Salah seorang remaja yang gagal melarikan diri dari sekatan jalan raya itu disoal penguat kuasa JPJ.
Salah seorang remaja yang gagal melarikan diri dari sekatan jalan raya itu disoal penguat kuasa JPJ.
KUANTAN - Seorang remaja nekad lari dari sekatan jalan raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Polis Diraja Malaysia di Jalan Teluk Sisek, malam semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, remaja itu nekad meninggalkan motosikal jenis RXZ yang ditungganginya di tengah pembahagi jalan sebelum melarikan diri.

Namun, rakannya yang berumur 16 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha EX5 gagal berbuat demikian sebelum berjaya ditahan anggota bertugas.

Selepas pemeriksaan dilakukan, kedua-dua motosikal terbabit dikenal pasti tidak mempunyai cukai jalan yang sah selain kedua-dua penunggang tidak mempunyai lesen.

Bagaimana pun, remaja berusia 16 tahun itu yang turut menjalani ujian air kencing namun didapati negatif.
Remaja tersebut ketika ditemui berkata, dia bersama rakan menaiki dua motosikal berasingan dari Gambang untuk bertemu rakan di Tanjung Api.

“Saya terkejut dan takut  melihat ada sekatan jalan raya oleh polis  dan JPJ, tapi saya tidak sempat melarikan diri seperti rakan saya.
“Saya takut sebab tidak ada lesen dan cukai jalan, tolong jangan beritahu ayah saya,” demikian pengakuan remaja terbabit selepas ditahan pihak berkuasa dalam operasi itu.
Dalam operasi itu, 115 saman dikeluarkan dalam Ops Bersepadu Khas JPJ antara polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela).
Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPJ, Mohd Johari Mat Nor berkata, pelbagai kesalahan dikesan dan saman dikeluarkan dalam operasi membabitkan 50 anggota lima agensi.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan kes, sebanyak 26 motosikal disita atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh manakala sebanyak 10 notis amaran cermin gelap turut dikeluarkan.
“Selain itu, melalui saringan ujian air kencing yang dilakukan AADK, sebanyak lima sampel didapati positif daripada 71 sampel yang diperiksa.
“Operasi sebegini akan diadakan secara berterusan iaitu sebanyak dua kali sebulan dengan memberi tumpuan di laluan utama,” katanya.