Monday, November 3, 2014

Suara hati Romli Mahmud



KETIKA lantunan muzik mula bersatu, riak wajah kumpulan kanak-kanak yang mendahului barisan hadapan penonton sedikit kehairanan.
Dahi yang berkerut berbaur teruja melihat gelagat lelaki separuh abad lincah memukul-mukul tembaga besi sambil keasyikan bercerita kisah Awang Ada Duit Semua Jadi.
Selang beberapa ketika, kedengaran hilai tawa mereka apabila sang pelipur lara mula bertukar-tukar prop berupa topeng kayu sebagai tunjang utama jalan ceritanya.
Dikenali sebagai Awang Batil dalam kalangan penduduk setempat, persembahan seni verbal itu diibaratkan sebagai ikon penghibur yang sudah mencipta nama sejak berkurun lamanya.
“Dahulu, Awang Batil selalu dimainkan ketika upacara keramaian seperti perkahwinan.
“Meskipun diselang-selikan dengan alunan muzik tradisional tetapi jenaka Awang Batil yang paling dinanti-nantikan,” ujar salah seorang penduduk senior di Kampung Telok Jambu, Bintong, Kangar, Perlis Sariah Saad mengimbas kembali detik kegemilangan persembahan klasik itu.
Tambah wanita berusia 45 tahun itu, ketika Awang Batil dimainkan, seluruh lapisan masyarakat akan berkumpul di sekeliling pentas kecil bagi mendengar celoteh tukang cerita sehingga larut malam.
Buai emosi
“Bayangkan, ada persembahan yang bermula dari pukul 8 malam berlanjutan hingga pukul 6 pagi tetapi penonton sanggup menunggu sehingga tamat jalan cerita,” terangnya lagi.
Terkenal di beberapa negeri bahagian utara Semenanjung Malaysia seperti Kedah, Pulau Pinang dan khususnya di Perlis, Awang Batil bak televisyen atau radio kepada penduduk setempat ketika itu.
Bertemankan sebuah tembaga yang dipanggil batil, tukang cerita akan membuai emosi dan berkongsi jenaka nasihat melalui cerita-cerita lama termasuk seperti Raja Bersiung, Jabat Jabit dan Anak Lang Pak Belang.
Namun begitu, peralihan masa melenyapkan gemilap cahaya lampu pentas Awang Batil hingga membuatkan generasi baharu kini berasa asing dengan corak persembahan tradisi itu.
Diakui sendiri oleh Sariah apabila anak-anaknya tidak pernah mendengar lawak jenaka Awang Batil yang banyak dimainkan di negeri Indera Kayangan itu.
“Jarang ada persembahan terbuka diadakan bagi memperkenalkan Awang Batil kepada anak-anak muda mungkin kerana gaya hiburan masa kini berbeza dengan tahun ke belakang,” luah ibu kepada dua anak itu.
Tumpuannya dikembalikan kepada lelaki warga emas separuh abad itu yang ligat beraksi di atas pentas dewan serbaguna Kampung Ujung Bukit, Kangar.
Titis keringatnya membasahi topeng rona merah lengkap berkopiah dipanggil Wak Nujum yang dipakai di sepanjang persembahan singkat 30 minit.

GENERASI muda sukar menguasai seni Awang batil yang memerlukan kehebatan bercerita dan bermain alat muzik.


Selera hiburan
Pantas dia membuka topeng itu apabila mendengar keriuhan dewan dengan tepukan gemuruh.
Ia seperti memberi tanda hadirin terhibur mendengar kisah seorang lelaki bernama Awang yang menyahut cabaran daripada Sultan untuk berkahwin dengan puterinya.
Perubahan selera hiburan masa kini tidak menghentikan pukulan gendang Romli Mahmud yang setia memalu khazanah seni yang diturunkan sejak lima generasi keluarganya.
Tidak termaktub dalam kamus hidupnya untuk mematikan seni budaya itu biar ramai yang tidak peka dan mengambil peduli usaha survival dilakukannya bersama rakan-rakan seperjuangan lain.
“Sebenarnya ada yang berminat tetapi ramai yang berhenti separuh jalan sahaja,” ungkap lelaki yang memasuki usia 59 tahun itu.
Kesabaran
Pada hematnya, anak-anak muda hari ini tidak sabar dalam mempelajari seni Awang Batil yang bukan sahaja memerlukan si pemain bercerita tetapi juga memerlukan kemahiran alat muzik.
Setiap persembahan akan disertai alat-alat muzik lain seperti gendang, gong, serunai dan biola yang akan dimainkan bersama Awang Batil.
Ketangkasan mengenali alat dan nota muzik perlu dikuatkan dengan pengkisahan cerita yang menarik bagi memahat tumpuan penonton sehingga bait terakhir.
“Kesemua intipati tersebut perlu diselarikan dengan sebaiknya bagi mencipta perjalanan persembahan yang menarik.
“Sayangnya, sebilangan daripada mereka hanya menguasai satu bidang sahaja sama ada bercerita atau bermain menyebabkan sukar untuk mencari pelapis baharu,” katanya.
Kerisauan kehilangan Awang Batil turut berbekas dalam hati Prof. Madya Mohariff Shariff ketika ditebak persoalan kelangsungan seni tradisi itu.
Beliau mengakui ia bakal hilang dari radar adat dan budaya negara jika tiada langkah memartabatkannya dilakukan dengan lebih menyeluruh.
“Jika ada usaha untuk memasukkan Awang Batil dalam silibus pembelajaran di institusi pengajian tinggi, mungkin ia boleh diteruskan ke peringkat yang lebih jauh,” ujarnya ketika ditemui pada Program Sahabat Media di Perlis baru-baru ini.

PENAMBAHAN sketsa dalam persembahan Awang Batil menarik perhatian penonton baharu.


Selain itu, beliau yang merupakan bekas pensyarah di Pusat Bahasa Antarabangsa, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berkata, gaya penceritaan persembahan Awang Batil perlu diselarikan dengan persekitaran semasa.
Mengambil contoh persembahan wayang kulit yang turut mengadaptasi cerita dan rekaan menurut bahasa moden bagi mencapai khalayak tontonan baharu.
“Tidak ramai yang memahami cara persembahan yang dikekalkan dalam Awang Batil. Dari segi bahasa, lawak dan persembahan, ia perlu digubah mengikut alur semasa,” kongsi Mohariff.
Generasi muda yang tidak menjadi penyambung budaya tidak boleh disalahkan sepenuhnya, kata Mohariff kerana permintaan Awang Batil semakin berkurang.
“Bagaimana mahu berkarya jika tiada permintaan biar pentas dan idea sudah tersedia?” soalnya.
Pembaharuan tersebut sudah dilakukan oleh Romli melalui beberapa penambahbaikan bagi memantapkan persembahan Awang Batil era moden.
Memasukkan peralatan muzik baharu seperti biola antara solusi yang dilakukan anak jati Kampung Pokok Sena, Chuping, Perlis itu bagi menambah rencah persembahannya.
Selain itu, sketsa pendek dan penggunaan bahasa mudah difahami juga diatur bagi memastikan aura Awang Batil meresap ke dalam jiwa penonton baharu.
Semuanya direncana supaya ia tidak pupus selagi hayatnya masih dikandung tanah sementelah dia merupakan satu-satunya figura yang tinggal sebagai penerus seni tersebut.
Bagi Dekan Pusat Tradisional Aswara (Putra) di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Nik Mustapha Nik Mohd. Salleh, seorang Awang Batil perlu mempunyai kesungguhan dan minat yang mendalam bagi mewarisi seni budaya tersebut.
“Mereka perlu memahami dan menyelami semangat yang ada dalam diri seorang Awang Batil bagi melahirkan magis dalam persembahan mereka,” ujarnya ketika dihubungi.
Tambahnya, pelapis-pelapis baharu perlu mencontohi gaya rentak yang disampaikan oleh Mahmud Wahid atau dikenali sebagai Pak Mud yang merupakan pejuang asli muzikal rakyat tersebut.
Pernah menonton persembahan Pak Mud di Kompleks Budaya Negara sekitar 70-an, Nik Mustafa berpendapat sayang jika Awang Batil dimatikan begitu sahaja.
“Jika tidak, kita akan kehilangan warisan budaya seperti yang berlaku kepada kesenian Awang Kelampit di Kelantan yang tiada penerusnya,” luah Nik Mustafa.
Beliau turut bersetuju jika ada usaha untuk membawa persembahan klasik seperti Awang Batil ke institusi pengajian tinggi.
Melalui institusi tersebut, ujar Nik Mustafa, pelajar mudah mengenali sejarah dan rentak budaya yang melingkungi kesenian tinggalan nenek moyang.
Romli sendiri mengambil masa lama untuk menggalas peranan sebagai Awang Batil.

ROMLI juga boleh bernain alat muzik tradisional dengan baik.


Mewarisi
Selepas pemergian arwah bapanya, Pak Mud pada tahun 1991, Romli berhijrah ke Pulau Pinang untuk menyertai kumpulan muzik tradisional.
Semua peralatan persembahan Awang Batil diserahkan ke pihak Muzium Perlis kerana beliau tidak lagi berminat untuk bermain yang ketika itu sudah menghampiri zaman kegelapan.
Hanya selepas pelawaan daripada penulis buku dan novel terkenal, Rejab Ismail atau lebih dikenali menerusi nama pena Rejab F.I sekitar tahun 1997, perlahan-lahan Romli membuka hatinya menyambung legasi sebagai sang penglipur lara.
“Kalau bukan saya, siapa lagi yang akan teruskan? Biarlah ada yang memandang enteng, yang penting persembahan Awang Batil terus bernyawa di bumi Perlis,” luah Romli.
Pernah beliau terasa hati sewaktu membuat persembahan jalanan sekitar Kuala Lumpur. Niat untuk berkongsi budaya seperti dipandang hina apabila ada yang menghulur wang syiling.
“Terasa seperti peminta sedekah pula,” seloroh bapa kepada empat orang anak itu. Tekadnya, dia tidak akan kembali ke tempat itu daripada integritinya berterusan tercalar.
Namun, jauh di sudut hatinya, beliau masih berharap ada penyambung yang terus mempersembahkan alunan denting tembaga dan seloka topeng Wak Nujum dan hulu balang.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: