Saturday, October 27, 2012

Identiti keagamaaan Dharamshala kian pupus


IMEJ sami Buddha yang sinonim dengan Dharamshala kini perlahan-lahan semakin terhakis.


DHARAMSHALA merupakan sebuah bandar di utara India yang menjadi tarikan utama pelancong bukan sahaja kerana keindahan alam semula jadi yang dimilikinya, malah disebabkan tempat-tempat bersejarah selain kerana faktor keagamaan.
Tarikan tersebut kebanyakannya terdapat di Kangra, sebuah daerah di Dharamshala yang terkenal dengan peninggalan budaya dan sejarah lama India. Peninggalan itu juga banyak dipamerkan di muzium seperti Muzium Seni, Haripur-Guler dan Kangra Fort.
Selain itu, tempat tersebut juga popular disebabkan tarikan bangunan keagamaan yang dimilikinya seperti kuil Baglamukhi, Bajreshwari dan Kaleshwar Mahadev.
Suasana damai dan nyaman Kangra turut diserlahkan lagi dengan keindahan bukit-bukau yang menghijau.
Namun hari ini, kemajuan dan perkembangan industri pelancongan yang meletus tanpa seiring dengan kemajuan infrastruktur mula menggugat Dharamshala yang terletak di kaki gunung Himalaya.
Ia kini dikategorikan sebagai sebuah bandar yang sesak dan huru-hara, malah penduduk yang telah lama mendiami kawasan tersebut kini bimbang ia bakal menghilangkan identiti Dharamshala.
Bandar yang juga dikenali dengan nama McLeod Ganj itu kini berdepan dengan masalah kesesakan lalu-lintas teruk. Deretan kereta di sepanjang jalan dan hiruk-pikuk bunyi hon kenderaan cukup merimaskan penduduk setempat.
Menurut seorang pembuat filem yang telah mendiami kawasan tersebut sejak 35 tahun lalu, Tenzing Sonam, ketika mereka tidak mempunyai pengangkutan persendirian, penduduk hanya bergantung kepada laluan di sekitar gunung.
Khabarnya, pembangunan pesat seperti pembinaan hotel, restoran dan parkir bertingkat yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan kini telah menjejaskan imej bandar Dharamshala. Dahulu, ia cukup popular sebagai tempat untuk mencari ketenangan serta perlindungan bagi golongan keagamaan.
Menurut penduduk sekitar yang hanya mahu dikenali sebagai Sonam, 53, tidak dinafikan penduduk mendapat manfaat daripada ekonomi yang dijalankan, tetapi amat mustahil untuk mereka hanya bergantung kepada sumber tersebut untuk jangka masa panjang.

LALUAN pejalan kaki yang sempit dan kesesakan lalu lintas menyukarkan kehidupan harian penduduk setempat.


"Sedih apabila melihat pembangunan haram dan tidak dirancang giat dijalankan. Ini mungkin kerana undang-undang yang dilaksanakan tidak ketat.
"Kalau ia tidak dikawal dari sekarang, tidak mustahil satu hari nanti tempat ini akan musnah," ujarnya.
Dahulu, imej sami berjubah kuning dengan sandal dan wanita Tibet mengenakan pakaian panjang cukup sinonim dengan bandar itu terutamanya di Kangra.
Namun, secara perlahan-lahan ia musnah selepas ditenggelami dengan kenderaan pacuan empat roda yang semakin banyak.
Kenderaan tersebut yang membawa pelancong akan singgah di kedai arak dan piza yang kini mula memonopoli Dharamshala.
Selain itu, beberapa signatur dan amalan yang menjadi simbolik Dharamshala juga semakin hilang demi untuk memenuhi tuntutan pelancongan.
Masalah sumber air dan elektrik
Sebagai contoh sebuah hotel butik bernama Chonor House yang sering menjadi pilihan aktor terkenal, Richard Gere terpaksa mengorbankan tab mandi yang menjadi simbolik di Dharamshala dengan bilik mandi menggunakan air pancuran.
Ia dilakukan untuk menjimatkan air disebabkan Dharamshala kini sedang berdepan dengan masalah sumber air.
Menurut pengurus hotel yang hanya ingin dikenali dengan nama Karma, pembinaan hotel yang terlalu pesat menyebabkan air menjadi isu sangat serius di kawasan pergunungan tersebut.

PENDUDUK sekitar Dharamshala menjadikan perniagaan sebagai sumber ekonomi mereka.


Kata beliau, kebanyakan yang menginap di hotel itu merupakan pelancong dari Amerika Syarikat, Britain dan Jerman, manakala pelancong Jepun, Thailand dan Vietnam lebih gemar menginap di hotel-hotel besar berdekatan.
Malah tambahnya, jumlah hotel yang banyak juga menyebabkan, kebanyakan pengusaha hotel, bahkan penduduk tempatan memerlukan generator untuk memastikan hotel serta rumah masing-masing tidak bergelap pada waktu malam.
Jalan raya ke bandar itu yang sempit dan sesak turut menghilangkan ciri kedamaian yang patut ada pada sebuah daerah pelancongan dan serta keagamaan.
Tidak cukup dengan masalah sumber air dan bekalan kuasa, sampah juga merupakan antara konflik baharu bagi bandar itu.
Hal ini kerana penduduk setempat dikatakan sewenang-wenangnya membuang sampah di tepi jalan sehingga mengganggu pendaki yang berjalan menuju ke gunung tersebut.
Sementara itu, menurut Jabatan Pelancongan, seramai 1.8 juta pelancong domestik serta 99,000 pelancong asing telah melawat Dharamshala.
Ia merupakan satu peningkatan yang mendadak sejak sedekad lalu.
"Mungkin mereka tertarik dengan iklim sejuk di dataran kami atau aktiviti sukan lasak seperti mendaki gunung serta lambakan tempat-tempat agama," ujar Timbalan Pengarah Pelancongan Kangra, Ashwani Sood.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: