Friday, November 16, 2012

Fon kepala untuk orang muda


DUA orang model Monster menggayakan fon kepala baharu di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Golongan muda kini boleh melakukan aktiviti lasak kegemaran mereka sambil mendengar muzik dengan sistem audio yang lebih berkualiti tinggi dengan menggunakan fon kepala edisi terbaharu keluaran Monster.
Pengarah Urusan Monster, Robert Fong berkata, penghasilan fon kepala berteknologi terkini itu turut dijayakan bersama dengan penggiat industri muzik, NCredible Entertainment bagi membolehkan kumpulan sasaran khususnya golongan muda berpuas hati dengan kualiti audio serta dapat memenuhi gaya hidup kumpulan berkenaan.
"Kami menyedari bahawa muzik merupakan elemen terpenting dalam kehidupan golongan muda untuk mereka menzahirkan ekspresi diri.
"Produk ini direka khas bagi memberikan revolusi serta pengalaman mendengar muzik terbaik kepada mereka untuk terus kekal aktif," katanya selepas majlis pelancaran produk terbaharu itu di sini baru-baru ini.
Fong menjelaskan, terdapat dua rekaan terbaharu fon berkenaan iaitu Nergy In-Ear Headphones dan NTune On-Ear Headphones.
Ujarnya, kedua-dua produk tersebut turut dilengkapi dengan beberapa ciri-ciri rekaan moden dan produk itu bersesuaian untuk pelbagai aktiviti luar.
"Nergy In-Ear Headphones sebagai contohnya dilengkapi dengan magnet yang boleh dicantumkan di belakang leher pemakai jika tidak digunakan dan ia sangat sesuai untuk aktiviti berlari," katanya.
Tambah Fong, produk itu juga dilengkapi dengan sistem kawalan suara untuk kegunaan telefon pintar sebagai alat bebas tangan.
Harga yang ditawarkan untuk Nergy In-Ear Headphones ialah RM320, manakala NTune On-Ear Headphones ialah RM710.
Bagi yang berminat boleh mendapatkan segera kedua-dua gajet terbaharu itu di premis menjual alat multimedia dan audio terpilih seperti Harvey Norman, Low Yat, Mac City, iStudy danTechnocrat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: