Friday, November 16, 2012

Waterworld@i-City mula dibuka


ORANG ramai berkunjung ke WaterWorld@i-City untuk berehat dan beriadah bersama keluarga sempena cuti sekolah di i-City, Seksyen 7, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Taman Tema pertama di Asia Tenggara bernilai RM25 juta, WaterWorld@i-City yang menampilkan permainan tunggangan Tornado Ride yang setinggi tujuh tingkat telah dibuka semalam dengan sasaran pulangan semula modal dalam tempoh dua tahun.
Pengarah I-Berhad, Monica Ong berkata, syarikat berkeyakinan untuk mencapai sasaran tersebut kerana pada masa ini i-City telah berjaya menarik 90,000 pengunjung setiap minggu.
"Kami beroperasi dengan kapasiti penuh yang menyaksikan sejumlah 5,000 pengunjung berkunjung ke sini hari ini.
"Jadi, kami menjangkakan taman tema ini yang memiliki komponen riadah keempat di i-City bakal menjana peningkatan luar biasa 30 peratus daripada 90,000 pengunjung setiap minggu," katanya.
Beliau berkata demikian semasa previu media untuk melihat tarikan yang disediakan di taman tema itu di sini semalam.
Mengulas mengenai permainan Tornado Ride itu, Ong menerangkan, ia telah terkenal di Kanada sejak sembilan tahun lalu kerana pengalaman tunggangannya yang begitu menyeronokkan.
"Dalam masa selama 28 saat, mereka yang menaiki permainan ini akan merasakan debaran dan keseronokan yang tidak dapat digambarkan.
"Membina Tornado Ride yang pertama di rantau ASEAN merupakan usaha syarikat seiring dengan matlamat i-City untuk menjadi hab berasaskan teknologi yang memiliki konsep komersial dan riadah," katanya.
Ong menerangkan, Waterworld@i-City beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 7 malam setiap hari dan dari 9 pagi hingga 7 malam pada hujung minggu dan cuti umum atau sekolah.
Beliau berkata acara atau majlis persendirian juga boleh diadakan di taman tema ini mulai pukul 7.30 malam hingga 12 tengah malam.
"Tiket-tiket biasa berharga RM50 untuk dewasa dan RM30 untuk kanak-kanak.
Sekarang ini kami ada promosi cuti sekolah dengan tiket berharga RM50 setiap seorang termasuk ke Snowalk," she said.
Tarikan lain ialah jakuzi gergasi, pelbagai jenis gelongsor untuk kanak-kanak dan dewasa serta kolam mandi untuk kanak-kanak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: