Wednesday, October 3, 2012

Tarik perhatian antarabangsa

Ikan-ikan yang diperap dan diawet garam dan herba saffron ini dikatakan diseludup masuk dari mesir bagi memenuhi keperluan sumber makanan berasaskan ikan di semenanjung gaza.
REJIM Zionis Israel tidak pernah senang dengan apa juga usaha-usaha yang dilakukan oleh penduduk Gaza dan mereka mengesyaki sesuatu di sebalik rumah lindungan besar bagi menempatkan lapan buah kolam ikan yang dibina bersebelahan Pusat Rekreasi Pantai Bostan itu.
Pada akhir tahun 2010, rejim Zionis itu telah melakukan satu serangan mengejut yang agak agresif dengan melancarkan serangan roket dengan menjadikan kolam-kolam ikan itu sebagai sasaran.
Mujur serangan bertalu-talu yang dilakukan pada waktu malam itu tidak menyebabkan kecederaan kepada manusia tetapi kolam ternakan itu rosak teruk.
Beberapa kesan kerosakan dari serangan itu masih boleh dilihat sehingga hari ini dan ia sengaja tidak diperbaiki bagi menunjukkan kepada masyarakat dunia akan kekejaman Israel yang langsung tidak mengenal erti kemanusiaan.
Pengerusi Kesatuan Islam Jabalia, Semenanjung Gaza, Abdal Rahim M. Shihab tidak menafikan bahawa bekalan ikan dari kolam itu masih tidak mencukupi bagi menjadi satu sumber makanan secara harian untuk penduduk Gaza.
"Walaupun telah mengutip hasil tiga tan ikan sejak 2010 sehingga sekarang, namun ia dituai secara bulanan melalui kitaran dari lapan kolam. Ini menyebabkan bekalan ikan dan lain-lain tangkapan laut masih perlu diseludup masuk dari Mesir malah wilayah Palestin lain yang dijajah Israel, terutama Tebing Barat selain hasil tangkapan nelayan di laut," katanya.
Namun segala usaha bagi menjayakan projek itu tidak akan mungkin menjadi satu kenyataan jika tidak ada pihak yang membiayainya. Ini kerana kosnya bukan murah yang tidak mampu ditanggung oleh penduduk Gaza.
Lalu siapakah yang begitu bermurah hati membiayai projek yang sehingga kini menjadi nadi utama dan nyawa kepada penduduk Gaza?
Jawapannya, rakyat Malaysia!
Pertubuhan Aqsa Syarif yang bergerak aktif sejak 2010 berjaya menarik perhatian pelbagai pihak di Malaysia bagi membantu menjayakan pelbagai projek kemanusiaan dan kebajikan untuk rakyat Palestin khususnya di Gaza yang terkepung dari dunia luar.
Pada peringkat awal, rakyat Malaysia telah menghulurkan bantuan sebanyak RM20,000 untuk kos permulaan membina dan pelbagai kelengkapan dan peralatan ternakan untuk kolam tersebut.
Ini termasuk sumbangan terbesar sebanyak RM12,000 dihulurkan oleh Koperasi Muslimin Malaysia Berhad.
Menurut Dr. Mohd. Zin Kandar yang juga merupakan Penyelaras Projek-projek Aqsa Syarif di Gaza, sehingga kini rakyat Malaysia telah menyumbangkan sebanyak RM50,000 bagi menjayakan projek kolam ikan ini.
"Sumbangan yang sangat bermakna kerana tanpa sumbangan besar ini tidak mungkin projek ini menjadi satu realiti dan mencipta kejayaan sehingga hari ini," katanya.
Menurut beliau, sumbangan rakyat Malaysia yang digabung dengan teknik yang diperkenalkan sendiri oleh penduduk Gaza dalam kejayaan projek ini disifatkan sebagai satu keberkatan daripada Allah SWT apabila kita berpegang bahawa seluruh umat Islam itu bersaudara.
"Perlu saling membantu satu sama lain dan Allah akan memberikan pelbagai lagi kelebihan," katanya.
Ini kerana baru-baru ini, teknik ternakan ikan air masin ini mula mendapat perhatian dan minat antarabangsa apabila ada pihak yang ingin membeli teknik untuk diaplikasikan di tempat mereka.
"Baru-baru ini negara Oman berminat untuk belajar dan membeli teknik ini, yang menunjukkan Gaza ada sumbangannya kini kepada masyarakat antarabangsa," kata Dr. Mohd. Zin.
Dan tahukah anda, keberkatan di bumi Gaza tidak sahaja pada kelebihan sumber-sumber alam tetapi seperkara yang lebih menghairankan mengenai penduduk Gaza itu sendiri.
Dikatakan Gaza merupakan 'negara' yang mempunyai kadar literasi atau celik huruf yang paling rendah berbanding di kalangan negara-negara Timur Tengah atau Asia Barat yang lain.
Fakta menakjubkan ini menunjukkan hanya 0.03 peratus daripada setiap 40,000 penduduknya mengalami masalah literasi.
"Namun yang pasti, sepanjang pengalaman saya bersama mereka, walaupun telah beberapa kali diserang Israel dan menyebabkan kemusnahan yang besar, penduduk Gaza adalah kategori; cepat sedar dan bingkas bangun!
"Allah kurniakan mereka dengan ketabahan dan kekuatan dalaman yang luar biasa terutama di kalangan golongan muda mereka dan ini menjadikan mereka begitu inisiatif dan inovatif bagi kelangsungan hidup," kata Dr Mohd. Zin.
Justeru rakyat Malaysia wajar bersama mereka bagi membangun dan memajukan sebuah masyarakat yang diberikan pelbagai kelebihan dari Allah ini.
Dengan akidah dan pegangan agama yang sama, maka wajar sekali segala keberkatan dari Allah itu turut boleh dikongsi bersama!
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sumbangan untuk membantu penduduk Gaza, boleh layari laman web Aqsa Syarif; www.aqsasyarif.org.my atau hubungi talian 03-87334636.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: