Tuesday, November 18, 2014

Karnival kesihatan percuma di masjid

KEMPEN menderma darah turut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung.


PERANAN institusi masjid dalam Islam bukan hanya sebagai rumah ibadat semata-mata tetapi merangkumi pelbagai aspek lain seperti pusat kegiatan ilmu dan kegiatan sosial masyarakat.
Masjid menjadi tunggak kepada kekukuhan dan keluhuran masyarakat setempat dan merupakan institusi pertama dibangunkan Rasulullah SAW.
Atas kesedaran akan peranan masjid yang begitu penting, Biro Pemuda Masjid India Muslim Tengku Kelana (MIMTK), Klang, Selangor menganjurkan aktiviti bertemakan kesihatan yang berlangsung pada 15 November lalu.
Terletak di Jalan Tengku Kelana, Klang, MIMTK dikelilingi oleh masyarakat majmuk dari pelbagai bangsa dan agama.
Program Kempen Derma Darah dan Pameran Kesihatan 2014 di Dewan Serbaguna MIMTK itu memberi peluang kepada penduduk sekitar Klang menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma, di samping menderma darah.
Aktiviti lain termasuklah pameran kesihatan, penerangan mengenai kanser payudara dan kaedah-keadah pencegahan awal serta penerangan mengenai pemakanan dan gaya hidup aktif.
Ia berjaya menarik lebih 400 orang pengunjung.
Menurut Ketua Nazir MIMTK, Md. Yousoff Noor Mohamed, penganjuran program seumpama itu bertujuan untuk menonjolkan keagungan dan kemanisan Islam sebagai satu gaya hidup yang syumul dan lengkap dari segenap aspek.
“Program ini membolehkan orang ramai memahami Islam yang bersifat sederhana dan tidak melampau. Islam juga tidak hanya eksklusif kepada individu tertentu atau bangsa tertentu kerana masjid juga tidak hanya eksklusif untuk ibadat semata-mata.
“Program ini juga bertujuan untuk menarik minat orang muda mendekati masjid dengan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas merasmikan pembukaan kempen tersebut.
Selain itu, Md. Yousoff berharap lebih banyak pihak menganjurkan program seumpama itu, sekali gus memupuk budaya harmoni dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Kempen yang bermula seawal 8 pagi hingga 1 tengah hari itu bermula dengan pendaftaran untuk para pengunjung sebelum memulakan pemeriksaan tekanan darah. Orang ramai juga berpeluang membuat pemeriksaan paru-paru, pendengaran dan gigi.
Kempen kesihatan tersebut turut mendapat kerjasama daripada 1Malaysia For Youth, Pertubuhan Kebajikan Kanser Payudara dan Parenting2U.
Manfaat

Golongan warga emas tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan tip-tip kesihatan.


Bagi Ketua Penerangan Kongres India Muslim Malaysia Kimma (Selangor), Iqbal Zainal Abidin, penganjuran kempen kesihatan tersebut mampu memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
“Sebenarnya masalah kesihatan berpunca daripada orang ramai kekurangan maklumat mengenai penyakit-penyakit, simpton awal dan kaedah pencegahan yang sepatutnya.
“Program sebegini menjadi platform terbaik untuk menyalurkan maklumat kepada orang ramai,” ujar Iqbal.
Sementara itu, pemilik Restoran Hakim Sdn. Bhd. merangkap Penasihat MIMTK, Hakimsa Abdul Karim memuji penganjuran program yang memasuki tahun keempat sejak penganjuran pertama dilakukan pada 2011.
“Program anjuran masjid ini menunjukkan sikap keterbukaan dan kesungguhan Islam yang menitikberatkan kesihatan dan kebajikan umatnya.
“Saya berharap, ia akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang agar lebih ramai anggota masyarakat menerima faedah daripada penganjuran seumpama ini,” katanya.
Seorang pengunjung, Alice Soosay, 45, menyifatkan pemeriksaan secara percuma di masjid itu memudahkan urusannya tanpa perlu membuat pemeriksaan di hospital.
Alice juga mengakui, dia tidak kekok walaupun program itu diadakan di masjid yang merupakan pusat keagamaan bagi umat Islam.
Sementara itu, seorang jurujual, Intan Adlina Terance, 24, menyifatkan kempen itu mampu memberi kesedaran kepada golongan wanita untuk menjalani pemeriksaan kanser payudara yang merupakan musuh utama golongan Hawa.
“Selain mendapat maklumat berkaitan kanser payudara, pengunjung turut didedahkan dengan kepentingan penjagaan diri dan mengenali simpton-simpton awal penyakit berbahaya ini,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: