Yatt Hamzah bersama anaknya.
Yatt Hamzah bersama anaknya.
Maal Hijrah bukan hanya membawa pengertian lembaran baru dalam tahun Islam, malah ia boleh didefinisikan kepada perubahan atau penghijrahan diri ke arah yang lebih baik.

Walaupun Maal Hijrah boleh diterjemahkan dalam pelbagai konteks, namun setiap individu mempunyai pengertian tersendiri.

Bersyukur kerana masih diberi peluang untuk sama-sama meraikan sambutan Maal Hijrah 1434H, lembaran tahun ini membawa seribu satu pengertian buat selebriti cantik, Yatt Hamzah.

Bagi Yatt atau nama sebenarnya, Haryati Hamzah, 32, tahun ini membawa seribu satu rahmat buat Yatt sekeluarga setelah berjaya melakukan penghijrahan terbesar dalam hidupnya.

Mula berhijrah dari segi penampilan sejak pertengahan tahun ini, Yatt kini mengakui kehidupannya semakin tenang dan cuba untuk memperbaiki kelemahan diri.

"Alhamdulillah, dengan rahmat dari-Nya, kita masih diberi peluang untuk menyambut lembaran tahun baru Islam ini. Jika sebelum ini, saya hanya mengetahui pengertian Hijrah sebagai perpindahan dari baik kepada yang lebih baik.

"Namun, kini saya memahami konteks Hijrah bukan hanya itu, malah ia membawa pengertian yang lebih luas setelah saya nekad berubah.

"Walaupun saya bermula dengan hijrah luaran, namun saya tetap berusaha untuk memperbaiki dalaman agar ianya seiring dengan apa yang saya lakukan," kata ibu kepada, Suci Hanania Malika, 2, ini.


Adakan majlis doa selamat

Walaupun sibuk menguruskan kerjaya seninya, Yatt mempunyai perancangan tersendiri untuk menyambut Tahun Baru Islam ini.

Malah, lebih menarik lagi apabila tanggal 1 Muharam merupakan tarikh lahir suaminya, Abdul Mutalib Abdul Shukor, yang ke 32.
"Tahun ini lebih bermakna apabila suami saya berkongsi tarikh itu untuk sama-sama meraikan hari lahirnya. Namun, saya tidak dapat membuat sebarang majlis lagi buat masa sekarang kerana terlalu sibuk dengan undangan.
"Insya-ALLAH, kami akan mengadakan majlis doa selamat untuk meraikan dua perkara itu secara serentak dalam satu majlis.

"Buat masa ini, memang tak sempat lagi kerana saya terpaksa memenuhi undangan beberapa stesen televisyen dan program lain sempena Maal Hijrah ini," katanya yang sering dijemput untuk berkongsi pengalaman dalam program dakwah di masjid, sekolah dan universiti
tempatan.

Mengakui sukar mendapatkan tawaran lakonan seperti dahulu sejak berhijrah, Yatt tidak berkecil hati mengenai perkara itu dan sentiasa mengamalkan sikap positif.

"Banyak watak tidak bersesuaian dengan imej dan pendirian saya. Jadi, ia secara tidak langsung mengekang diri saya untuk terus berlakon.

"Bukan tiada langsung, masih ada, tapi kurang. Tapi, saya tetap bersyukur kerana saya mampu mencari rezeki dengan cabang seni lain seperti menghadiri ceramah sebagai tetamu jemputan," katanya yang bakal menjalani penggambaran drama bersiri terbitan RTM.

Selain itu, pada 23 hingga 25 November ini, Yatt bersama rakan artis seperti Irma Hasmie, Heliza Helmi, Diana Amir dan Noryn Aziz bakal menjayakan Festival Hijab di Anggerik Mall, Shah Alam.


Digelar ustazah

Tidak dinafikan, cabaran dunia seni sememangnya kuat dan memerlukan ketahanan diri dari pelbagai sudut.

Jika sebelum ini, Yatt pernah dilabel sebagai selebriti yang terlebih alim, kini pendirian itu diduga lagi dengan sindiran daripada rakan artis yang cuba mengusiknya.
Gelaran 'ustazah' yang dilemparkan membuat hati wanita ini tergores walaupun hanya sekadar gurauan.
"Memang saya terasa hati dengan gurauan itu. Kenapa mereka perlu melabelkan saya sebegitu? Mungkin mereka masih tidak memahami pendirian dan perubahan ini. Ada juga sesetengah golongan bukan muhrim yang sengaja mahu menduga saya dengan menghulurkan
salam.

"Sebab itulah saya sentiasa memakai sarung tangan untuk mengelak daripada bersentuhan. Namun, apa yang pasti, saya masih Yatt yang dahulu, hanya pegangan sahaja yang berubah," katanya yang menganggap suami adalah insan yang banyak membantu dalam menghadapi semua cabaran mendatang.

Bersyukur dikurniakan suami yang sangat menyokong perubahan dirinya, Yatt memberitahu tidak semua wanita memiliki suami seperti itu.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dikurniakan sebuah keluarga sakinah. Begitu juga dengan suami, dia sangat sporting dan menjadi tulang belakang saya.

"Kehidupan saya semakin tenang di samping suami dan anak. Mereka adalah kekuatan saya untuk terus bernafas.

"Jika sebelum ini, fikiran saya sentiasa terganggu kerana tuntutan kerja dan lakonan, namun kini saya mampu tidur dengan lena," katanya mengakhiri perbualan.