Pemiliknya, Salmidah Palmaany, 40, turut menafikan dia membayar gaji kurang daripada jumlah sepatutnya dan mengarahkan kesemua pekerja warga negara India dan Pakistan berusia 25 hingga 35 tahun itu berhenti kerja dalam tempoh 24 jam.
Menurutnya, kejadian bermula selepas suaminya, Yusof Kasim, 41, menegur lima pekerja yang minum minuman keras di asrama disediakan di Taman Kerjasama, di sini berhampiran, sehingga tidak datang bekerja pada 19 September lalu.
“Pada 19 haribulan, suami minta pekerja menunjukkan sijil sakit selepas mereka tidak datang bekerja dengan alasan tidak sihat, mereka yang kemudian datang ke restoran bertindak lari selepas ditegur suami kerana minum arak menyebabkan mereka tidak boleh bekerja pada hari tersebut.
“Dua hari selepas itu, empat orang lagi pekerja kami pula tidak datang bekerja dipercayai dihasut oleh lima pekerja yang terdahulu,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini semalam.
Salmidah berkata, dia dan suami terkejut apabila dihubungi rakan-rakan dan memberitahu mengenai kenyataan dalam laporan akhbar (bukan Sinar Harian) dibuat pekerja terbabit pada 28 September lalu.
“Menurut laporan akhbar itu, kami sebagai majikan telah memukul, tidak membayar gaji dengan jumlah sebenar terhadap sembilan pekerja termasuk lima pekerja yang kini telah mula bekerja sebelum laporan itu dikeluarkan.
“Kami terkejut mengenai laporan itu yang menuduh kami berbuat sedemikian sedangkan ia tidak benar sama sekali,” katanya yang mempunyai 21 pekerja setakat ini.
Menurutnya, berikutan hal itu, dia dan suami membuat laporan terhadap fitnah pekerjanya di Balai Polis Melaka Tengah pada hari sama, selain membuat keputusan membatalkan permit empat pekerja sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.
“Kami kesal dengan apa yang berlaku, sedangkan kami menyediakan kemudahan kepada pekerja termasuk rumah penginapan yang dipenuhi kelengkapan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: