Monday, November 3, 2014

Banduan Dilatih Jadi Pemandu Bas Profesional


banduan
PETALING JAYA: Masalah kekosongan kira-kira 20,000 jawatan pemandu termasuk pemandu bas di negara ini dijangka dapat diatasi apabila sebahagiannya bakal diisi oleh bekas banduan tidak lama lagi.
Ketua Seksyen Vokasional dan Industri Jabatan Penjara, Datuk Mohd Sakeri Abdullah berkata, program itu merupakan salah satu usaha memulihkan bekas banduan apabila mereka dibebaskan dengan jaminan pekerjaan.
“Kita berharap apabila banduan sudah mempunyai kerja selepas dibebaskan, ia dapat menjamin kehidupan baharu mereka malah membina masa depan yang lebih baik.
“Saya difahamkan terdapat lebih 20,000 kerjaya pemandu termasuk 10,000 jawatan pemandu bas di pasaran dan kekosongan ini seharusnya diisi dengan baik.
“Pada masa ini, seramai 30 banduan telah menyertai program tersebut sebagai kumpulan perintis pertama,” katanya kepada mStar Online dalam satu temuramah di Ibu Pejabat Jabatan Penjara di Kajang, baru-baru ini.
Mohd Sakeri berkata, syarat penyertaan yang dikenakan ialah banduan yang berbaki hukuman maksimum setahun dengan kesalahan jenayah ringan dan bukan disebabkan dadah.
Pemilihan peserta program perintis ini dilakukan oleh Jawatankuasa Pemilihan yang terdiri daripada pegawai-pegawai Jabatan Penjara, JPK dan Metro Driving.
Menurut Mohd Sakeri, program ini turut sebagai mekanisme pemantauan secara tidak langsung terhadap banduan mengenai hala tuju mereka apabila dibebaskan nanti.
“Kita mahu mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap bekas banduan dengan melihat golongan ini mampu bekerja secara profesional dengan memberi perkhidmatan yang menyakinkan kepada orang awam.
“Setiap inisiatif dan usaha Jabatan Penjara dalam memulihkan banduan adalah untuk memastikan kadar residivis atau kes banduan berulang menjadi sifar,” katanya.
Mengenai keselamatan, katanya, pegawai penjara akan bertindak sebagai pengiring yang memantau pergerakan banduan sepanjang latihan di dalam dan luar penjara.
“Banduan-banduan ini dalam proses untuk dimasyarakatkan dan pengawasan diperlukan sebagai panduan untuk mereka menyesuaikan diri,” tambah Mohd Sakeri.
banduan
Selain latihan pemanduan, banduan turut diberi pemahaman dari segi teknikal dan penyelenggaraan bas.
Sementara itu, Pengarah Urusan Metro Driving Academy, Mat Aris Bakar pula berkata, dengan kerjasama JPK, program ini berpandukan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) untuk pemandu komersial.
“Jaminan pekerjaan bermula sebagai pemandu dan diakhiri dengan kerjaya pengurus pengangkutan, satu kemahiran individu secara berterusan yang diperlukan industri.
“Ia bukan sahaja tentang memandu, tetapi dari segi teknikal, komunikasi, personaliti, etika pemanduan dan khidmat pelanggan cemerlang,” katanya.
Menurut Mat Aris, banduan ini akan dilatih selama 600 jam sepanjang tempoh enam bulan sejak Jun lalu sehingga Disember ini dalam bidang pemanduan.
Tambahnya, Metro Driving bertanggungjawab dalam menyediakan kepakaran melatih dan menyediakan peluang pekerjaan sebagai pemandu profesional.
“Latihan itu meliputi 40 peratus teori dan 60 peratus praktikal. Kita mempunyai pegawai penilai yang akan menilai mereka selepas selesai latihan teori.
“Apabila praktikal banduan itu terbukti mencapai tahap yang dikehendaki, mereka akan diberikan sijil kemahiran,” katanya sambil menambah bahawa Metro Driving setakat ini teah melatih lebih setengah juta orang bagi semua kategori pemandu.
Beliau berkata, program tersebut akan memanfaatkan syarikat-syarikat bas dari segi perolehan pemandu berkemahiran dan kumpulan pengurusan profesional.
“Ia juga sebagai langkah mengurangkan kadar kemalangan membabitkan kenderaan perdagangan dan menjadikan sistem pengangkutan awam lebih cekap.
“Selain turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi lebih baik, kita mahu menunjukkan pemandu bukan lagi hanya bekerja dan bersara sebagai pemandu, tetapi lebih daripada itu dengan memegang jawatan tertinggi dalam pengurusan,” katanya.
Pada masa ini, lebih 10 syarikat pengendali perkhidmatan bas yang bekerjasama dengan Metro Driving seperti Rapid, Konsortium Nasional Bhd dan Maraliner.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: