Saturday, November 1, 2014

Ellie Suriaty terus berkarya


Pengarahan Ellie (kanan) dalam filem Penanggal membuahkan hasil apabila memenangi Anugerah Pengarah Harapan FFM26.


SEKALIPUN diduga dengan pelbagai ujian sepanjang membikin filem seram pertamanya Penanggal, pengarah filem tersebut, Ellie Suriaty menghela nafas lega apabila dinobatkan sebagai Pengarah Harapan Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) tahun ini.
Kata Ellie, 43, pengorbanan, keringat dan dugaannya berbaloi dengan pencapaian yang diraih oleh filem pertama arahannya itu. Pendukung trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM16 itu semakin sedar tentang melihat hikmah di sebalik peristiwa yang berlaku pada hujung tahun 2011 ketika pembikinan filem Penanggal ketika itu.
“Alhamdulillah pengorbanan saya berbalas dan saya percayakan kuasa kerjasama sepasukan. Itu prioriti yang saya terapkan antara satu sama lain supaya tiada halangan ketika bekerja. Jadi, kejayaan ini bukan kerana saya seorang sebaliknya sebagai nakhoda, paling penting ialah kepercayaan anak kapal kepada saya,” ujarnya yang ditemui usai Majlis Perasmian FFM26 di Hotel Empire Subang, Rabu lalu.
Menerusi filem Penanggal, Ellie telah menumpaskan empat pencabar lain seperti Nam Ron (Psiko Pencuri Hati), Syed Hussein (Langgar), Nik Amir Mustapha (KIL) dan Esma Daniel (Zaiton Ceritaku).
Galang ganti
Tambah Ellie, kekuatan filem Penanggal bergantung pada konsep dan subteks yang cuba diketengahkan secara melodramatik dalam filem bergenre seram. Paling utama dedikasi filem tersebut yang berkisarkan kepercayaan dan cinta kepada Pencipta.
“Kuatnya filem ini kerana isi kandungannya. Saya bukan mahu bercerita mengenai hantu sebaliknya isu ketuhanan dan ini merupakan sebuah dedikasi seorang hamba kepada Tuhannya. Memang saya mendapat kritikan pedas namun itu tidak mengapa kerana itulah lumrah setiap orang berkarya.
“Yang indahnya, kita mengangkat filem ini bersama-sama dan produser juga meletakkan kepercayaan serta keterbukaan terhadap filem ini. Sekali gus menerima idea konseptual dengan baik, malah setiap helaian skrip dibaca dengan teliti,” katanya yang mahu menyaksikan semarak semangat daripada pengkarya lain untuk menghasilkan filem yang lebih baik berbandingan karya arahannya.
Ellie menjelaskan, dia tidak terbeban dengan pencapaian yang diraih pada FFM26. Katanya, filem Penanggal boleh berdiri sendiri dan dia tidak akan membandingkan filem arahannya yang seterusnya dengan naskhah itu kerana Penanggal telah mengisi ruang istimewa dalam hatinya.
“Saya sangat beruntung kerana arwah Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini menerima pelawaan saya untuk melakonkan watak Sharifah Aminah dalam Penanggal. Siapalah saya untuk meminta dia berlakon di bawah arahan saya tapi kami dipertemukan dan berbicara daripada hati ke hati. Saya nyatakan keperluan untuk adanya beliau dalam filem ini.
“Saya melihat beliau sebagai Sharifah Aminah, seorang wanita berketurunan Arab yang punyai aura dan pesona yang besar. Jujur saya nyatakan, dia (Sharifah Ani) sangat terbuka, berbesar hati, menerima pelawaan saya dan tidak menyukarkan kerja pengarahan saya.
“Mengenai insiden saya keguguran ketika penggambaran filem ini, saya berbalik kepada kuasa Allah. Perkara itu berlaku kerana dedikasi cinta kita kepada Allah, jadi Dia menguji kita. Sebagai seorang manusia, saya rasa sedih kerana itu percubaan terakhir saya untuk mendapatkan cahaya mata. Allah tidak kejam, Dia mengambil anak saya dan meletakkan dia di syurga,” jelas Ellie.
Kontroversi Anugerah Filem Pendek
Sementara itu, penganjuran FFM26 tahun ini masih dilingkari kontroversi yang berlanjutan. Selain daripada beberapa kali penundaan malam anugerah FFM26 sebelum ini, Malam Perasmian FFM26 yang menyaksikan penganugerahan 11 kategori kepada calon yang bertanding tahun ini secara tidak langsung membunuh semangat karyawan dalam bidang filem animasi apabila tiada sebarang finalis diumumkan layak memenangi Anugerah Filem Pendek Terbaik.
Pemangku Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Dr. Megat Al-Imrah Yasin menjelaskan, terdapat hanya tiga pencalonan kategori yang dihantar tahun ini. Ketiga-tiga karya itu pula hasil tiga produksi iaitu daripada Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK (Universiti Malaysia Kelantan), Thumbs Up Team dan El Videographics.
“Kami meletakkan standard tinggi untuk setiap pencalonan dan finalis yang bertanding untuk FFM. Kalau setakat festival video pelajar mungkin kami boleh menerima filem-filem animasi yang dihantar. Ada antara universiti yang menghasilkan filem animasi tidak mencapai tahap profesional. Kebanyakannya seperti filem pendek pelajar dan lebih cenderung bersifat eksperimental.
“Anugerah yang diberikan akan menjadi sebahagian daripada sejarah dan kami enggan dipandang rendah oleh produksi luar sekiranya mengiktiraf karya-karya yang tidak menepati standard yang ditetapkan. Mungkin masih banyak filem animasi yang tidak menghantar penyertaan tahun ini, bagaimanapun, kami masih mengekalkan kategori ini pada tahun akan datang,” katanya Dr. Megat.
Dalam pada itu, Pengarah FFM26, Mohd. Zulkifli Abdul Wahab pula menegaskan, di sebalik siri kontroversi yang berlarutan sepanjang penganjuran acara berkenaan tahun ini, pihaknya menjanjikan kepuasan maksimum menjelang Malam Anugerah FFM26 yang akan berlangsung malam ini.
“Selain isu penundaan acara ini bagi menghormati tragedi yang menimpa negara serta isu penganjuran yang membabitkan Gafim (Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia) dan Finas, malam ini diharapkan menjadi penamat segala yang telah terjadi. Kami juga mendapat sokongan daripada Gafim untuk hadir sama meraikan malam penganugerahan kepada penggiat seni filem tempatan.
“Kami menjanjikan persembahan yang terbaik khusus kepada penonton yang akan hadir di Negeri Sembilan. Antara artis yang akan terbabit ialah Datuk M. Nasir, Hafiz Suip, Adira, Tomok dan persembahan khas daripada pelakon filem Kami Histeria serta The Journey,” katanya.
Kemuncak Malam Anugerah FFM26 tahun ini memilih Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Seremban, Negeri Sembilan sebagai saksi bahawa industri filem Melayu belum mati, bahkan terus dibawa ke lokasi luar dari Kuala Lumpur untuk disaksikan khalayak lebih terbuka. Bertemakan Transformasi Sinema Malaysia, majlis yang bakal menampilkan Fahrin Ahmad selaku hos itu turut disiarkan secara langsung di saluran TVi, Astro Ria (104) dan Maya HD (135) pada pukul 9 malam nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: