HARGA diri dan nilai profesionalisme seseorang artis tidak mudah punah hanya disebabkan oleh kritikan. Masak dengan ‘sindrom peminat ialah juri’, Mas Idayu tidak jatuh reputasi hanya kerana dikritik secara terbuka oleh seorang individu yang mahu menjadi penyanyi.
Ceritanya bermula apabila ratu dangdut yang terkenal dengan kelantangan bersuara itu terlibat dalam uji bakat sebuah program realiti nyanyian kendaliannya. Fokus rancangan itu memaparkan Mas Idayu yang tidak berminat untuk mengambil salah seorang peserta uji bakat tersebut untuk digilap menjadi anak muridnya. Tidak seperti situasi biasa, alasan penolakan Mas Idayu tidak boleh diterima oleh peserta uji bakat terbabit sehingga mencetuskan suasana tegang.
Tidak puas hati dan berang ekoran tidak terima masuk ke dalam program berkenaan, peserta itu secara terang-terangan mempersoalkan kredibiliti Mas Idayu. Lebih dramatik, penyanyi yang sudah 22 tahun berada dalam industri muzik itu diherdik peserta berkenaan.
Padahnya, atas nama realiti, Mas Idayu harus menahan telinga apabila diselar sebagai bukanlah seorang penyanyi hebat, bahkan ton suaranya juga tidak sedap.
Adegan itu disiarkan dalam program realiti terbitan sebuah stesen televisyen swasta.
Menurut Mas Idayu, sepanjang pengalamannya menjadi juri pelbagai program nyanyian, itulah kali pertama dia berhadapan dengan peserta yang sungguh biadab.
KOSMO!: Apakah perasaan Mas Idayu apabila dikritik suara tidak sedap oleh peserta uji bakat program realiti nyanyian?
Saya tidak rasa malu dan tidak terasa hati pun dengan kritikan yang diberikan kerana saya sudah berada di tahap berbeza dengan peserta itu. Siapa dia untuk pandang rendah kepada saya yang mempunyai pengalaman selama 22 tahun dalam industri seni, sedangkan dia baru berusia 22 tahun dan bukan siapa-siapa. Jika saya tidak bagus, kenapa dia datang uji bakat program kendalian saya?
Adakah komen itu menjejaskan reputasi anda sebagai ratu dangdut Malaysia?
Itu gelaran yang diberi oleh peminat bukan saya yang minta. Saya sendiri segan untuk mengaku sebagai ratu dangdut atau penyanyi legenda, kerana berasa masih terlalu kecil.
Selepas episod saya dikritik itu disiarkan, ramai yang menganggap peserta itu mempunyai masalah kerana tidak dapat menerima hakikat bahawa dia tidak boleh menyanyi. Saya masih seperti biasa, tiada apa pun yang terjejas.
Sebenarnya apakah yang berlaku sehingga peserta uji bakat itu berani mengeluarkan kritikan yang sebegitu biadab?
Peserta itu kecewa kerana saya tidak terima dia sebagai anak didik dalam program realiti berkenaan. Dia minta untuk saya ajar dia, sudah cukup baik saya ajar dia sekejap ketika proses uji bakat tersebut
Hakikatnya, dia memang tidak boleh menyanyi dan sebab tidak puas hati, dia mula mengeluarkan kata-kata yang kurang enak didengar serta mula bersikap biadab
Apabila saya kata, cuba nyanyikan lagu asli, dia menjawab saya bukan Orang Asli! Jika bukan biadab, apa lagi yang saya boleh kategorikan peserta itu?
Sepanjang menjadi juri pelbagai program nyanyian, adakah ini kali pertama anda bertemu dengan peserta yang biadab?
Ya, ini kali pertama. Saya tidak pernah jumpa orang seperti itu. Selalunya, peserta merayu minta untuk dipilih, bukannya melepaskan geram kepada juri. Ikutkan hati, mahu sahaja saya baling kasut tinggi yang saya pakai ke mukanya, sebab terlalu geram tetapi saya fikir balik, buat apalah saya mahu jadi seperti dia. Lebih baik saya bersabar, nanti imej saya pula yang buruk. Inilah asam garam dunia artis, harus banyak bersabar.
Adakah anda berbangga apabila sering dipanggil menjadi juri program nyanyian?
Saya bersyukur dan berbangga berada di tahap sekarang kerana perjalanan seni saya bukan mudah. Apa yang boleh saya cakap, satu penghormatan kepada saya apabila diberi kepercayaan untuk menilai vokal dan menggilap bakat orang lain.
Selain sibuk menjadi juri, apakah perkembangan terbaharu kerjaya nyanyian anda?
Saya akan bekerjasama dengan penyanyi dangdut Amelina yang bakal membuat kemunculan semula tidak lama lagi
Komposer, Ajai yang buat lagu untuk projek tersebut. Bagaimanapun, saya tidak boleh dedahkan butirannya secara terperinci.
Selain itu, saya juga sedang menunggu lagu genre pop dan balada. Bukan sebab lagu dangdut tidak laku tetapi ramai peminat yang minta saya menyanyikan sebuah lagu balada. Apa salahnya saya memenuhi permintaan tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: