Emma Maembong, Fazreen Rafi
Apatah lagi, menerusi drama terbaru, Cinta Itu Milikku, Emma dan Fazreen perlu menjayakan watak sebagai pasangan suami isteri.
Mengakui agak gugup pada mulanya untuk berdampingan dengan lelaki yang berstatus suami orang, Emma mengakui bersyukur kerana Fazreen banyak membantunya sepanjang berada di lokasi Cinta Itu Milikku.
"Walaupun kami jarang berbual, tetapi pengalamannya dalam bidang lakonan banyak membantu orang baru seperti saya. Malah, apabila ada babak melibatkan kami, Fazreen akan ajak saya berbincang mengenai apa yang perlu dilakukan. Dia juga banyak memberi bantuan kepada saya.
"Saya akui pada mulanya ada rasa gugup dan gusar, tapi semua itu dapat di atasi sebaik mungkin, termasuk dengan bantuan pengarah, Emi Suffian Sabhe," katanya kepada Zass.
Biarpun baru sahaja berkecimpung dalam bidang seni, Emma mengakui amat bersyukur kerana diberikan kepercayaan untuk menggalas watak utama.
"Saya tidaklah kata saya sudah bagus. Saya masih lagi belajar. Malah, ketika kali pertama berjumpa pengarah, saya beritahu dia, saya tidak pandai berlakon dan bolehkah dia mengajar saya?.
"Jadi saya harap, sambutan penonton terhadap drama ini, sebaik sambutan penonton terhadap drama lakonan saya sebelum ini," katanya merendah diri.
Bagi Fazreen pula, dia lebih gemar mengambil pendekatan untuk memerhatikan pasangan lakonannya sebelum bertegur sapa.
"Ketika kali pertama berjumpa, saya lebih banyak memerhati cara dia, orangnya bagaimana dan bila di ajak untuk berbincang mengenai lakonan kami, Emma tidak sombong.
"Malah, mungkin kerana dia masih muda, dia senang menerima apa yang dicadangkan dan berperangai gila-gila. Jadi tidak susah buat saya bekerjasama dengannya," ujar Fazreen.
Fazreen merajuk?
Berkongsi mengenai perkembangan seninya, Fazreen berkata, dia masih lagi terikat dengan jadual penggambaran drama ini dan turut terlibat dengan drama Cinta, Kau & Aku yang akan disiarkan di TV1.
Bagaimanapun, namanya yang semakin tenggelam dengan kehadiran pelakon-pelakon baru, membuatkan ramai berfikir, Fazreen yang dahulunya dikenali menerusi drama Spa Q sebagai Dafi, merajuk dengan senario industri kini.
"Merajuk? (ketawa). Tidaklah. Saya akui ramai yang tegur saya mengatakan sudah lama tidak nampak saya berlakon, walhal saya sebenarnya tidak putus-putus menerima tawaran lakonan walaupun sudah berkahwin sejak setahun lalu.
"Mungkin kerana saya jarang menghadiri majlis rasmi atau cuba menonjolkan diri di kalangan media menyebabkan nama saya seakan-akan tenggelam.
"Bagaimanapun apa yang penting buat saya, tawaran lakonan masih saya terima dan soal populariti, adalah soal kedua," katanya yang masih menantikan tawaran berlakon filem.
Namun begitu, Fazreen berkata, dia berharap namanya akan diingati semula selepas drama Cinta Itu Milikku ditayangkan dan menjadi penanda dia belum menghilang dari industri seni lagi.
Impi cahaya mata
Hampir dua tahun mendirikan rumah tangga, jejaka berusia 27 tahun ini berkata, rezeki untuk menimang cahaya mata belum menyebelahi dirinya dan isteri, Sharifah Marlina Ashikin Syed Hasan.
"Saya akui setelah hampir dua tahun berkahwin, cahaya mata adalah hadiah yang paling kami nantikan.
"Namun belum ada rezeki kerana isteri saya sudah dua kali mengalami keguguran. Kali pertama selepas dua bulan berkahwin dan kali kedua, tiga bulan selepas keguguran pertama.
"Buat masa ini kami hanya mengikut nasihat doktor dan isteri saya masih mengambil ubat untuk menguatkan rahim. Jika doktor sudah sahkan rahim isteri saya sudah kuat, barulah kami akan berusaha untuk mendapatkan cahaya mata," katanya.
Ratu kontroversi?
Mendekati gadis berusia 20 tahun ini pula, dalam giat mencipta nama, Emma nampaknya tidak boleh lari daripada terpalit dengan beberapa siri kontroversi yang secara tidak langsung memburukkan namanya.
Mengakui terkejut dan sedikit tertekan dengan situasi berkenaan, Emma berkata, dia cuba menerima dengan hati terbuka dan menganggap segala yang berlaku sebagai satu sesi pembelajarannya dalam industri seni.
"Berada dalam lapangan ini juga sudah buat saya terkejut dan rasa seperti tidak percaya kerana pada mulanya saya menganggap penglibatan saya dalam bidang ini hanya sebagai satu percubaan.
"Bila mahu membiasakan diri dan belajar untuk 'setia' dalam bidang lakonan, nama saya terkait dengan kontroversi. Tentulah saya lebih terperanjat. Apatah lagi, niat saya mahu dikenali dengan karier dan bukannya kisah peribadi," katanya.
Ditegur bapa
Emma berkata, kisah kontroversinya bukan sekadar menjadi bualan masyarakat dan peminat, malah juga turut menjadi perhatian bapanya, Ismail Maembong yang juga pelukis terkenal negara.
"Ketika isu melibatkan saya hangat diperkatakan, saya akui ayah saya agak marah pada mulanya kerana ini melibatkan nama dia dan keluarga juga.
"Tapi dia lebih tahu anaknya ini bagaimana dan menasihati serta memberi dorongan kepada saya. Malah, dia juga berpesan, jika saya benar-benar mahu menjadi pelakon, saya perlu lakukan yang terbaik supaya orang akan lupa pada kisah negatif membabitkan saya sebelum ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: