|
SUKAR dikikis label artis tidak berdisiplin daripada imej si cantik manis Nur Fathia Latiff yang kini mencecah usia 25 tahun. Malah, isu tidak menepati masa antaranya lewat datang sesi fotografi ibarat pelekat yang serasi dengan anak kelahiran Ayer Hitam, Pulau Pinang itu.
Cantik, bijak dan berbakat sahaja tidak cukup untuk menjadi seorang figura yang mahu dicontohi ramai. Sudah tentu rupa paras dan kualiti lakonan hadir bersama pakej disiplin yang mantap.
Menjawab tuduhan yang dilemparkan terhadapnya setelah beberapa kali lewat hadir ke sesi fotografi majalah dan akhbar, kata Fathia, semuanya bersebab.
“Adalah lebih elok untuk bertanya kepada pihak yang biasa rapat dengan saya contohnya kru produksi tentang tabiat dan cara kerja saya sebenarnya daripada terus menuduh begitu sahaja.
“Biasanya, kalau saya lambat datang ke set penggambaran atau sesi fotografi saya akan memaklumkan terlebih dahulu situasi yang berlaku.
“Mungkin kerana trafik sesak atau acara yang sebelumnya habis lambat. Untuk apa saya sengaja datang lambat?
“Saya minta maaf sekiranya tindakan saya yang terlewat hadir ke beberapa sesi fotografi atau set penggambaran menyebabkan banyak pihak terluka. Selepas ini saya berjanji untuk memperbaiki kelemahan saya,” katanya yang ditemui pada sesi fotografi di PNB Darby Park, Kuala Lumpur, tengah hari kelmarin.
Fathia lantas menegaskan dia enggan dilabelkan sebagai seorang artis yang bermasalah akibat beberapa kesilapan yang dilakukan sebelum ini.
Kesilapan yang pernah dilakukan Fathia itu bukan sekadar hanya merujuk kepada disiplin bahkan juga pemakaian busana ketika menghadiri sesebuah acara serta gambar-gambar lama yang dieksploitasi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab kesemuanya pernah menimbulkan kontroversi sebelum ini.
Seksi
|
|
Bakal muncul dalam sebuah filem arahan Arjinder Singh berjudul Darah Panas pada tahun depan, ujar penuntut jurusan Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu, dia terpaksa meletakkan garis panduan berpakaian atas faktor tidak ingin mengulangi kesilapan lampau.
Bukan kerana besar kepala atau cerewet tapi tegas Fathia, dia enggan tampil terlalu seksi dengan mendedahkan tubuhnya semata-mata kerana mahu melariskan sesuatu produk.
“Saya bukan simbol seks dan saya enggan memakai pakaian yang terlalu menjolok mata. Saya akui berlaku sedikit pertengkaran ketika sedang menjayakan sebuah babak sebagai pelacur dalam filem Darah Panas kerana saya dipaksa memakai pakaian ketat dan menjolok mata.
“Pada hari kejadian juga saya berkeras untuk menukar pakaian lain yang kurang seksi berbanding baju dan skirt paras paha yang diberi oleh produksi. Setakat itu had saya dalam berpakaian!” tegasnya.
Fathia menegaskan lagi, pada masa-masa akan datang dia akan lebih berhati-hati dalam memilih pakaian dan jika dikehendaki tampil seksi dia harus memastikan untuk tidak keterlaluan.
Menerusi Darah Panas, dia melakonkan watak seorang gadis naif yang terpengaruh dengan pujukan seorang lelaki untuk menjadi model di Kuala Lumpur. Namun, setelah diperdaya dan dijadikan pelacur hidupnya berubah secara total.
Filem yang turut dibintangi Sharnaaz Ahmad, Sofi Jikan dan Corrie Lee itu baru selesai penggambarannya pada minggu lepas.
Tolak tawaran
Tidak lekang dengan isu masalah disiplin dan cerewet, kisah panas Fathia turut dilingkari dengan tindakannya menolak beberapa tawaran berlakon beberapa bulan lalu. Ia sekali gus dia didakwa berlagak dan ‘pilih bulu’ untuk berlakon dengan pengarah tertentu saja.
Menurut bintang filem Hijab itu, tindakannya menolak tawaran lakonan itu sebenarnya disalah anggap oleh sesetengah pihak.
Hakikatnya, dia terpaksa menolak tawaran berlakon berikutan sibuk mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan.
“Bidang lakonan pada mulanya untuk mengisi masa terluang dan menambah sedikit pendapatan sebagai seorang mahasiswa. Apabila timbul isu tolak tawaran dan pilih bulu, saya sebenarnya kecewa.
|
|
“Selain berlakon tugas saya juga adalah belajar. Apabila tawaran itu datang ketika saya sedang sibuk untuk peperiksaan saya terpaksa tolak dan sejujurnya saya akui menyesal setelah menolak beberapa tawaran yang menarik ketika itu.
“Sekarang sampai masa untuk saya ‘membuat kemunculan semula’,” katanya berseloroh.
Usai peperiksaan akhir semester dua bulan lalu, Fathia kembali ke set penggambaran beberapa produksi lakonannya dan jadualnya selaku penggiat seni hiburan tempatan kembali padat sehingga bulan Mac tahun depan.
Beberapa naskhah lakonannya yang bakal ditayangkan di kaca televisyen tidak lama lagi termasuklah telefilem berjudul, Rentas Samudera yang menyaksikan gandingannya bersama aktor Fahrin Ahmad.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: