Saturday, October 27, 2012
Sejarah panjang Big Ben
TERLETAK di tebing Sungai Thames, menara jam yang dikenali sebagai Big Ben menjadi mercu tanda tarikan pengunjung di kota London, England.
Menara setinggi 96 meter yang dibina antara tahun 1843 dan 1858 itu merupakan sebahagian daripada struktur fizikal Istana Westminster. Ia turut menempatkan dewan parlimen dan kebanyakan pejabat kerajaan.
Di kawasan tersebut juga terletak Istana Buckingham yang menjadi kediaman rasmi Ratu Elizabeth dan kerabat diraja England.
Big Ben sebenarnya merujuk kepada loceng yang besar yang terdapat di dalam menara jam itu. Menara jam yang diberi nama Menara St. Stephen itu terletak di bahagian timur laut bangunan tersebut.
Uniknya, pengunjung boleh mendengar irama Big Ben atau nama rasminya The Great Bell yang terhasil setiap setengah jam sekali.
Ketepatan masa
Jam itu dipasang pada pertengahan abad ke-19 dan merupakan yang terbesar di dunia ketika itu. Sebelum itu, menara berkenaan dibina sebagai sebahagian daripada rekaan arkitek Charles Barry. Barry mereka bentuk struktur baharu istana itu selepas ia musnah dalam sebuah kebakaran pada 16 Oktober 1834.
Seni bina menara itu banyak dipengaruhi oleh unsur gothik Victoria. Menara jam itu tersergam kukuh menggunakan susunan bata, manakala rangka puncaknya diperbuat daripada keluli tempa.
Tapak menara berkenaan adalah seluas 225 meter persegi. Ia menggunakan konkrit setebal tiga meter di atas permukaan tanah, sementara tujuh meter lagi di dalam tanah. Keseluruhan menara itu dianggarkan seberat 8,667 tan.
Kaca warna
Keempat-empat permukaan jamnya yang berada pada ketinggian 55 meter direka oleh Augustus Pugin. Permukaannya diserikan dengan 312 keping kaca warna opal yang disemat kukuh oleh rangkaian bingkai keluli berdiameter tujuh meter.
Permukaan jam itu berdiameter 7.5 meter dengan jarum jam sepanjang 2.7 meter, manakala jarum minit pula sepanjang 4.25 meter. Mekanikal jam tersebut direka oleh Edmund Beckett Denison yang terkenal dengan ketepatan masanya.
Dalam pada itu, loceng-loceng jam tersebut pernah beberapa kali retak. Pada Julai 1859, loceng yang retak itu telah digantikan dengan tukul yang lebih ringan.
Menara jam tidak dibuka kepada orang ramai, namun pengunjung yang ingin melihat pemandangan Kota London dari paras yang tinggi boleh menaiki London Eye.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: