharga lebih RM4,000 ketika itu.
“Sekarang saya sudah lebih setahun bekerja dan dengan gaji RM1,000 sebulan, saya berjimat dan simpan duit sehingga boleh beli cincin berharga lebih RM2,000, satu set dengan gelang.
“Kini saya sedang kumpulkan RM8,000 untuk tempah rantai ukir nama saya, yang juga akan jadi satu set dengan gelang dan cincin yang sudah ada dalam koleksi saya.
“Bukan hanya berjimat, boleh dikatakan saya terpaksa ‘ikat perut’ juga. Tapi saya yakin, pengorbanan ini berbaloi untuk kepuasan diri saya sendiri,” katanya.
Gadis yang berasal dari Kadok yang mesra disapa dengan nama Iera ini juga turut berkongsi, dia hanya belanja RM3.50 sehari untuk makan nasi berlaukkan ayam goreng, dan kadang-kadang bawa bekal yang disediakan ibunya, sementara duit gaji selebihnya untuk pembayaran rumah sewa dan juga simpanan belian emasnya.
Pengalaman pembeli emas 916 dan 999
Pekerja swasta, Jamilah Omar, 45, yang tinggal di Sungai Golok Thailand memberitahu, dia meminati emas sejak mula bekerja di awal usia 23 tahun. Emas yang menjadi pilihannya ialah jenis 916.
Jamilah berkata, dia akan ke Kota Bharu sebulan sekali untuk membeli emas 916 yang memang menjadi pujaannya kerana keunikan dan kecantikan yang tidak sama dengan emas jenis lain.
“Saya memiliki dua rantai yang dibuat menggunakan emas 916 dan 999. Rantai tersebut dibuat pada 2013 dengan harga RM7,000 dan RM9,000 setiap satu.
“Apa yang menarik ialah, warna tulen emas itu menaikkan lagi seri reka bentuk yang dicipta pada rantai tersebut. Ini yang membuatkan rantai itu kelihatan lebih cantik walaupun tidaklah sebesar mana,” katanya.
Jamilah berkata, selain gilakan emas untuk nampak lebih bergaya, pembelian emas juga adalah untuk simpanan jangka panjang.
“Tidak rugi saya beli emas mahal-mahal. Saya yakin suatu hari nanti ia berguna pada saya dan anak cucu,” katanya.
Sementara itu, Zainun Mohamad, 68, berkongsi pengalamannya yang pernah membeli lebih 20 rantai emas memberitahu, minat membeli emas bermula sejak mempunyai seorang kenalan yang juga seorang tukang emas.
“Kawan saya, arwah Pak Mat Emas, selalu mereka bentuk dan corak eksklusif untuk saya. Boleh dikatakan setiap dua bulan sekali, saya akan buat urusan jual beli emas ini. Tapi sejak beliau meninggal tiga tahun lalu, saya tidak jual emas sedia ada. Saya simpan koleksi ciptaan arwah,” katanya.
Menurutnya, emas 916 menjadi pilihan arwah Pak Mat untuk menghasilkan gelang, rantai dan cincin permintaan beliau dan Pak Mat akan pastikan ciptaannya itu tidak mudah patah, tercabut dan sebagainya.
“Kadang-kadang, ada sesetengah tukang emas yang buat sambil lewa sehingga ada gelang dan rantai yang mudah tercabut dan sebagainya. Dalam hal ini, Pak Mat adalah orang yang sangat arif dan tiada tandingannya, berbanding tukang-tukang lain yang saya kenal,” katanya.
Miliki jongkong emas untuk masa depan
Bukan hanya perhiasan emas menjadi pilihan, sebaliknya ada di antara anak-anak muda kini memilih untuk menyimpan jongkong atau kepingan emas sebagai pelaburan masa hadapan.
Penjawat awam, Farisa Faizul, 32, berkongsi minatnya dalam mengumpul jongkong emas dan menurutnya, minat itu tertanam apabila keperluan kerja kini memaksa dia melupakan seketika niat untuk berhias dengan barangan kemas.
“Apabila saya memilih kerjaya sebagai jururawat, saya mula mengalih perhatian untuk mengumpul goldbar yang dibeli setiap bulan. Ia merupakan simpanan tetap saya dan mempunyai nilai tinggi pada masa hadapan.
“Saya mula mengumpul goldbar sejak Jun 2015 dan kini sudah memiliki sembilan keping goldbar yang dibeli dengan harga RM175 satu gram, tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, harga goldbar tersebut akan naik mengikut harga emas pasaran dunia dan kebiasaannya jika dijual, pemilik akan mendapat untung lebih RM30 atau mungkin dua kali ganda daripada harga asal.
Katanya, bukan mudah untuk golongan muda belajar menyimpan duit dan sebagainya pada zaman yang serba moden dan canggih kini, namun baginya, dengan cara inilah beliau mampu memiliki aset sendiri, walaupun ia dikumpul bulan ke bulan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: