![]() |
Panggung berprestij, Dewan Filharmonik Petronas baru-baru ini menjadi saksi kepada kehebatan penyanyi bersuara lunak, Dayang Nurfaizah dalam konsert solo pertamanya sejak memulakan perjalanan seni bermula pada tahun 1996.
Bagaikan sebuah rangkuman padat jarak masa yang dilalui, konsert Dayang sempena 15 tahun perjalanan kariernya dalam bidang muzik itu sudah cukup menggambarkan jiwa dan rasa anak kelahiran bumi kenyalang itu apabila berbincang mengenai bidang seni suara. Mengakui menyimpan impian untuk mengadakan konsert secara solo, hajat penyanyi berkulit hitam manis itu tertunai sudah.
“Sudah lama saya ingin mengadakan konsert secara solo mengikut konsep dan cara persembahan saya sendiri. Akhirnya, sejak pelancaran album saya 15 tahun lalu, kini barulah berpeluang menguasai penuh pentas mengikut cara saya sendiri.
“Syukur, saya sangat berpuas hati pada konsert malam ini (Isnin lalu), peminat juga terhibur kerana saya sememangnya ingin membalas budi peminat yang selama ini menyokong penuh perjalanan karier saya,” ujarnya usai konsert tersebut berlangsung.
Tampak eksklusif pada malam bersejarah tersebut, Dayang tampil yakin dengan busana bercorak permata rekaan Micheal Ong. Dendangan pertamanya menerusi lagu berjudul Erti Hidup ternyata membuatkan penonton terpegun dek keasyikan suara penyanyi yang digelar ‘Beyonce Malaysia’ itu.
Berjaya mengekalkan tumpuan penonton, Dayang cuba berinteraksi dengan peminat yang selama ini sentiasa memberi sokongan kepadanya. Menurut Dayang, kebanyakan penonton yang datang pada malam 3 November itu merupakan peminat yang sudah lama mengikuti perkembangannya sejak awal pembabitannya dalam bidang seni.
![]() |
SUDAH mempunyai sembilan buah album, Dayang mempunyai deretan lagu popular seperti Seandainya Masih Ada Cinta dan Di Pintu Syurga.
|
“Saya sangat terharu apabila melihat penonton yang hadir pada malam ini. Mereka merupakan peminat yang sudah saya kenali. Walaupun konsert ini diadakan bukan pada hujung minggu, mereka tetap hadir memberi sokongan.
“Sebagai balasan kesetiaan mereka, saya melakukan persembahan ini secara santai dan memberi peluang kami berinteraksi dua hala supaya kami masing-masing gembira,” katanya.
Lagu seterusnya yang menjadi santapan halwa telinga penonton ialah Hakikat Cinta. Menerusi lagu yang dimuatkan dalam album pertamanya berjudul Dayang Nurfaizah, Dayang mendedikasikan lirik romantis itu khas untuk semua petugas media yang selama ini menyokong perjalanan karier seninya.
“Pernah suatu ketika dahulu, pada awal pembabitan saya dalam industri muzik, pihak media banyak membantu terutamanya daripada segi penulisan dan mereka juga memberi semangat dengan mengatakan bahawa saya mampu pergi lebih jauh dalam industri.
“Kini, setelah 15 tahun saya mampu sampai ke tahap yang boleh dibanggakan,” ujarnya penuh syukur.
Adrenalin penonton yang hadir dipacu lagi dengan beberapa lagu medley miliknya seperti Berserah Kasih, Sekali Lagi dan Coretan Cinta yang menjadi saksi pembabitan awal penyanyi itu dalam industri seni tanah air.
Anggun dan memukau dalam balutan busana rekaan Rizman Ruzaini, tanpa melengahkan masa, Dayang mengalirkan emosi indah konsert ulang tahun itu dengan seleksi lagu hit yang berjaya mengangkat namanya seperti Sedingin Mana Cintamu dan Pintaku Yang Terakhir.
Susunan melodi yang digarap oleh pengarah muzik, Jenny Chin nyata berbisa apabila berjaya memberi kelainan terhadap lagu-lagu yang disampaikan Dayang pada malam tersebut.

TERBAIK. Itu satu perkataan yang sesuai diberikan kepada konsert solo Dayang Nurfaizah.
Menurut Dayang, susunan muzik dan pemilihan lagu merupakan antara perkara paling sukar yang dilaluinya serta pemuzik iringan lain sepanjang persiapan menjayakan konsert tersebut.
“Saya sangat menitikberatkan persembahan dan cara penyampaian lagu. Perkara itu penting dalam perancangan mengenai sesebuah konsert. Dari situlah, persembahan menjadi lebih istimewa dan berbaloi dengan tiket yang dibayar penonton.
“Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan penonton memberi maklum balas yang sangat baik mengenai konsert ini. Mungkin konsert ini mampu menjadi penanda aras untuk saya menjayakan konsert yang lebih besar pada masa akan datang,” katanya yang pernah menghasilkan sembilan buah album sepanjang 15 tahun menjadi penyanyi.
Perjalanan konsert diteruskan dengan rangkaian medley nyanyian asal daripada biduan dan biduanita negara seperti Allahyarham Rafeah Buang, Allahyarham Adam Ahmad dan Allahyarham Sharifah Aini. Ujar Dayang, sebagai seorang penyanyi generasi baharu, dia sangat menghormati tiga figura hebat industri hiburan tanah air itu yang telah memberi pengaruh secara tidak langsung di dalam kehidupannya.
“Saya sangat menghormati perjuangan seni mereka. Mereka merupakan insan yang menjadi inspirasi dalam kehidupan seni saya. Lagu ini diharap mampu mengembalikan memori kegemilangan insan-insan yang pernah mewarnai industri muzik suatu ketika dahulu,” katanya.
Menariknya, pada konsert tersebut, Dayang turut menyampaikan lagu medley daripada beberapa penyanyi antarabangsa yang menjadi fenomena masa kini, antaranya Get Lucky daripada kumpulan Daft Punk dan Love Never Felt So Good (Micheal Jackson) serta Happy (Pharrel William).
Menandakan tirai konsert bakal ditutup, Dayang menyampaikan lagu terakhir berjudul Di Pintu Syurga yang turut tercalon dalam Anugerah Planet Muzik 2014 menerusi kategori Artis Wanita Terbaik.
Menurut Dayang, pencalonan itu disifatkan sebagai satu penghormatan besar buatnya. Lagu ciptaan oleh komposer Tam Spider dan penulis lirik, Rudy Imran juga pernah menjadi tema drama rantaian Ariana Rose di kaca televisyen telah menyemarakkan namanya.
Meninggalkan pentas tanpa mengucap selamat tinggal kepada penonton merupakan antara gimik yang direncanakan Dayang buat peminatnya. Terus lekat di kerusi, penonton semestinya tidak mahu berganjak, masing-masing belum puas dengan persembahan keseluruhan Dayang pada malam tersebut.
Sekitar 10 minit kemudian, Dayang naik ke pentas untuk menyampaikan lagu terakhirnya berjudul Seandainya Masih Ada Cinta. Lagu ‘berhantu’ itu sengaja disimpan sebagai senjata terakhir untuk menawan para peminatnya kerana nostalgia lagu tersebut telah memperkenalkan dan meletakkan dirinya sebaris dengan banyak artis wanita popular yang berpaksikan genre balada.
Relevan
Sementara itu, Dayang yang ditemui usai konsert ditebak mengenai relevan dirinya di dalam industri muzik kini. Tidak melatah walaupun tidak mendapat sokongan daripada majoriti peminat industri seni tempatan, bagi Dayang, dia akan terus memberikan yang terbaik dalam setiap apa yang dilakukan. Selagi ada peminat menghargai bakat seni yang ada di dalam dirinya, selagi itulah dia akan kekal di pentas seni suara.
“Saya tidak mempunyai masalah menghiburkan peminat walaupun di hadapan tiga orang peminat yang hadir sahaja. Bagi saya, apa yang penting ialah dapat memberikan yang terbaik dalam setiap apa yang dilakukan,” ujarnya serius.
Berkongsi mengenai resipi kejayaannya dalam mengekalkan nama dalam industri seni, Dayang memberitahu, kesabaran merupakan hal penting untuk mengecapi kejayaan.
“Selama 15 tahun, saya bersabar untuk sampai ke tahap ini. Pelbagai suka duka terpaksa dihadapi. Mungkin sebelum ini, masa untuk menyinar masih belum tiba, tetapi penting untuk saya akan terus berusaha tanpa putus asa selagi peminat menghargai saya,” katanya.
Melanjutkan perbualan, Dayang memberitahu, dia tidak pernah menyesal mengharungi pengalaman pahit manis bergelar anak seni sebaliknya pengalaman banyak mengajarnya untuk terus cekal dalam industri ini.
“Sukar untuk menggambarkan perjalanan seni saya sepanjang 15 tahun ini. Terus-terang saya katakan, saya sangat berpuas hati dengan konsert ini,” ujarnya yang berhasrat mahu mengadakan konsert secara besar-besaran pada masa akan datang.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: