Monday, November 10, 2014

Konservasi habitat Sungai Indus



POPULASI ikan lumba-lumba ini dikatakan merudum sehingga 50 peratus sejak tahun 1944.


MENURUT cerita penduduk tempatan, ikan lumba-lumba di Sungai Indus di Pakistan dipercayai berasal daripada seorang wanita yang disumpah oleh lelaki warak kerana terlupa menghidangkan makanan kepada lelaki itu.
Selepas beribu-ribu tahun ikan lumba-lumba Indus atau nama saintifiknya, Platanista gangetica berenang bebas di sungai tersebut, spesies itu berhadapan dengan ancaman kepupusan disebabkan kegiatan memancing tanpa kawalan dan empangan buatan manusia.
Dilahirkan sebagai mamalia air yang tidak agresif tetapi buta, aktivis pemuliharaan alam sedang berusaha untuk menyelamatkan ekosistem ikan yang dikenali dengan nama bhulan dalam kalangan penduduk setempat.
Namun, masalah baharu timbul apabila habitat penyu bintik hitam di sungai yang sama pula menjadi sasaran pemburu haram. Harga penyu itu meningkat kerana menjadi pilihan pengumpul haiwan unik dan pengamal perubatan tradisional.
Populasi
Ikan lumba-lumba Indus mampu membesar dengan kepanjangan sehingga 2.5 meter dan antara haiwan mamalia yang jarang ditemui di dunia.
Menurut rekod, terdapat 1,400 ikan lumba-lumba Indus yang bergelut untuk mempertahankan habitat mereka di sepanjang 1,200 kilometer (km) Sungai Indus yang berpunca dari Banjaran Himalaya. Sungai ini mengalir keluar ke Laut Arab berhampiran Karachi.
Populasi habitat ikan lumba-lumba Indus itu menurun lebih daripada 50 peratus sejak tahun 1944. Sejak itu, Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN) menyenaraikan spesies itu sebagai haiwan terancam.
Walaupun buta, mamalia itu masih mampu bergerak dan mencari sumber makanan menggunakan kaedah gemalokasi. Gemalokasi ialah proses mengesan objek dengan cara mendengar dan mengenal pasti arah kebalikan bunyi.
Ikan tersebut sentiasa mengeluarkan kepala di permukaan air dipercayai untuk mencari ketenangan di sebalik bayang-bayang Bendungan Sukkur yang dibina ketika jajahan British sepanjang 470km ke utara Karachi.
Pada musim monsun, pesisiran Sungai Indus dipenuhi pengunjung untuk menyaksikan aksi ikan lumba-lumba Indus. Namun, pembinaan empangan di Sungai Indus sejak abad ke-19 bertujuan untuk mengairi kawasan pertanian telah menyebabkan ikan lumba-lumba Indus terbahagi kepada 17 habitat yang berbeza.
Kajian terkini pakar Universiti St. Andrews Britain dalam jurnalnya, PLoS One mendedahkan, 10 daripada 17 habitat ikan lumba-lumba Indus sudah pupus. Pembahagian populasi itu menunjukkan bahawa kepupusan berlaku sangat pantas.
Sungai menjadi surut setiap kali musim monsun berakhir. Ikan lumba-lumba Indus mati kerana terdampar di kolam kecil, anak sungai yang cetek, kelaparan dan menjadi sasaran pemangsa.

PENYU bintik hitam ini sering menjadi sasaran pemburu haram.


Aktiviti memancing di kawasan sekitar menyebabkan sungai menjadi keruh dan kelibat spesies yang mempunyai tona kulit merah jambu-kelabu itu mudah dikesan pemancing.
“Pukat merupakan ancaman kepada ikan lumba-lumba di sini kerana mereka mudah terperangkap. Ia amat membahayakan kerana ikan lumba-lumba perlu ke permukaan air untuk bernafas setiap satu hingga dua minit,” kata Muhammad Imran Malik daripada Projek Perlindungan Ikan Lumba-Lumba bersama Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).
WWF menyediakan rangkaian hubungan dalam kalangan komuniti tempatan di kedua-dua bahagian tebing Sungai Indus. Rangkaian itu mempercepatkan proses menyelamatkan ikan lumba-lumba tersebut.
“Kami sudah menganjurkan pelbagai kempen kesedaran khas untuk nelayan tempatan di sini. Usaha kami untuk membendung kepupusan habitatnya selain memelihara ekosistem sungai,” katanya.
Seorang nelayan, Gajan Khas Malah yang merupakan seorang sukarelawan WWF merupakan individu yang bertanggungjawab memantau spesies tersebut.
“Beberapa tahun lalu, kami pernah ternampak seekor ikan lumba-lumba terdampar di kawasan perairan yang cetek.
“Perkara itu dimaklumkan kepada pihak WWF dan mereka berjaya menyelamatkan haiwan itu,” katanya.
Ketika WWF dan agensi berkaitan di Pakistan berjuang menyelamatkan spesies ikan lumba, ekosistem Sungai Indus diancam kumpulan penyeludup yang memburu penyu hitam berbintik.
Penyu itu diseludup secara haram ke China dan Thailand.
“Wujud permintaan yang tinggi terhadap spesies penyu ini dalam pasaran. Ia sering dijadikan sebagai haiwan peliharaan kerana mempunyai tompokan putih dan kuning,” kata Penyelaras Projek WWF, Uzma Noureen di pusat perlindungan, pemuliharaan dan menyelamat penyu.
Kira-kira 200 penyu disenaraikan sebagai hampir pupus oleh IUCN yang diseludup dari Pakistan hingga Taxkorgan ke Xinjiang China sejak bulan Jun lalu.
Misi menyelamat
Pegawai Pakistan melalui jalan darat untuk membawa pulang kesemua penyu itu dan ditempatkan di pusat perlindungan di Sukkur.
“Misi menyelamat ini umpama kami membawa pulang kapal dan terpaksa bertarung dengan lanun. Sekarang kami akan membebaskan mereka di habitat semula jadi. Ia pencapaian yang amat membanggakan,” kata Ketua Jabatan Hidupan liar Sindh, Javed Mahar.
Pihak kastam Pakistan mengesan dua kiriman melibatkan ratusan penyu terkawal dibawa keluar melalui lapangan terbang Karachi.
“Kami melihat permintaan terhadap penyu ini semakin tinggi di Thailand dan China,” kata pakar penyelidik IUCN, Ghulam Qadir Shah.
Seekor penyu mampu mencecah sehingga RM5,348. Bagaimanapun, harga boleh meningkat mengikut kualiti dan kecantikan penyu. Selain menjadi haiwan peliharaan, pengamal perubatan tradisional percaya darah dan daging penyu mampu mengubati penyakit tertentu.
Shah menegaskan, pihak berkuasa Pakistan tidak mampu bergerak sendirian dalam membanteras penyeludupan itu sebaliknya memerlukan kerjasama daripada negara-negara terbabit.
“Kami tidak akan berhenti menentang penyeludupan penyu ini,” katanya lagi.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: