Wednesday, May 4, 2016

Artifak China jadi tumpuan



Artifak China jadi tumpuan
Pengunjung yang hadir tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan jed berbentuk harimau seberat 7.5 kg yang dikenali sebagai Heavenly Tiger.
KUALA LUMPUR – Sut pengebumian diperbuat daripada jed adalah antara artifak menarik yang menjadi perhatian orang ramai di Museum of Asian Art, Universiti Malaya.
Artifak berkenaan adalah satu daripada barang pameran bersejarah dari China yang dimiliki syarikat tempatan iaitu Asian Heritage Museum (AHM).
Ia dipamerkan kepada orang ramai sempena Exhibition Fair Exciting Work of Art From China yang berlangsung dari 29 April hingga 1 Mei.
Ketua Pegawai Eksekutif AHM, KK Tan berkata, sut pengebumian adalah koleksi artifak dari China yang diperoleh dari Dinasti Han.
“Sut ini mempunyai cantuman jed berjumlah 1,912 keping dengan berat keseluruhan 16.4 kilogram.
“Pakar telah mengesahkan cantuman jed yang digunakan adalah tulen dan berusia hampir 2,000 tahun,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, sut adalah pakaian rasmi keluarga diraja yang dimakamkan bersama maharaja atau ahli keluarga mereka setelah mangkat.
Beliau berkata, pakaian pengebumian berkenaan tidak ternilai harganya dan hanya digunakan untuk tujuan pameran sahaja.
Selain sut pengebumian, terdapat kira-kira 130 koleksi bersejarah dari China turut dipamerkan pada Exhibition Fair Exciting Work of Art From China.
Semua koleksi berkenaan bernilai ratusan jutaan ringgit dan diperoleh daripada era pemerintahan China seperti Dinasti Han, Ming dan Shang.
Menurut KK Tan, pameran itu dianjurkan dengan kerjasama rakan kongsi AHM dari China iaitu Juyi Group of Guangzhou and Hong Kong.
Katanya, ia usaha untuk mempromosikan warisan seni, budaya dan hubungan baik antara Malaysia dan China.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: