Saturday, September 20, 2014

Lautan awan di Pulau Hokaido



WAP dari kolam air panas di Pergunungan Tomamu menjadi punca kepada pembentukan lautan awan di ruang udara Unkai Terrace.


BAGI mereka yang gemar menjelajah ke semua tempat terhebat di seluruh dunia, senarai itu tidak akan lengkap sekiranya belum menjejakkan kaki ke Unkai Terrace di Pergunungan Tomamu, Pulau Hokaido, Jepun.
Unkai dalam bahasa Jepun bermaksud lautan awan. Sesuai dengan maksudnya, Unkai Terrace merupakan sebuah lokasi tanah tinggi di Pulau Hokaido yang langitnya dipenuhi gumpalan awan menyerupai lautan.
Penduduk tempatan di Pulau Hokaido terutama sekitar Perkampungan Shimukappu dan pekan Tomamu pula menggelarnya sebagai Fenomena Unkai.
Ia dikatakan berpunca daripada wap mata air panas yang terdapat di sekitar kawasan itu. Wap air tersebut berubah menjadi gumpalan awan apabila ia bebas ke ruang udara yang lebih sejuk pada waktu malam.
Apabila pagi menjelang, kawasan sekitar Unkai Terrace akan dipenuhi lautan awan dan fenomena tersebut boleh disaksikan oleh para pengunjung bertuah yang berada di puncak Pergunungan Tomamu.
Pembentukan lautan awan di Unkai Terrace bagaimanapun bukan fenomena yang kerap berlaku dan ia bergantung kepada keadaan suhu waktu malam di sekitar Pergunungan Tomamu.
Fenomena semula jadi itu tidak berlaku sekiranya suhu di pergunungan tersebut tidak mengalami perubahan daripada panas kepada lebih sejuk pada waktu malam.
Paling menarik ialah pengunjung berpeluang menyaksikan gumpalan awan itu berarak seperti ombak di lautan apabila angin bertiup nyaman di kawasan lembah pergunungan tersebut.

MONYET macaque di sekitar Pergunungan Tomamu sering mandi di kolam air panas semula jadi untuk memanaskan badan ketika musim sejuk di Pulau Hokaido.


Pengalaman menikmati pemandangan menakjubkan di Unkai Terrace juga tidak ubah seperti sedang berada di istana kayangan atas awan yang sering digambarkan dalam kisah dongeng pari-pari.
Malah, pengunjung juga boleh menyaksikan fenomena semula jadi itu sambil menikmati sarapan di Resort Tomamu yang dibina di lokasi lebih tinggi daripada gumpalan awan tersebut.
Matahari terbit
Lebih mengasyikkan, para pengunjung Resort Tomamu juga berpeluang menyaksikan matahari terbit di Unkai Terrace yang dikelilingi awan selama empat setengah jam bermula seawal pukul 4 pagi sebelum lautan putih itu menghilang selepas pukul 8.30 pagi.
Untuk menikmati pemandangan lautan awan di Unkai Terrace, para pengunjung boleh menaiki kereta kabel dengan kadar tambang AS$20 (RM68) setiap seorang dan menginap di Resort Tomamu yang dibina pada ketinggian 1,100 meter dari aras laut.
Disebabkan pembentukan lautan awan di Unkai Terrace bergantung kepada keadaan suhu di Pergunungan Tomamu, waktu terbaik untuk menyaksikan fenomena itu ialah pada sekitar musim panas antara Jun hingga September.
Ia kerana suhu waktu malam pada musim panas di Pulau Hokaido adalah lebih sejuk berbanding siang. Sepanjang musim panas, Unkai Terrace dipenuhi awan sehingga permukaan lebih rendah di kawasan itu tidak kelihatan.
Ketika lautan awan itu terbentuk, puncak beberapa buah bukit yang terdapat di Pergunungan Tomamu pula kelihatan seperti pulau-pulau kecil di tengah lautan putih yang terbentang luas.
Tomamu terletak 150 kilometer di timur Sapporo dan Taman Negara Hikada. Selain Unkai Terrace, pekan kecil tersebut turut terkenal sebagai lokasi sukan lasak ski di pergunungan bersalji.

DUA pengunjung wanita sedang menikmati keindahan pemandangan lautan awan ketika matahari terbit di Resort Tomamu.


Pada musim panas antara November hingga Februari, para peluncur dari seluruh dunia akan berkunjung ke Tomamu untuk melakukan aktiviti sukan luncur salji sambil meneroka keindahan di sekitar pergunungan itu.
Kawasan ski dan luncur salji di Tomamu turut menyediakan pelbagai kemudahan seperti pengangkutan kereta kabel serta belon panas kepada para peluncur.
Terdapat beberapa penginapan khusus turut disediakan kepada para peluncur salji yang berkunjung ke Tomamu pada sepanjang musim sejuk termasuk Hotel Menara Tomamu dan Hotel Suite Menara Galeri Tomamu.
Dalam pada itu, terdapat beberapa buah resort lain di Tomamu turut menyediakan kolam mata air panas yang dilengkapi pelbagai kemudahan moden untuk keselesaan pengunjung.
Lebih menarik, kolam air panas semula jadi tersebut turut menjadi tempat mandi bagi spesies monyet macaque yang menghuni hutan berhampiran untuk memanaskan badan ketika musim sejuk.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: