eMall Karangkraf tempat kedua
Aplikasi eMall berjaya menjangkaui sempadan negara.
SHAH ALAM -  Aplikasi gedung buku atas talian iaitu eMall kini berada di tempat kedua dan kejayaan ini dicapai dalam masa 24 jam.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Media Karangkraf,  Syamil Fahim Mohd Fahim berkata, penggemar karya Karangkraf dari 16 negara memuat turun aplikasi eMall, sekali gus karya Karangkraf sudah pun menjangkaui sempadan negara ini.
“Ini titik permulaan kita berhijrah ke pasaran antarabangsa. Buku dan novel terbitan Karangkraf ini dahulunya amat mustahil dipaparkan di mana-mana kedai buku atau di kedai suratkhabar. Seiring trend teknologi digital, Karangkraf membawa jenamanya ke peringkat global bagi beri peluang kepada pembaca membaca jenama pilihan mereka pada bila-bila masa.
“Satu post di Facebook Fanpage Pa&Ma tentang tawaran di eMall mendapat 1,000 Likes dan 300 komen dalam masa 90 minit! Ini menunjukkan pembaca dan peminat kita sudah bersedia untuk peralihan ke digital dan selama ini mereka hanya menunggu produk berkualiti seperti eMall,” katanya, semalam.
Katanya, majalah seperti Hijabista mendapat sambutan baik dari luar negara dengan langganan tahunan versi digital semakin meningkat.
“Hari ini, kita tawarkan bumper Rasa edisi Julai pula percuma. Pada 17 November pengunjung berpeluang untuk dapat majalah Impiana percuma. 18 November giliran Libur dan 19hb November kepada peminat tudung untuk mendapatkan Hijabista percuma.
“Kita akan beri peluang untuk orang ramai memuat turun majalah tersebut secara percuma selama 24 jam sahaja. Selepas itu, ia akan kembali ke versi berbayar tetapi dengan diskaun yang menarik," katanya.
Ikuti Twitter@emallkarangkraf serta hashtag #eMall bagi promosi terkini produk Karangkraf. Keterangan lanjut, layari emall.karangkraf.com.