Sheeda disamping suami tercinta Sukri Hashim.
Sheeda bersama keluarga bahagia.
Antaranya termasuk pelakon Rosnah Mat Aris, Rita Rudaini, Que Haidar, penyanyi dangdut, Sheeda dan personaliti TV3, Azizah Ariffin.
Tidak pernah terlintas di hati untuk memilih 'pucuk muda' semata-mata sebagai pendamping hidup, Sheeda atau nama sebenarnya, Rashidah Hamid, menganggap itu adalah ketentuan dari-Nya.
Malah menurut isteri kepada guru, Sukri Hashim, 33, tidak pernah ada istilah mendabik dada atau bangga bersuamikan lelaki muda.
"Saya langsung tak sangka akan berkahwin dengan lelaki muda. Malah, kedua-dua bekas suami dulu juga lebih muda dari saya.
"Ia berlaku atas dasar cinta yang berputik secara kebetulan. Saya berkawan dengan kawan Sukri dan kami bertemu secara kebetulan. Namun, hubungan itu diteruskan sebagai kawan sehinggalah Sukri melamar saya.
"Pun begitu, saya tidak terus menerima lamaran itu. Hampir setahun saya membiarkan Sukri menunggu, barulah saya terima setelah melihat kesungguhan dan kesabarannya," katanya yang memiliki anak lelaki bersama Sukri, Muhammad Aiman, 4 tahun.
Hasil perkahwinan terdahulu, Sheeda dikurniakan tiga anak, Mohd Hafizul Razli, 28, Norazlinda Razali (Bienda), 27, dan Norfazlinda Ahmad Fazli, 13.
Jangan jadi duri dalam daging
Dalam tempoh enam tahun perkahwinan, akui Sheeda pelbagai pahit manis yang mereka hadapi bersama.
Malah, cabaran dan dugaan itu lebih kuat apabila jarak umur itu menjadi perkara utama yang sering dipertikaikan pihak luar.
Namun, semua itu dianggap sebagai angin lalu, dia turut menasihati pihak luar agar tidak menjadi 'duri dalam daging' hubungan mereka.
"Saya memerlukan kesabaran yang berganda untuk memastikan rumah tangga tidak bergolak dek panahan mulut orang. Ada segelintir pihak suka mencampuri urusan kami dalam rumah tangga.
"Ada kalanya, suami saya mengadu yang dia diejek rakan-rakan disebabkan perbezaan umur kami. Namun, saya berjaya menenangkannya dan menganggap itu semua adalah dugaan yang terpaksa ditempuhi.
"Saya akui, sebagai isteri yang jauh lebih tua dari suami, saya harus meneliti soal kecantikan, layanan mesra dan sentiasa mengambil hatinya dengan pelbagai cara. Namun, saya sering menasihatinya, apa jua yang berlaku, tidak akan menggoyahkan hubungan selagi iman kita kuat," katanya yang melahirkan keinginan memiliki anak lagi.
Tambah Sheeda, ada juga segelintir pihak cuba menuduhnya memberikan 'ubat guna-guna' kepada suami untuk memikat hati guru itu.
"Saya sendiri pelik dengan kata-kata orang yang iri hati dan tidak senang melihat kebahagiaan orang lain sedangkan saya tidak pernah berbuat begitu kepada orang.
"Kadang kala, perkara seperti ini membuatkan kami tertekan. Ada juga yang cuba mengganggu hubungan kami dengan cara cuba mengambil kesempatan, sedangkan mereka tahu kami masih suami isteri.
"Namun, alhamdulillah, setakat ini kami masih boleh bertahan. Sekiranya ALLAH SWT menetapkan hubungan kami tidak berpanjangan, saya reda dan menerima dengan tangan terbuka," katanya.
Ingin berhijrah?
Perjalanan seni Sheeda tidak pernah terhenti sejak berkecimpung dalam industri seni pada era 90-an.
Walaupun irama dangdut kini mula di pandang dingin, namun semangat Sheeda untuk mengembalikan kegemilangan itu tidak pernah pudar.
Menganggap irama dangdut tidak akan terkubur, Sheeda bakal tampil dengan mini album terbaru, hasil kerjasama bersama komposer hebat, Eddie Hamid.
"Album itu memuatkan empat lagu baru termasuk Sayang, Kopi Dangdut Kacip Fatimah, Terlalu Menyintaimu dan Aku Cinta Kamu.
"Saya juga mempunyai perancangan untuk menghasilkan album ketuhanan pada tahun depan dan berhasrat untuk berhijrah.
"Namun, dunia nyanyian tidak akan ditinggalkan walaupun saya berhijrah kerana ia sudah sebati dalam diri, cuma saya akan ubah cara penyampaian," katanya yang ingin menceburi bidang perniagaan selepas berhijrah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: