
SEORANG model, Jocelyn Koh menunjukkan demonstrasi mengecas kereta elektrik Nissan LEAF pada pameran tersebut.
TEKNOLOGI kereta dan motosikal hibrid, produk pencahayaan jimat tenaga, serta pelbagai barangan ‘hijau’ mewarnai Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2012 yang berlangsung baru-baru ini.
Diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pameran selama empat hari bermula dari 10 hingga 13 Oktober itu, berjaya menarik kehadiran lebih 61,000 pengunjung.
Penganjuran IGEM buat kali ketiga sejak dua tahun lalu menyaksikan 600 ruang pameran disediakan dengan penyertaan 330 pempamer dari dalam dan luar negara. Antaranya ialah Australia, Perancis, Jepun, United Kingdom, Norway, Poland, Jerman, Korea dan China. .Jika sebelum ini, IGEM hanya dibuka kepada orang awam sehari, tetapi kali ini pihak penganjur memanjangkan tempoh tersebut selama dua hari.
IGEM 2012 dianjurkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dengan kerjasama Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia, Expomal International Sdn. Bhd., International Green Purchasing Network dan Green Purchasing Network Malaysia.
Menteri KeTTHA, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, IGEM 2012 bersedia untuk menjadi acara yang lebih besar dan lebih baik untuk penumpuan antara Timur dan Barat pada masa akan datang.
Jana jualan
“Di sini, semua pemain industri daripada lapan sektor utama hijau yang terdiri daripada bangunan, tenaga, pengangkutan, produk eko dan perkhidmatan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pengurusan air dan sisa, pembuatan dan kewangan hijau berkongsi sumber dan wawasan kolektif mereka dengan mempamerkan apa yang boleh dilakukan demi masa depan yang lebih baik,” kata beliau.
Sementara itu, melalui pertemuan yang diatur terlebih dahulu oleh Matrade sempena pameran tersebut telah menjana jualan keseluruhan sebanyak RM221 juta yang melibatkan 20 pembeli asing dengan 28 wakil mengambil bahagian.
Antara produk yang dicari oleh syarikat asing itu ialah biofuel, kulit isirung sawit, serat sawit, lantai komposit plastik kayu dan pelet tandan buah segar. Pembungkusan rosot bio, panel polisterin kembang jimat tenaga, panel dinding bersalut, panel aluminium menjimatkan tenaga dan dinding pembinaan juga tidak terkecuali.
Dalam pada itu, Panasonic Malaysia Sdn. Bhd. turut mengambil bahagian dalam pameran antarabangsa tersebut dengan menawarkan penyelesaian teknologi hijau secara menyeluruh melalui Pameran Panasonic Econation.
Pameran itu memaparkan sembilan bahagian utama iaitu penyelesaian bagi rumah, pejabat, kedai serbaneka, bangunan, kilang, bandar baharu, kenderaan elektrik dan penyelesaian tenaga menyeluruh.
Bagi Pengurus Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan, Isle of Veg Sdn. Bhd., Ichiro Shiohara, pihaknya mengambil inisiatif mempamerkan produk Mama Veg Box yang berjaya menarik perhatian ramai pengunjung.
“Produk ini merupakan rak pertanian sayur-sayuran unik yang mampu melancarkan tugas para ibu jika mahu berkebun di dalam rumah.
“Ia diperbuat daripada besi aluminium tahan karat dan mudah digunakan terutama bagi rumah yang mempunyai ruang terhad,” ujar Shiohara yang agak kurang fasih berbahasa Inggeris.
Tingkat kesedaran
Seorang lagi wakil pempamer yang mengambil bahagian mengakui, penganjuran IGEM secara tidak langsung dapat meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap aspek teknologi hijau.
“Sejak mula diadakan, syarikat kami tidak pernah ketinggalan untuk menyertai IGEM. Ia satu platform terbaik untuk mempamerkan produk masing-masing di samping memberi maklumat berguna kepada masyarakat tentang kepentingan penggunaan teknologi hijau,” kata Wan Nur Sazwana Wan Ahmad, Eksekutif Penyelidikan dan Pembangunan SP Multitech Renewable Energy Sdn. Bhd.

SALAH satu produk diod pemancar cahaya (LED) menggunakan teknologi hijau oleh syarikat SNFOR Sdn. Bhd. turut dipamerkan.
Syarikat tersebut menawarkan penyelesaian terhadap sisa buangan yang boleh dijana semula untuk menjadi tenaga. Antara projek yang telah dilaksanakan ialah Loji Biogas Ladang Ayam yang pertama kali dibuat di Malaysia. Ia terletak di Nilai, Negeri Sembilan.
Sempena IGEM 2012 juga, satu majlis anugerah GreenTech Malaysia 2012 turut diadakan pada 12 Oktober. Akhbar Utusan Malaysia berjaya mengungguli dua anugerah bagi kategori Anugerah Perak Teknologi Hijau Kewartawanan (akhbar Bahasa Melayu) yang dimenangi wartawan Khairunnisa Sulaiman manakala Utusan Malaysia pula menerima anugerah Khas Media Cetak.
Penerima yang lain ialah Sekolah Menengah St. Michael, Penampang, Sabah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah, Jasin, Melaka bagi Anugerah Platinum Teknologi Hijau Sekolah.
Institut Penyelidikan Tenaga Solar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula merangkul Anugerah Emas Universiti.
Bagi Anugerah Khas Sektor Perbankan, ia diberi kepada Bank Pembangunan (M) Bhd., Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana (M) Bhd. serta AmBank.
Anugerah Khas Media Televisyen diterima Astro Awani Network Sdn. Bhd. dan kategori Anugerah Platinum Teknologi Hijau Kewartawanan Televisyen dimenangi oleh RTM.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: