Thursday, October 25, 2012

Ramalan trend ultrabook 2013


SIFAT boleh ubah ultrabook menjadi tablet dijangka memberi persaingan pada gajet tablet tidak lama lagi.


ULTRABOOK bukanlah berada dalam kategori yang sama dengan netbook atau komputer riba. Bagaimanapun, ia mampu bertindak sebagai peranti pereka kandungan sekali gus boleh berfungsi seperti telefon pintar atau tablet.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2011, terdapat beberapa kriteria yang dikeluarkan oleh syarikat semikonduktor Intel untuk menepati ciri-ciri sebuah ultrabook.
Antara kriterianya ketebalan sesebuah ultrabook tidak boleh melebihi 2.5 sentimeter, jangka hayat bateri yang panjang, kecekapan komputer berfungsi dengan pantas dan boleh bertindak serta-merta.
Biarpun tidak sampai setahun ia berada di pasaran, sudah terdapat tiga generasi cip pemprosesan iaitu iCore 3, iCore 5 dan iCore 7 yang mempunyai perbezaan dari segi kecekapan perkomputeran.
Asas sebuah komputer adalah terletak pada cip pemprosesan yang mengandungi beribu-ribu transistor dalam sebuah peranti elektronik yang kecil yang mampu mencecah ukuran 32 nano meter.
Semakin kecil sesuatu cip itu dengan kapasiti transistor yang semakin bertambah boleh merealisasikan sesebuah komputer kecil, tetapi mempunyai kecekapan yang tinggi.
Perbezaan generasi ultrabook bukan sahaja merujuk kepada peningkatan teknologi dan keupayaannya, tetapi turut dapat memenuhi keperluan pengguna yang berbeza-beza.
Pengurus Jualan Negara Intel, Norhizam Abdul Kadir berkata, terdapat beberapa penambah baik pada rekaan fizikal dan cip itu sendiri pada tahun hadapan.
“Trend pada tahun 2013 memperlihatkan kepelbagaian yang boleh dibuat pada ultrabook selain memperkenalkan generasi cip pemprosesan berikutnya, generasi keempat,” katanya ketika ditemui di Bangsar, Kuala Lumpur.
Terangnya lagi, ultrabook pada tahun hadapan akan memperlihatkan paparan skrinnya yang boleh berfungsi sebagai skrin sesentuh sama seperti tablet mahupun telefon pintar.
Ultrabook juga nanti bersifat boleh ubah menjadi gajet tablet. Kaedah yang digunakan ialah skrin yang boleh dicabut dan dipasang menjadi gajet yang berlainan sama seperti tablet.
Kehendak pasaran
Bagaimanapun, Norhizam menolak untuk menerangkan lebih lanjut pengeluar komputer yang bakal memperkenalkan ultrabook sebegitu.
Dalam masa yang sama, Norhizam turut bercerita mengenai perubahan trend pasaran teknologi terhadap peningkatan teknologi zaman sekarang.
Jika dahulu, para pengguna terpaksa membeli dan menyesuaikan diri dengan mengikuti perkembangan syarikat pengeluar, kini pihak pengeluar termasuk pengeluar semikonduktor seperti Intel harus mengkaji dan menilai kehendak pasaran pula.
Mudah alih, ringan dan mampu bertindak serta-merta merupakan antara permintaan dalam pasaran perkomputeran.
Hampir 60 peratus pengguna komputer peribadi adalah terdiri daripada ahli perniagaan yang menjalankan syarikat kecil dan medium serta pengguna peribadi.
Seiring dengan perkenalan kategori ultrabook, Intel telah melaburkan sebanyak AS$300 juta (RM922 juta) bagi mempromosi dan mendidik masyarakat seluruh dunia mengenai peranti tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: