|
SESIAPA yang pernah menonton persembahan tarian balet, pasti terpegun dengan lenggok badan penari-penari yang penuh lemah gemalai.
Namun, kelembutan yang dipamerkan kepada penonton itu hanya ilusi dan mainan mata.
Dari kaca mata penonton, tarian balet tampak mudah dan penuh kelembutan, hakikatnya penari-penari terbabit terpaksa berlatih dengan gigih selama beberapa bulan untuk mendapatkan lompatan dan pusingan yang sempurna.
“Lembut itu sebenarnya terletak kepada kekuatan fizikal dan mental seseorang kerana tarian balet tidak semudah yang disangka. Ia merupakan tarian yang paling sukar berbanding tarian-tarian lain.”
Demikian pendapat seorang penari balet lelaki, Imran Syafiq Mohd. Affandi, 23, yang merupakan pelajar tarian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
“Balet tidak seperti tarian-tarian lain kerana tarian ini menggunakan keseluruhan otot-otot tubuh yang kita sendiri tidak tahu kewujudannya.
“Dalam balet, meskipun hanya sekadar berdiri, kita mampu mengeluarkan peluh dan ia dapat membantu membentuk semula struktur badan kita,” katanya sambil menunjukkan cara berdiri dengan betul.
Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur itu, bagi penari yang berjaya mempelajari atau melakukan tarian balet, lazimnya dia mampu melakukan pelbagai jenis tarian lain.
Balet merupakan kursus tarian teras bagi pelajar di Aswara dan mereka perlu menjalani latihan balet sekurang-kurangnya dua kali seminggu selama dua jam.
Misalnya, jika seorang pelajar mengambil tarian India sebagai kursus utama, dia masih perlu mengikuti latihan kelas balet.
Menurutnya, teknik-teknik tarian balet lebih membantunya menguatkan otot-otot berbanding melakukan senaman di gimnasium.
Balet juga merupakan satu tarian tradisional yang kini telah berkembang menjadi sebuah tarian antarabangsa. Ia diperkenalkan pada abad ke-17 oleh golongan elit dari Itali.
Selepas abad ke-17, balet telah berkembang ke negara-negara lain seperti Perancis dan Rusia malah terdapat banyak pertunjukan diadakan di negara-negara tersebut.
Apatah lagi, ramai penari balet yang terkenal berasal dari ketiga-tiga negara itu seperti Anna Pavlova, Marie Salle dan Auguste Vestris.
Pudar
Namun, di negara kita kewujudan tarian balet semakin pudar. Senario ini berlaku kerana kos untuk mengikuti kelas tarian balet agak tinggi selain kostum penari balet mencecah ratusan ringgit sepasang.
Imran Syafiq anak bongsu daripada tiga beradik berkongsi pengalamannya sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang tarian untuk menjadi seorang penari.
“Keluarga saya terdiri daripada ahli-ahli akademik dan bidang profesional seperti usahawan dan guaman tetapi saya mempunyai kecenderungan yang lain.
“Saya amat minat bidang ini dan bercita-cita mahu pergi jauh,” katanya yang banyak mengisi masa lapang dengan menari.
Kesungguhan dan minat Imran Syafiq terhadap tarian telah membuahkan hasil apabila dia sering mendapat tempat ketiga teratas dalam kebanyakan pertandingan tarian sehingga ke tahap antarabangsa.
Menurutnya, bidang tarian juga banyak membawanya mengembara ke luar negara seperti Australia dan England. Terbaharu, beliau menyertai Festival Tarian Antarabangsa di ibu negara. Kini, dia sedang menyiapkan diri untuk persembahan seterusnya.
“Seperti tarian balet, saya mengambil jurusan tarian India sebagai bidang utama kerana saya amat meminati tarian tradisional bahkan saya juga ingin menghidupkan kembali tarian-tarian tradisional di Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, pelajar jurusan tarian balet neoklasik, Aswara, Raziman Sarbini, 23, mengakui bahawa dia tidak pernah tahu tentang kewujudan tarian balet sehinggalah melanjutkan pelajaran di Aswara.
Anak kelahiran Limbang, Sarawak itu merupakan bekas olahragawan yang tidak pernah mengenal dunia tarian tetapi kini dia merupakan satu-satunya penari dalam keluarganya.
Mencuba
“Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang penari. Secara tiba-tiba saya rasa ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang tarian.
“Saya tidak seperti penari-penari lain yang mempunyai minat dalam bidang ini. Pada mulanya saya sekadar ingin mencuba dan meluaskan pengetahuan. Akhirnya, di sinilah saya berada sekarang,” ujarnya.
Minat yang mendalam terhadap balet, menyebabkan Raziman melanjutkan pelajarannya di Aswara. Jurusan tarian balet neoklasik masih mempunyai elemen-elemen balet yang asal tetapi tarian ini juga mempunyai sedikit sentuhan moden tetapi tempo dan ritmanya lebih laju berbanding balet asal.
Seperti penari-penari lelaki lain, Raziman tidak terlepas daripada kecaman orang ramai ekoran penglibatannya dalam dunia tarian.
“Orang ramai selalu beranggapan bahawa apabila lelaki menjadi seorang penari, secara keseluruhannya dia menjadi seorang yang lembut.
“Tanggapan tersebut salah sama sekali malah kerana mereka tidak tahu mengenai latihan-latihan yang perlu kami lalui setiap hari,” tegas anak bongsu daripada lapan beradik ini.
Menurut Raziman, selain orang ramai, kenalan rapat dan ahli keluarga juga berasa tidak selesa dengan penglibatannya dalam dunia tarian pada peringkat awal. Sama seperti Imran Syafiq, Raziman turut mendapat tentangan daripada keluarga masing-masing apabila mereka membuat keputusan melibatkan diri dalam bidang tarian.
“Peringkat awal memang susah kerana mereka beranggapan menjadi seorang penari tiada masa depan tetapi kami membuktikan bahawa setiap orang mempunyai masa depan tanpa mengira apa pun pekerjaan,” kata Raziman. Kedua-duanya bersependapat, selain kekangan dan cemuhan, masyarakat sukar menerima kerjaya penari kerana beranggapan pakaian yang dipakai menjolok mata.
Bagaimanapun, baik Imran Syafiq mahupun Raziman menafikan tidak semua penari-penari mengenakan pakaian yang menjolok mata sebaliknya mereka memakai pakaian yang bersesuaian.
“Masyarakat perlu faham bahawa tidak semua produksi dan persembahan tarian kami perlu lakukan kerana kami hanya terpilih dalam sesetengah acara.
“Apabila menjalani sesi latihan, kami tidak akan memakai kostum balet tetapi pakaian yang lebih bersesuaian dan selesa,” tegasnya.
Universal
Secara amnya, penari lelaki dikehendaki memakai seluar sendat sehingga menampak bentuk tubuh mereka. Bagaimanapun, situasi itu hanya berlaku di negara luar sebaliknya di negara ini mereka mengenakan pakaian yang lebih sopan.
Dua tahun lalu, negara digemparkan dengan larangan pemakaian tutu oleh penari-penari balet dari Singapura. Akhirnya mereka tidak meneruskan hasrat melakukan persembahan.
“Tutu dan balet memang tidak dapat dipisahkan kerana pakaian tersebut cukup sinonim dalam tarian balet,” ujar Raziman. Tutu ialah skirt pendek yang dipakai oleh penari balet wanita.
Walaupun dalam dunia tarian yang sama, keadaannya agak berbeza bagi penari balet wanita, Puteri Aisya Marissa Rusli, 18. Pelajar Eximius School of Performing Arts, Petaling Jaya itu menceburkan diri dalam tarian balet sejak berumur tiga tahun.
“Ibu bapa di negara kita selalunya akan menghantar anak-anak perempuan mereka mengikuti kelas tarian balet dan muzik berbanding kelas-kelas lain.
“Namun, saya mempunyai cabaran tersendiri iaitu perlu bersaing dengan penari balet perempuan yang lain supaya para pengajar dapat melihat potensi sebenar saya,” katanya yang tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan tarian balet.
Di Malaysia, terdapat lebih ramai penari balet wanita berbanding lelaki yang menyebabkan persaingan antara penari wanita lebih tinggi.
Tambahan pula, hanya segelintir sahaja penari-penari balet yang berjaya meneruskan profesion ini sehingga ke tahap penari profesional dan selebihnya menjadi tenaga pengajar.
Pada bulan Ogos lalu, anak sulung daripada dua beradik ini berpeluang melakukan persembahan balet bersama penari-penari antarabangsa dalam acara World Ballet Superstar Gala di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Dia berasa cukup bertuah kerana dapat menari bersama penari-penari yang hebat bahkan mereka juga sempat berkongsi pengalaman dan petua untuk menari lebih baik.
Anak kelahiran Kuala Lumpur ini yang bercita-cita untuk menjadi seorang Prima Ballerina, berazam untuk tidak terikat dengan tarian balet sahaja. Prima Ballerina ialah penari balet wanita utama dalam industri.
“Saya sangat menyukai tarian balet tetapi saya cuba untuk meluaskan pengalaman dengan menceburkan diri dalam tarian-tarian lain seperti tarian moden dan latin,” ujarnya ketika ditemui di Aswara.
Bagaimanapun, ketiga-tiga pelajar tari itu mengakui bahawa tarian balet perlu diterapkan sebagai senaman memanaskan badan kerana ia dapat membantu menguatkan otot dan ketahanan seseorang.
Tarian balet secara keseluruhannya merupakan tarian universal dan boleh dinikmati oleh semua golongan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: