Wednesday, September 30, 2015

Yatt Hamzah bangkit teruskan kehidupan



Yatt Hamzah
Yatt Hamzah
KITA hanya mampu merancang, tapi ALLAH menentukan segalanya. Begitulah yang dapat disimpulkan mengenai perjalanan hidup wanita bernama Haryati Hamzah ini.

Tidak mahu terus meratapi mahupun bersedih atas perpisahan yang berlaku sebulan lalu, Yatt berkata, pada awalnya, dia tidak menafikan kehidupan tanpa lelaki bernama Abdul Mutalib Abdul Shukor agak canggung, namun lama kelamaan, dia semakin biasa dengan kehidupan baharunya.

“Memang perpisahan ini amat menyedihkan tapi hidup mesti diteruskan. Apatah lagi, Talib kini tidak lagi terlibat dengan pengurusan Suci by Yatt Hamzah. Jadi sekarang saya uruskan semua berbanding sebelum ini saya hanya uruskan bahagian pemasaran.

“Saya tak nafikan kehidupan saya kini sangat sibuk tapi ia juga menjadi terapi untuk saya bangkit, selain kekuatan yang ALLAH SWT berikan kepada saya,” katanya kepada Zass.

Tambah Yatt, dia percaya, ALLAH SWT adalah sebaik-baik perancang dan dek kerana itu, dia tidak mahu merendah diri dan malu dengan status yang dipegangnya kini.

“Ada di antara masyarakat kita yang memandang rendah pada pasangan yang bercerai, lebih-lebih lagi apabila wanita itu memegang gelaran janda atau ibu tunggal.

“Malah, saya juga tak mahu jadi seperti sesetengah wanita yang meratapi dan bersedih dengan penceraian mereka. Tapi saya tak nafikan ada menangis, tapi air mata itu adalah jadi semangat dan kekuatan buat saya,” katanya.

Berkongsi perihal anak mereka, Suci Hanania Malika, 5, jelas Yatt, mereka tidak punya sebarang masalah menjaganya.

“Tidak wujud isu berebut anak dan lain-lain. Giliran menjaga anak sudah kami bincangkan. Malah, kami juga berjanji akan lakukan yang terbaik untuknya,” katanya.

Wanita berusia 35 tahun ini menambah, anaknya itu seakan memahami perpisahan ini dan ada ketikanya turut memaklumkan kepada rakannya dan Yatt.

“Cuma ada sekali dia lukis gambar kami sekeluarga dan mengatakan itu gambar keluarga ketika Hari Raya Aidiladha yang lalu, itu sudah cukup membuatkan saya sebak,” katanya.


Lancar koleksi baharu

Dalam pada itu, Yatt berkata, dia baru sahaja melancarkan koleksi terbaharu Suci by Yatt Hamzah pada minggu lalu dan sambutan setakat ini amat memberangsangkan.

“Alhamdulillah Suci by Yatt Hamzah sudah ada pengikutnya dan apabila kita keluarkan koleksi terbaharu, ia sentiasa mendapat permintaan.

“Untuk koleksi kali ini, saya dapat ilham dari Indonesia, Timur Tengah dan Barat. Di mana ada di antara koleksi, pada asalnya adalah rekaan yang agak seksi, namun saya ubah dan jadikan ia jubah Muslimah,” katanya.

Menurut Yatt, buat masa ini dia mahu fokus untuk melebarkan lagi perniagaan Suci by Yatt Hamzah dan dalam masa sama turut merancang untuk kembali aktif dalam bidang seni.

“Saya bukan jenis yang buat kerja tergopoh-gapah. Memang saya ada perancangan nak terbitkan program sendiri. Tapi segalanya masih dalam peringkat perbincangan.

“Kalau boleh saya mahu terbitkan sebuah program tidak kisah drama, telefilem dan program bual bicara, tapi yang ada inti pati dakwah. Yang mana apabila orang menonton, ia sedikit sebanyak dapat menyentuh perasaan mereka.

“Jadi, kalau pun saya tak dapat terlibat dalam program itu, saya akan beri kepada orang lain. Kita tunggu dan lihatlah macam mana nanti,” katanya.

Gitaris wanita berpurdah tarik perhatian


Gitaris wanita berpurdah tarik perhatian

SEORANG wanita muslim berpurdah bermain gitar bergenre heavy metal menarik perhatian ramai.

Gisele Marie, 42 yang berasal dari Sao Paulo, Brazil merupakan peminat tegar muzik heavy metal.

Gisele menyertai kumpulan muzik Spectrus bersama abangnya selama beberapa tahun sebelum bersama sebuah band baru dan kini sedang bertungkus-lumus untuk menyiapkan sebuah album.

Menurutnya, ramai orang terkejut apabila melihat seorang wanita Muslim yang mengenakan purdah bermain dalam kumpulan heavy metal, namun ada juga yang merasakan ia unik, menarik, dan sangat 'cool'

"Saya tidak peduli tentang pandangan orang ramai terhadap saya hanya kerana saya memakai niqab, tetapi saya berharap orang ramai memahami bahawa Islam hanyalah agama saya dan muzik adalah profesion saya, dan sememangnya dua perkara ini merupakan ciri-ciri peribadi saya.

"Fokus saya ialah pada muzik dan hakikat bahawa saya seorang Islam tidak mempunyai pengaruh atau apa-apa kaitan ke atas muzik yang saya mainkan," katanya dipetik MailOnline.

Tambah Gisele lagi, dia kini sedang melawan stereotaip dan berharap lebih ramai melakukan perkara sebegini.

Gisele yang merupakan cucu kepada seorang penganut Kristian Katolik dari Jerman memeluk Islam pada tahun 2009 beberapa bulan selepas ayahnya meninggal dunia.
 
"Saya datang dari sebuah keluarga Kristian, tetapi saya tidak mempunyai masalah dengan keluarga bahawa saya menjadi seorang wanita Islam. Malah, mereka semua menyokong saya," katanya.

Ditanya mengenai masalah yang dihadapinya apabila memakai niqab ketika membuat persembahan, Gisele berkata, dia telah mengenakan niqab dalam tempoh masa yang lama dan ia adalah pakaian biasa dan tiada apa yang berbeza memakai niqab di atas pentas sambil bermain gitar.

Sado cara Kevin Zahri



Kevin Zahri
Kevin Zahri
SEAKAN menjadi trend kini apabila ramai artis lelaki tampil membina badan untuk lebih menarik.

Mengulas mengenai perkara itu, perunding kesihatan, pemakanan dan kecergasan, Kevin Zahri berkata, membina badan juga harus seiring dengan penjagaan kesihatan yang betul.

“Perkara itu tidak menjadi buruk sekiranya ia mendorong seseorang artis untuk menjadi lebih baik pada fizikalnya. Memang takrifan kecerdasan bagi seseorang adalah berbeza, namun setiap artis itu tidak harus membina badan berotot sahaja tanpa memikirkan soal kesihatan,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis Pelancaran Program Astro Bella, Jom Kurus Cabaran 30 Hari, baru-baru ini.

Kevin yang menjadi pengacara bagi program tersebut, juga berpandangan mereka yang mementingkan six-pack adalah untuk kecantikan sahaja.

“Membina badan sado tidak bermakna dapat menyelesaikan masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, tekanan hidup dan lain-lain.

“Bagi saya, mereka perlu tahu tahap kesihatan diri dahulu sebelum membina badan, kerana setahu saya untuk dapatkan six-pack hanya untuk kecantikan.

“Selain itu ada antara jurulatih fitness hanya menumpukan kepada membina badan berbanding tumpuan kepada kesihatan terlebih dahulu.

“Ada juga antara pelatih fitness itu tidak punyai kelayakan yang diiktiraf,” katanya.

Kevin yang turut dikenali sebagai Cikgu Fitness Malaysia turut berkongsi yang dirinya pernah mempelawa Abam Bocey untuk menyertai program Jom Kurusnya.

“Saya belum mendapat maklum balas daripadanya. Segala keputusan untuk mengubah diri adalah atas diri masing-masing. Ia tidak boleh dipaksa,” katanya.

Tunjuk bakat mengambil gambar dengan IIB



Tunjuk bakat mengambil gambar dengan IIB
Karya bertajuk Kota Iskandar- Kota Cintaku memenangi tempat pertama pertandingan berkenaan pada tahun lalu.
JOHOR BAHRU - Orang ramai dipelawa untuk menyertai pertandingan fotografi dan videografi dengan tema baharu ‘We Are Iskandarians’ IM Klik 2015 anjuran Iskandar Investment Berhad (IIB).

Pertandingan berkenaan terbuka kepada semua yang berminat termasuk jurugambar amatur dan profesional telah bermula sehingga 31 Oktober ini membabitkan karya mengenai gaya hidup di Iskandar Malaysia.

Setiap karya boleh dihantar melalui laman web IM Klik iaitu www.imklik.com bagi berpeluang memenangi hadiah utama berupa baucar tunai sebanyak RM4,000.

Pemenang kedua dan ketiga menerima baucar tunai RM3,000 dan RM2,000 manakala sebanyak 27 hadiah saguhati turut disediakan.

Selain hadiah lebih lumayan berbanding tahun sebelumnya, penganjur turut menyediakan kategori tambahan iaitu video pendek yang dijangka mampu menjadi medium pilihan golongan muda untuk menyatakan kebanggaan mereka sebagai warga Iskandar.

Slot selama 15 saat menggunakan media sosial Youtube dan Instragram akan dinilai dengan jumlah ‘like’ yang diterima untuk menjadi pemenang.

Sementara itu, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, pihaknya menjangkakan menerima 1,000 penyertaan bagi pertandingan yang telah diperkenalkan sejak tahun 2014.

“Kita amat berbesar hati apabila pertandingan ini sentiasa mendapat sambutan yang amat menggalakkan semenjak ia diperkenalkan.

“Melalui karya yang dihasilkan bagi pertandingan ini  ia mampu menggambarkan rasa bangga warga Iskandar Malaysia dari semua lapisan masyarakat mengenai perkembangan pembangunan pesat yang berlaku di depan mata mereka,”katanya.

Edisi pertama pertandingan ini pada tahun lalu adalah bertemakan ‘Liveable City of Iskandar Malaysia’yang turut diabadikan dalam sebuah buku bertajuk ‘Iskandar Malaysia – Through the Lens’

Tertipu lebih RM10 juta



Tertipu lebih RM10 juta
Lebih 40 pelabur mengadakan bantahan aman di hadapan premis syarikat pelaburan berasaskan ikan arowana di Kampung Tebuk Panchur, Bukit Merah.
GUNUNG SEMANGGOL - Harap pegar, pegar makan padi.

Demikian nasib menimpa lebih 40 pelabur sebuah skim pelaburan ikan arowana yang ditawarkan sebuah syarikat pengusaha ikan itu di Bukit Merah, di sini apabila kempunan menerima sebarang laba pelaburan sebagaimana dijanjikan sejak empat tahun lalu.

Lebih menyedihkan, kesemua pelabur berkenaan kini bingung memikirkan status pelaburan mereka setelah pemilik syarikat didakwa gagal memberi maklum balas selain enggan bersemuka dengan mereka sejak setahun lalu.

Berikutan itu, kesemua pelabur berkenaan mengadakan pertemuan khas di premis kolam ikan arowana milik syarikat itu di Kampung Tebuk Panchur, di sini sebelum membuat laporan polis ke atas pemilik syarikat atas dakwaan menipu wang pelaburan mereka berjumlah lebih RM10 juta.


Tangguh beli rumah

Wakil pelabur, Zuraya Mohd Noor, 41, berkata, pada akhir 2011, dia tertarik untuk menyertai skim pelaburan ikan arowana ditawarkan syarikat itu melalui iklan pelaburan disiarkan akhbar tempatan.

Setelah berbincang dengan keluarga, Zuraya yang berasal dari Kuala Lumpur bersetuju untuk menangguhkan hasrat pembelian sebuah rumah dan menggunakan wang simpanan itu bagi menyertai skim pelaburan berkenaan.
“Saya menggunakan wang simpanan bernilai RM40,000 untuk menyertai pelaburan itu dan dijanjikan minimum pulangan keuntungan sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan.

“Berdasarkan penerangan pemilik syarikat, nilai wang pelaburan saya itu bersamaan dengan dua ekor ikan induk Malaysian Golden Arowana Highback yang didakwa berharga hampir RM20,000 setiap satu.

“Jadi, dua ekor ikan arowana induk itu akan ditempatkan di dalam sebuah kolam ikan khas yang bakal dipantau rapi oleh pekerja syarikat berkenaan, selain ikan terbabit turut dipasang cip pengesan kononnya bagi mengelakkan terkeliru dengan ikan milik pelabur lain,” katanya pada sidang media di premis kolam ikan arowana syarikat berkenaan di Kampung Tebuk Panchur, di sini.

Zuraya berkata, setiap kolam ikan arowana diselia syarikat berkenaan difahamkan akan ditempatkan 10 ekor ikan arowana induk milik pelabur dan sentiasa dipantau sehingga ikan induk berkenaan bertelur dan melahirkan anak ikan.

Menurutnya, pemilik syarikat pelaburan itu memberi jaminan sekurang-kurangnya seekor anak ikan induk berukuran empat inci dilaburkannya akan dapat dijual setiap bulan dengan harga sekurang-kurangnya RM1,500.

“Namun, selepas setahun berlalu, kami masih tidak menerima sebarang pulangan sebagaimana dijanjikan dan setiap kali kami hadir ke kolam syarikat, penyelia kolam sekadar memberi alasan ikan induk saya gagal bertelur.

“Lebih kurang dua tahun kemudian, saya dan suami pula tidak dibenarkan hadir melawat ikan arowana yang dilabur atas pelbagai alasan tidak munasabah.

“Lebih kesal, sejak setahun lalu, kami gagal menghubungi pemilik syarikat bagi mendapatkan penjelasan lanjut,” katanya.


Kempunan duit pulangan

Seorang pelabur, Muhammad Zainon, 53, dari Sungai Petani, Kedah mendakwa dia kempunan menerima pulangan pelaburan bernilai paling kurang RM500,000 setelah dijanjikan tawaran pelaburan sedemikian oleh pemilik syarikat.

Menurutnya, dia melaburkan RM120,000 bagi menyertai skim pelaburan syarikat dan dijanjikan pulangan semula wang modal dalam tempoh tidak sampai setahun.

“Saya juga diberi jaminan setiap ikan arowana yang diselia syarikat berkenaan akan dipantau keselamatannya secara rapi termasuk penyediaan kamera CCTV di setiap kolam.

“Pemilik syarikat itu turut menjanjikan pulangan pendapatan sekurang-kurangnya RM9,000 sebulan kepada saya berdasarkan jumlah modal dilaburkan.

“Selepas lima tahun berlalu, sehingga kini saya langsung tidak menerima walau satu sen pun wang pulangan pelaburan sebagaimana dijanjikan,” katanya.


Pemilik syarikat berdolak-dalik

Muhammad berkata, setelah setahun tidak menerima pulangan keuntungan, dia sering berkunjung ke ibu pejabat syarikat itu yang terletak di Pandan Indah, Kuala Lumpur bagi menanyakan status pelaburannya.

Bagaimanapun, Muhammad mendakwa pemilik syarikat berkenaan sering berdolak-dalik dengan memberikan pelbagai alasan tidak munasabah selain sering menolak permintaannya untuk bersemuka.

“Lebih mengejutkan, ibu pejabat syarikat itu ditutup secara mengejut pada tahun lalu tanpa memberikan sebarang notis pemberitahuan kepada pelabur-pelabur.

“Saya pernah bertanyakan alasan syarikat berkenaan masih gagal membayar pulangan pelaburan kepada setiap pelaburan dan jawapan balas diberikan pihak syarikat adalah ikan arowana di kolam syarikat sering dicuri atau harga pasaran ikan arowana merudum,” katanya.

Muhammad berkata, berang dengan sikap tidak bertanggungjawab syarikat itu, pihaknya berjaya mengumpulkan sejumlah 40 pelabur syarikat yang turut menerima nasib sama melalui aplikasi media sosial.

Menurutnya, berdasarkan tinjauan dibuat, kesemua pelabur dianggarkan mengalami kerugian bernilai RM20,000 hingga RM500,000 dan hampir kesemuanya kini terpaksa menanggung hutang pembiayaan pinjaman peribadi dengan bank.

“Susulan itu, kami mendesak pemilik syarikat berkenaan untuk tampil mengemukakan laporan audit syarikat dan memulangkan semula wang pelaburan kami berserta keuntungan dijanjikan dalam tempoh masa segera.

“Jika pemilik syarikat berkenaan gagal berbuat demikian, kesemua pelabur tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atasnya memandangkan kami mempunyai bukti perjanjian bertulis terhadap setiap pelaburan dibuat,” katanya.

Terkejut terima saman motosikal



Terkejut terima saman motosikal
Norazlin menunjukkan laporan polis dan nombor pendaftaran keretanya yang disalah guna sehingga menyebabkan dua saman dikenakan ke atasnya.
BANDAR KUALA KANGSAR - Seorang guru terkejut apabila menerima surat saman ke atas keretanya dari Kuala Lumpur sedangkan dia berada di Kuala Kangsar sejak beberapa bulan lalu.

Norazlin Adam, 38, berkata, dia hairan apabila surat saman ke atas keretanya sampai di rumah walhal sudah agak lama dia dan keluarga tidak ke Kuala Lumpur.

Semasa mula menerima surat tersebut, dia merasakan mungkin suaminya ada tersalah parkir namun mula berasa hairan apabila kenderaan yang di saman adalah motosikal.

Mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, dia segera ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar bagi melaporkan perkara tersebut.

“Saman yang diterima adalah kesalahan meletak kenderaan di tempat salah bagi kereta saya yang bernombor pendaftaran AGS 1162. Pada tarikh tersebut, saya pasti saya berada di Kuala Kangsar.

“Selepas diperiksa, didapati ada dua motosikal menggunakan nombor pendaftaran kereta saya dan itu punca saman tersebut sampai ke rumah.

“Laporan telah dibuat dan kini hanya menunggu siasatan lanjut daripada pihak berkuasa. Dari segi saman pula, ia telah dibatalkan, lega rasanya,” katanya.

Dalam pada itu, suaminya, Abdul Momin Khushairy, 40, berkata, laporan polis dibuat bagi memastikan tiada masalah timbul pada masa akan datang.

Menurutnya, dia khuatir sekiranya individu yang menggunakan nombor plat kereta isterinya itu melakukan jenayah lantas perkara tersebut akan terpalit kepada dirinya dan keluarga.

“Sebelum ini pun sudah ada banyak kes nombor pendaftaran kenderaan disalah guna oleh orang lain. Jadi, saya enggan perkara tersebut terjadi kepada saya.

“Mujur perkara ini dapat dikesan awal, sekurang-kurangnya jumlah saman tidak banyak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Abdul Momin berkata, dia berharap perkara itu dapat diselesaikan segera kerana dia enggan surat saman sampai ke rumahnya selepas ini.

“Rasanya, cukuplah dua saman dikeluarkan atas nombor pendaftaran kereta isteri saya. Diharapkan pihak berkuasa dapat menyelesaikan kes ini dengan segera.

“Kepada individu yang gunakan nombor pendaftaran AGS 1162, saya minta mereka ganti nombor tersebut kerana ia menyusahkan saya dan keluarga,” katanya.

Pengguna perlu berdisiplin di jalan



Pengguna perlu berdisiplin di jalan
Zainol (kiri) memakaikan topi keledar pada seorang penunggang motosikal yang menukar topi keledar baharu pada program anjuran JKJR.
IPOH - Bagi memberi kesedaran pengguna terhadap keselamatan ketika berada di jalan raya, kerajaan negeri bersama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri dan agensi kerajaan memperhebatkan lagi kempen berkenaan.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, sikap peka dan prihatin terhadap keselamatan adalah penting supaya pengguna memandu kenderaan dengan berhemah.

Menurutnya, kempen keselamatan dan kesedaran akan terus diadakan dalam memberi impak yang tinggi untuk mendisiplinkan pemandu kenderaan di negeri ini.

“Malah melalui JKJR,  kempen turut dilakukan setiap minggu melalui program Tiada Minggu Tanpa Advokasi termasuk hebahan di media cetak dan elektronik,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Zainol Fadzi berkata, kempen dianjurkan hanya membantu mengubah sikap pengguna supaya sentiasa berhemah di jalan raya, namun ia terletak pada diri pengguna untuk berubah.

Jelasnya, program kesedaran dan kempen tidak akan berjaya jika pengguna masih tidak mengubah sikap pemanduan.

“Kita sasarkan kepada pengguna motosikal memandangkan faktor penyumbang kematian dalam kalangan penunggang dan pembonceng yang terbabit kemalangan tinggi," katanya.

Beliau berkata, kes kemalangan melibatkan penunggang motosikal terus mencatatkan peningkatan disebabkan sikap sambil lewa mereka yang tidak memakai topi keledar yang sepatutnya.

“Ramai penunggang masih pakai half shell helmet yang tidak melindungi muka dan pipi kalau jatuh malah menyebabkan kepala pecah bila kemalangan.

“Kita berharap masyarakat sedar betapa seriusnya usaha kami dalam menggalakkan penunggang memakai topi keledar dengan cara yang betul bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Sempena program itu, sebanyak 80 topi keledar penunggang motosikal tidak menepati piawaian ditukar baharu secara percuma termasuk 16 topi keledar kanak-kanak.

JKJR turut edarkan 100 risalah keselamatan jalan raya, 100 pelekat pemantul cahaya, 50 vest pemantul cahaya untuk dewasa dan 16 vest untuk kanak-kanak.

Program itu turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis dan sukarelawan IM4RoadSafety JKJR.

Naik bot pisang bersih pulau



Naik bot pisang bersih pulau
Sukarelawan yang terlibat dalam gotong-royong membersihkan Pulau Perjudi.
TELOK KEMANG – Bergotong-royong membersihkan kawasan pantai kerap menjadi pilihan sukarelawan untuk melakukan kerja amal berkenaan sekali gus ia menjadikan aktiviti amal popular di Port Dickson.

Namun berbeza dengan sekumpulan sukarelawan yang berkenalan di laman sosial Facebook, mereka memilih untuk melakukan kerja amal membersihkan Pulau Perjudi yang terdapat di perairan Pasir Panjang, Port Dickson.

Mengambil masa kira-kira 10 minit perjalanan menaiki bot pisang, seramai 30 sukarelawan yang datang dari sekitar Port Dickson, Seremban, Selangor dan Kuala Lumpur bertolak ke Pulau Perjudi dari Pantai Cermin dengan misi untuk membersihkan pulau berkenaan daripada terus menjadi tempat perangkap sampah di tengah laut.

Salah seorang sukarelawan, Rusilawati Kamarudin, 47, berkata, idea mula timbul selepas dia bersama beberapa rakannya melihat banyak timbunan sampah sarap di pulau berkenaan ketika melakukan aktiviti water trekking, kira-kira dua minggu lalu.

Rusilawati yang juga pengusaha Murex Watersport di Pantai Cermin berkata, dia kemudiannya memuat naik status mengenai cadangan aktiviti gotong-royong di Facebook beberapa grup rekreasi.

“Saya tak sangka sambutan diterima sangat baik malah sukarelawan terlibat berbilang bangsa dan ia menjadikan aktiviti amal ini lebih menarik serta bermakna.

“Selain dapat memulihara alam sekitar, kami juga dapat menyuburkan semangat perpaduan,” katanya.

Tambah Rusilawati, Pulau Perjudi antara pulau yang cantik dan mempunyai daratan agak luas serta sesuai untuk dijadikan pelbagai aktiviti rekreasi.

“Namun sampah sarap yang terperangkap di pulau berkenaan mencacatkan pemandangan pulau itu,” katanya.

Bagi Nursyahida Sahli, 28, pula berkata, ini kali pertama dia menyertai program gotong-royong membersihkan kawasan pulau di Port Dickson.

Dia yang kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberitahu, inisiatif mengadakan gotong-royong di Pulau Perjudi sangat bertepatan memandangkan ia dipenuhi dengan sampah sarap.

“Sampah sarap ada di mana-mana dan botol minuman plastik, beg plastik, polisterin dan tin kosong antara yang paling banyak dijumpai.

“Jika keadaan ini terus dibiarkan, tidak mustahil satu hari nanti pulau ini akan dipenuhi dengan lebih banyak sampah sarap,” katanya.

Pecah amanah wang akaun surau



Pecah amanah wang akaun surau
Zulkifli (kiri) bersama sebahagian ahli kariah menunjukkan dokumen yang dipalsukan sebagai bukti berlakunya kes pecah amanah di surau tersebut.
PETALING JAYA – Satu komplot pecah amanah yang melibatkan penggunaan wang dalam akaun  surau di kawasan perumahan di sini telah mengakibatkan kerugian bernilai RM13,000.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk, Zulkifli Ramli, 42, mendakwa komplot berkenaan didalangi beberapa penduduk.

“Mereka keluarkan wang dari akaun surau tanpa pengetahuan ahli kariah secara tunai dan cek atas nama salah seorang daripada mereka.

“Kami tak tahu sama ada pengeluaran wang berkenaan digunakan untuk menganjurkan majlis atau pembelian barangan keperluan surau kerana tidak ada dokumen yang dikemukakan,” katanya dalam satu sidang media, baru-baru ini.

Katanya, penyelewengan tersebut disedari ahli kariah apabila pihak bank menghantar penyata kewangan ke alamat surau berkenaan.

“Kami tengok ada transaksi yang berlaku dalam penyata kewangan, tapi kami tak pernah dimaklumkan mengenainya sebelum ini. 

“Mesyuarat dengan ahli kariah juga tidak pernah diadakan sama ada untuk memaklumkan atau mendapatkan persetujuan tentang penggunaan wang yang ada,” katanya.

Menurutnya, kejadian dipercayai telah berlaku sejak 2013 lagi selepas surau berkenaan didaftarkan di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Berdasarkan semakan penyata kewangan dan buku cek surau, mereka mula mengeluarkan wang tanpa pengetahuan bermula pada Februari 2013.

“Setiap wang yang dikeluarkan tidak diketahui ke mana perginya kerana tidak ada resit ataupun dokumen yang berkaitan,” katanya.

Dakwanya lagi, komplot berkenaan turut menggunakan akaun surau sebagai transit untuk mendapatkan dana bagi tujuan peribadi.

“Kami dapati mereka ada meminta sumbangan dengan menggunakan nama surau atas alasan untuk menganjurkan aktiviti tertentu. 

“Hakikatnya tak ada aktiviti surau yang dijalankan dan melibatkan penggunaan wang, tetapi wujud transaksi melalui penyata kewangan yang diterima,” katanya.

Tambah Zulkifli, pemalsuan dokumen turut dilakukan ke atas beberapa transaksi bagi menutup salah laku mereka.

“Bulan Ramadan yang lalu mereka telah mengeluarkan wang berjumlah RM1,000 atas alasan untuk membayar upah imam solat tarawih.

“Mereka catatkan dalam sebuah dokumen sebagai bukti pembayaran kepada imam yang dilantik,” katanya. 

Bagaimanapun setelah disiasat, Zulkifli berkata, mereka dapati bayaran imam tersebut telah disumbangkan oleh seseorang dan bukan wang melalui akaun surau.

Menurutnya, laporan polis juga telah dibuat berkenaan hal tersebut.

Sehubungan itu, dia berharap agar pihak berwajib terutamanya Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memberikan perhatian serius terhadap kes pecah amanah yang berlaku. 

“Ia melibatkan penggunaan wang surau untuk kepentingan peribadi. Penyelewengan akan terus berleluasa dan memberi kesan kepada surau jika ia dibiarkan tanpa sebarang tindakan,” katanya.

'Tolong pulangkan wang saya semula'



'Tolong pulangkan wang saya semula'
Shahrulnizam bersama laporan polis dan bukti transaksi wang berjumlah RM2,500 dilaburkan untuk skim yang diuruskan seorang wanita di laman Facebook.
KUALA LUMPUR - “Wang bernilai RM2,500 mungkin tak ada apa sangat pada orang yang tipu saya, tapi pada saya ia terlalu besar. Apatah lagi ia satu-satunya wang pusaka peninggalan arwah ayah,” demikian luahan  seorang penghidap penyakit lemah jantung, Mohd Shahrulnizam Mohd Nawi, 40, yang menjadi mangsa penipuan skim pelaburan dan pinjaman tanpa faedah yang beroperasi menerusi laman Facebook.

Skim itu dikatakan berfungsi menerusi pelaburan emas diuruskan oleh seorang wanita yang mengaku mempunyai kedai barang kemas.

Shahrulnizam berkata, dia menyertai skim itu pada tahun 2013 dengan melaburkan wang permulaan sebanyak RM500 dan menerima pulangan RM1,000 dalam masa seminggu.

“Disebabkan dah dapat wang pulangan itu, saya jadi yakin untuk buat pelaburan baru. Kali ni saya laburkan RM2,500 yang sepatutnya digunakan untuk tampung kos perubatan jantung saya.

“Niat saya hanya untuk gandakan duit, serba sedikit dapatlah bantu saudara lain. Tapi pelaburan saya tak ada khabar berita sampailah tempoh yang dijanjikan.

“Bila saya hubungi wanita yang bertanggungjawab uruskan skim tu, dia maklumkan yang dia pun kena tipu dan macam nak lepas tangan.

“Pernah juga saya minta dia kemukakan bukti laporan polis kalau betul dia jadi mangsa, tapi tak ada. Dia janji nak bayar duit saya semula, tapi senyap macam tu saja," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, di Flat Seri Pulang Pinang, Cheras, di sini.

Tambahnya, dia yakin ramai lagi yang tertipu dengan skim berkenaan malah dengan amaun yang lebih besar.

Katanya, dia cuba untuk membawa kes berkenaan ke muka pengadilan namun tidak dapat diteruskan kerana tidak mampu tanggung kos guaman.

“Saya terpaksa pinjam ah long untuk tampung kos pasang bateri jantung supaya saya boleh jalani rutin harian macam orang lain. Tapi keadaan saya lemah sekarang, selain tak boleh bekerja dan bergantung dengan wang Baitulmal RM400 sebulan.

“Cukup tak cukup pun, itulah yang saya ada untuk teruskan hidup dengan nenek saudara yang tinggal bersama. Saya hanya mahu dia pulangkan duit saya balik," katanya yang juga membuat laporan polis Oktober tahun lalu.

Pampasan RM120 hingga RM260 tidak munasabah



Pampasan RM120 hingga RM260 tidak munasabah
Kumpulan peneroka terlibat berhimpun menghalang sebarang kerja penebangan pokok selagi bayaran pampasan tidak mencapai kata persetujuan.
JENGKA - Peneroka Felda dekat sini menyifatkan bayaran RM120 hingga RM260 sepokok sebagai pampasan kebenaran ‘izin lalu’ untuk projek Talian Penghantaran Elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah tidak munasabah.
Projek talian 132KV (double curcuit) dari PMU Kampung Awah ke PMU Jengka itu akan merentasi ladang kelapa sawit anggaran seluas 570 ekar yang dimiliki 57 peneroka di kawasan Felda Jengka 11, 14, 18, 19 dan 20.

Seorang peneroka terlibat, Mohd Ayob Shahri, 55, mendakwa harga yang ditawarkan TNB jauh lebih murah berbanding permintaan peneroka iaitu RM1,000 sepokok.

Menurutnya, harga RM1,000 itu adalah harga terakhir yang dipersetujui peneroka dengan khidmat nasihat peguam walaupun permintaan asal adalah RM2,200 sepokok.

“Projek ini dimaklumkan kepada peneroka pada 2013 dan kami memberi keizinan dengan syarat TNB membuat bayaran pampasan setimpal. Sudah pasti ia merupakan projek kekal maka tidak masuk akal sekiranya TNB hanya mahu membayar paling tinggi RM260 sepokok.

“Kebanyakan pokok sawit terlibat sudah berusia lapan tahun dan kami akan kehilangan pokok ini selama-lamanya malah tidak dibenarkan untuk melakukan sebarang aktiviti pertanian di bawah laluan kabel itu nanti,” katanya.

Mohd Ayob berkata, TNB melakukan pembayaran pertama pada Julai 2013 dan peneroka menerima pampasan tersebut tetapi dengan bantahan selepas mendapat nasihat peguam dan pihak Pejabat Tanah dan Daerah Maran.


Desakan peneroka

Menurutnya, desakan terus dibuat peneroka dan pada April lalu hasil campur tangan Pihak Berkuasa Negeri, pihak TNB bersetuju melakukan pembayaran ihsan sebanyak 10 peratus dariPada bayaran pertama.

“Harga sepokok bagi bayaran pertama dan ihsan 10 peratus ini masih rendah iaitu sekitar RM300 sepokok berbanding harga permintaan peneroka, RM1,000 sepokok,” katanya.

Seorang anak peneroka, Abdul Shukor Abu Bakar, 37, berkata, dia yang mewakili bapanya menerima bayaran pertama sebanyak RM36,140 untuk 139 pokok.

Menurutnya, pihak TNB turut membeli tanah bagi kawasan pokok sawit terlibat berharga RM23,328 untuk keluasan 1.885 hektar.

“Saya dan peneroka lain tiada pilihan dan kerana nasihat peguam, kami terpaksa menerima bayaran pampasan pertama dan ihsan walaupun harga dibayar sangat rendah.

“Pihak Kerajaan Negeri perlu campur tangan bagi membela nasib peneroka agar kami mendapatkan pampasan setimpal,” katanya.


Tidak halang projek

Sementara itu, Ketua Kampung Felda Jengka 19, Ramly Ahmad berkata, peneroka tidak menghalang projek berkenaan dengan memberi keizinan pada kadar pampasan RM1,000 sepokok dan TNB perlu membeli tanah terlibat agar peneroka tidak dibebani membayar cukai tanah.

Menurutnya, perkara tersebut diputus bersesuaian dengan risiko dihadapi peneroka apabila bakal kehilangan lebih 100 pokok sawit dan tiada hak ke atas tanah terbabit.

“Sememangnya peneroka tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang dibayar TNB kerana dilihat seperti membodohkan orang Felda. Sesiapa pun tidak akan setuju jika harga RM120 hingga RM260 sepokok, sangat tidak munasabah malah harga pengambilan tanah juga murah.

“Kami berharap pihak TNB membuat pertimbangan rasional  kerana setiap pokok kelapa sawit memberi pulangan hasil sehingga tempoh 25 tahun,” katanya.

Terima tiga menantu serentak



Terima tiga menantu serentak
Wan Muhammad (tengah) bersama adik-adiknya merakamkan gambar kenangan bersama pasangan masing-masing sempena hari cukup bermakna buat mereka semua.
KUALA BERANG - Tidak terkata kegembiraan dirasai sepasang suami isteri apabila menerima tiga menantu serentak, kelmarin, sekali gus menjadikan sambutan Aidiladha pada tahun ini cukup bermakna.
Tiga anak lelaki kepada pasangan Wan Ali Wan Harun, 53, dan Rosmini Othman, 51, memilih cuti hari raya korban untuk melangsungkan majlis menyambut menantu serta majlis kesyukuran di Dewan Kilat Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dimeriahkan oleh kira-kira 1,500 tetamu.

Pasangan mempelai yang diraikan adalah Wan Muhammad, 27, bersama permaisuri hatinya, Noraryanny Mohammad, 24; Wan Ammar Fikri, 25, bersama suri hidupnya Nadrah Ahmad Damanhuri, 25 dan Wan Irfan, 25, dengan pilihan hatinya, Julia Shireen @ Noorsyahida Azmi, 21.

Rosmini yang juga guru Sekolah Kebangsaan Padang Hiliran, Kuala Terengganu, berkata, dia dan suami bersyukur apabila ketiga-tiga anak lelakinya bersetuju melangsungkan majlis berkenaan serentak.

Menurutnya, perkongsian hidupnya bersama Wan Ali telah dikurniakan 10 cahayamata dengan tiga daripadanya lelaki dan kini keluarganya dimeriahkan lagi dengan kehadiran tiga menantu serentak.

"Ketiga-tiga anak lelaki saya telah melangsungkan perkahwinan sekitar Hari Raya Aidilfitri lalu dan sebagai ibu, pastinya saya gembira. Menyambut tiga menantu serentak merupakan sesuatu yang cukup bermakna.

"Tiga anak lelaki yang menamatkan zaman bujang adalah anak sulung, kedua dan kelima. Saya rumah tangga mereka berkekalan serta sentiasa diberkati ALLAH SWT," katanya.

Katanya, walaupun dua daripada anak lelakinya, iaitu Wan Ammar Fikri dan Wan Irfan masing-masing melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di peringkat sarjana dan di Mesir, namun dia yakin mereka mampu memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Sementara itu, Wan Muhammad yang merupakan anak sulung dan anggota polis berpangkat inspektor ternyata gembira dapat meraikan detik penuh bermakna bersama dua adiknya.

Menurutnya, persiapan untuk majlis berkenaan telah dibuat sejak lebih sebulan lalu dan dia bersyukur kerana mereka mendapat satu tarikh bersesuaian.

"Idea melangsungkan majlis sambut menantu serentak timbul secara spontan kerana tarikh perkahwinan kami dekat-dekat. Kami semua ada komitmen tetapi alhamdulillah kami dapat tarikh yang sesuai," katanya.

Majlis tersebut lebih unik dengan kehadiran pembawa pedang atau 'sword bearer' dari kalangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyerikan majlis dengan istiadat 'jalan bawah pedang' bagi meraikan Wan Muhammad bersama isterinya.

Elak guna khidmat orang tengah



Elak guna khidmat orang tengah
Wan Azahari menyampaikan sumbangan Tabung Bantuan Segera JKM kepada Zubaila di Kampung Sat, Tanah Merah, semalam.
TANAH MERAH - Orang ramai dinasihatkan agar tidak menggunakan khidmat orang tengah untuk berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jajahan ini agar tidak berlaku kes borang permohonan tidak sampai.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Jajahan Tanah Merah, Wan Azahari Wan Muhammad berkata, sebaliknya pemohon hanya perlu datang sendiri ke Pejabat JKM jajahan ini di Kampung Kelewek, dekat sini, untuk sebarang urusan.

“Kalau boleh, sebaik-baiknya elak guna orang tengah kerana saya bimbang apa yang berlaku ke atas seorang ibu tunggal dari Kampung Sat, dekat sini, berulang.

“Saya diberitahu, dia serahkan borang permohonan kepada orang lain untuk disampaikan kepada kami (JKM) tetapi hasil semakan, dia tidak pernah buat permohonan dengan JKM,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian selepas melawat ibu tunggal terbabit, Zubaila Mohd Nawi, 33, di Kampung Sat, dekat sini, susulan laporan akhbar mengenai kesusahan wanita itu yang disiarkan Sinar Harian, semalam.

Zubaila dan tiga anak berusia setahun, 11, dan 13 tahun dilaporkan hidup susah kerana tidak mempunyai punca pendapatan selepas Zubaila ditinggalkan suaminya yang juga warga Myanmar lebih setahun lalu.

Keadaan itu menyebabkan keluarga berkenaan terpaksa mengharapkan sumbangan orang ramai untuk sara hidup seharian, manakala perbelanjaan makan dan minum dua anak Zubaila di sekolah pula ditanggung seorang guru yang prihatin.

Nasib malang Zubaila turut dapat perhatian pelbagai pihak termasuk Adun Bukit Panau, Datuk Abdul Fattah Mahmood yang membantu membayar sewa rumahnya dan Persatuan Kebajikan Pekerja Islam, Tenaga Nasional Berhad daerah ini.

Dalam laporan akhbar itu, Zubaila mendakwa pernah memohon bantuan daripada JKM, terutama untuk bantuan persekolahan dua anaknya, kira-kira dua bulan lalu.

Menurut Wan Azahari, susulan lawatannya ke rumah Zubaila, beliau menyampaikan sumbangan Tabung Bantuan Segera JKM berjumlah RM300 bagi membantu meringankan beban kewangan ibu tunggal terbabit.

“Keluarga ini juga akan dipertimbangkan untuk bantuan persekolahan di bawah kategori Bantuan Kanak-Kanak (BKK) JKM sebanyak RM300 sebulan mulai November depan,” katanya.

Pasar raya borong tipu pengguna



Pasar raya borong tipu pengguna
Azlin (kanan) menunjukkan produk makanan yang ditampal dengan tarikh luput baharu ketika operasi bersepadu di gedung barangan borong semalam.
BATU BERENDAM - Taktik kotor sebuah gedung barangan borong dekat sini, menukar tarikh luput produk makanan kering yang sudah tamat tempoh terbongkar dalam satu operasi bersepadu di sini semalam.

Setiausaha Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia(LPKPM) Azlin Osman berkata, hasil pemeriksaan selama sejam di lokasi berkenaan mendapati ada di antara produk makanan sudah tamat tarikh luput digunting dan ditampal dengan label tarikh baharu sekali gus perbuatan tersebut menyalahi di bawah Akta Makanan 1983.

Menurutnya, pemeriksaan yang disertai lebih lima kakitangan Jabatan Kesihatan Persekitaran Melaka serta Bomba dan Penyelamat Melaka mendapati mereka melakukan dua kesalahan perlabelan barang yang salah dan barang sudah tamat tarikh luput dengan nilai rampasan barang keseluruhan berjumlah RM846.

Katanya, jumlah itu termasuk RM616 bagi barang makanan yang dikenal pasti di bawah kesalahan tarikh luput dan selebihnya di atas kesalahan perlabelan.

“Barang-barang yang dirampas termasuk sebanyak 15 air kotak, 74 paket biskut dan lain-lain kesemuanya akan disita oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran.

“Selain itu kita turut memberi amaran kepada pihak berkenaan supaya mengambil tindakan agar tidak melakukan memandangkan ada di antara tarikh luput sudah tamat tempoh hampir setahun,” katanya kepada pemberita.

Hadir sama, Penolong Kanan Penguasa Bomba Melaka, Hashim Kasirin, Pegawai Kesihatan Persekitaran Melaka, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif.

Sementara itu, Hashim berkata, pihak terbabit turut didapati tidak mematuhi arahan yang ditetapkan dengan mengunci pintu laluan kecemasan selain meletakkan kunci tersebut di pejabat sedangkan sepatutnya kunci diletakkan berdekatan laluan tersebut.

Menurutnya, pintu laluan kecemasan bukan sahaja ditutup rapat malah di luarnya dijadikan tempat letak kenderaan.

“Bagaimanapun kita hanya memberi amaran lisan dan pihak kami akan sekali lagi membuat pemeriksaan di lokasi ini pada 30 September ini dan jika masih didapati gagal mematuhi mereka akan boleh didakwa di mahkamah,” katanya.

Anak Paul Walker saman Porsche



Anak Paul Walker saman Porsche
Gambar kenangan Paul Walker bersama Meadow ketika masih kecil.
ANAK pelakon terkenal, mendiang Paul Walker dilaporkan telah memfailkan saman terhadap syarikat pengeluar kereta Porsche yang dinaiki bapanya ketika kemalangan sehingga menyebabkan kematian, dua tahun lalu.

Meadow Rain Walker, 16 mendakwa kenderaan yang dinaiki Paul, Porsche Carrera GT mempunyai beberapa kekurangan dalam reka bentuknya daripada segi ciri-ciri keselamatan.

Tuntutan mahkamah itu difailkan semalam oleh Meadow dan mendakwa bahawa pelakon Fast and Furious itu masih selamat dalam kemalangan itu namun terbakar hingga menyebabkan kematian dalam kereta tersebut.


Dalam rekod tersebut menyebut, kereta itu dipasarkan sebagai kereta lumba jalanan yang sah tapi kawalan keselamatan kurang stabil untuk melindungi penumpang dan mengelak ia daripada terbakar selepas perlanggaran.

Dakwaan itu juga menyatakan bahawa tali pinggang keselamatan yang dipakai Paul menarik tubuhnya ke belakang dengan kuasa seribu paun hingga menyebabkan tulang rusuk dan pinggulnya patah.

Malah tuntutan itu juga menyatakan bahawa api tercetus hanya dalam seminit selepas kemalangan dan Paul masih hidup ketika kebakaran bermula.

Wakil Porsche Cars North America, Calvin Kim memberitahu CNN bahawa Porsche masih belum melihat tuntutan tersebut dan tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan.

Sebelum ini, Porsche mendakwa kematian Paul adalah disebabkan kesilapan pemandu, Roger Rodas dan bukannya berpunca dari kereta buatan syarikat itu.

Paul dan Roger Rodas maut selepas kereta jenis Porsche Carrera GT yang dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan ngeri pada Disember 2013 ketika dalam perjalanan menuju acara amal di Los Angeles.

Sebelum ini, balu kepada Roger, Kristine Rodas, telah menfailkan saman terhadap Porsche mendakwa kereta buatan syarikat itu mempunyai masalah teknikal yang menyebabkan kemalangan tersebut.

Porsche berkata kematian, kecederaan dan kerosakan yang didakwa adalah berpunca daripada kesilapan pemandu berkenaan.

Tiada kenaikan harga kereta DRB-Hicom



Turun harga kereta

DRB-Hicom Bhd tidak mempunyai rancangan untuk menaikkan harga kereta dalam pengurusannya buat masa ini walaupun kedudukan ekonomi yang mencabar, kata Pengarah Urusan Kumpulan Tan Sri Mohd Khamil Jamil.
    
Sebaliknya beliau berkata kumpulan itu sudah menyediakan pelan bagi menampung impak ekonomi yang perlahan serta penyusutan ringgit.
    
Pelan itu akan dijalankan di pejabat korporat dan di seluruh syarikat operasi menerusi pengurusan aliran tunai dan langkah sensitif kos, katanya kepada pemberita pada majlis pelepasan kumpulan pertama penuntut International College of Automotive (ICAM) ke United Kingdom, di sini hari ini.
    
ICAM merupakan sebahagian daripada Hicom University College Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh DRB-Hicom.
    
"Segmen automotif secara semula jadinya terjejas disebabkan kebanyakan keluaran kami membabitkan badan siap bina, manakala hartanah kami turut terjejas berikutan kurang pembeli yang layak untuk memperoleh pinjaman perumahan," katanya.
    
Perniagaan teras konglomerat itu meliputi automotif, perkhidmatan dan hartanah.
    
Bagaimanapun, Mohd Khamil berkata keadaan itu tidak serius memandangkan kumpulan berkenaan sentiasa mengambil langlah menangani impak penurunan nilai ringgit.
     
"Buat masa ini kami tidak akan menaikkan harga kerana kami sensitif kepada kehendak rakyat, oleh itu kami tidak menggunakan (kedudukan) ini sebagai peluang untuk menaikkan harga," katanya.
    
DRB-Hicom yang mempunyai 10 syarikat pakar dalam pengilangan dan kejuruteraan, mengimport bahan mentah, namun sebahagian besar keperluannya membabitkan keluaran tempatan. Oleh itu ia tidak banyak terjejas akibat penyusutan ringgit.
    
"Kami menyerap kos kerana kami sensitif terhadap pembangunan ekonomi negara dan mahu membantu rakyat dan kerajaan menangani kesukaran yang dihadapi sekarang," kata Mohd Khamil.
 
DRB-HICOM mencatat keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah, sebanyak RM16.6 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun, 2015 berbanding RM185 juta pada tempoh yang sama tahun lepas manakala hasilnya susut 20.8 peratus kepada RM2.9 bilion berbanding RM3.7 bilion sebelumnya.

Tesco bantu kanak-kanak malang



Tesco bantu kanak-kanak malang
Ritchie (belakang, dua, kiri) bersama rakan amal Tabung Kanak-Kanak Jalinan Budi ketika pelancaran bersama media sempena majlis makan malam gala amal.
TESCO Stores Malaysia Sdn Bhd (Tesco) optimis untuk mencapai sasaran kutipan RM500,000 dalam Majlis Makan Malam Gala Amal Sinaran Jalinan Budi yang bakal diadakan 6 November ini, di Kuala Lumpur, bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie berkata, majlis itu merupakan sebahagian daripada inisiatif amal terbaharu Tesco, yang dikenali sebagai Tabung Kanak-Kanak Jalinan Budi, dilancarkan sejak Jun lalu.

“Setakat ini, kami membantu sebanyak 1,700 kanak-kanak melibatkan 56 rumah kebajikan yang terletak berhampiran dengan ibu pejabat kami, pusat pengedaran dan pasar raya kami di seluruh negara.

“Kami berharap dengan majlis makan malam gala amal nanti, dapat meningkatkan jumlah dana dalam Tabung Kanak-Kanak Jalinan Budi untuk membantu ribuan kanak-kanak supaya mereka mendapat kehidupan lebih baik,” katanya pada pelancaran bersama media sempena Makan Malam Gala Amal Sinaran Jalinan Budi di Kuala Lumpur, semalam.

Ritchie memberitahu, dana yang dikutip nanti bakal disalurkan kepada kanak-kanak kurang berkemampuan, mempunyai penyakit kritikal dan konflik.

“Dana itu adalah hasil usaha bersama Tesco dengan Universiti Malaya, ‘The Caring Foundation’ dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),” katanya.

Justeru, beliau mengalu-alukan rakan niaga Tesco untuk menaja majlis makan malam gala amal dalam usaha membantu kanak-kanak yang memerlukan.

Menurutnya, seramai 500 orang dijangkakan akan hadir dan ia turut dihadiri isteri bekas Perdana Menteri iaitu Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali.

Mereka yang hadir pada majlis amal itu bakal dihiburkan penyanyi Jazz, Sean Ghazi dan Ida Mariana.

100 syarikat sudah guna aplikasi Slurp



100 syarikat sudah guna aplikasi Slurp
Pemilik restoran menggunakan aplikasi Slurp untuk memudahkan operasi syarikat.
SILENT Mode Sdn Bhd memperkenalkan aplikasi Slurp iaitu memesan makanan menggunakan sistem terminal pusat jualan (Pos) berasaskan pengkomputeran awan.

Kini ia digunakan di lebih 100 restoran makanan dan minuman di Lembah Klang.

Pengasas bersama Slurp, Reza Razali berkata, kejayaan pelanggan ke-100 yang dicapai baru-baru ini menunjukkan komitmen syarikat untuk menyampaikan penyelesaian Pos bagi meningkatkan kecekapan kedai makanan dan minuman.

“Sejak pelancaran Slurp tahun lalu, kami terus menambah ciri-ciri baharu. Perisian kami juga mempunyai sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dicari di kalangan pengusaha restoran,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, penggunaan aplikasi Slurp di lebih 100 restoran sebahagian daripada usaha syarikat untuk memperkenalkan program ‘reseller’.

Tambahnya, ia sebagai sebahagian daripada pelan keseluruhan untuk terus berkembang di luar Lembah Klang ke bandar-bandar lain dalam Malaysia dan juga ke negara-negara lain di Asia Tenggara.

“Kami gembira dengan keseluruhan jawapan daripada cawangan restoran makanan dan minuman setakat ini.

"Kami cuba untuk mengenal pasti rakan kongsi yang berpotensi mengambil Slurp ke bandar-bandar seperti Pulau Pinang, Ipoh, Melaka, Johor Bahru dan Kuching,” katanya.

Katanya, Slurp menyediakan pelbagai insentif termasuk latihan percuma, bahan-bahan sokongan pemasaran percuma, dan, bantuan pemasaran untuk luar talian dan saluran dalam talian.

"Syarikat juga sedang meneroka peluang untuk membawa Slurp di luar negara. Sebab itu kami berminat untuk mencari ‘reseller’ untuk membantu kami berkembang ke pasaran baharu. Kami mahu lebih banyak pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor makanan dan minuman,” katanya.

Menerusi Slurp iaitu sebuah sistem terminal pusat jualan (Pos) berasaskan pengkomputeran awan untuk perniagaan makanan dan minuman membolehkan pelanggan membuat pesanan menggunakan android, telefon pintar atau ipad.

“Kita lihat pemilik restoran menerima Pos adalah satu petanda yang baik. Kami optimistik tentang masa depan Pos awan.

“Slurp membantu pemilik restoran memudahkan pelayan mereka mengambil pesanan daripada pelanggan sekali gus meningkatkan kecekapan operasi,” katanya.

Slurp juga dapat memudahkan pengusaha restoran mendapatkan data prestasi jualan, melihat trend keluar masuk pelanggan dan jumlah pesanan yang diambil oleh setiap kakitangan.

Sejak mula diperkenalkan pada Jun 2014, Slurp boleh berbangga dengan kejayaan mengumpul banyak pemilik restoran menggunakan sistem tersebut. Antaranya ialah Restoran Boat Noodle dan Taiwan Recipe.