Saturday, October 13, 2012

Sains angkasa

Kegunaan satelit komunikasi yang dimanfaatkan oleh pengguna telefon bimbit.
SAINS angkasa mempunyai peranan penting dalam konteks pembangunan negara . Sains angkasa ialah satu kajian ke atas angkasa lepas dengan menggunakan sains sebagai mediumnya dan terbahagi kepada tiga bidang utama iaitu:
l Penyelidikan astronomi/astrofizik.
l Pembangunan teknologi angkasa.
l Aplikasi angkasa.
Astronomi pula merupakan satu bidang ilmu mengenai pengkajian objek angkasa dan alam semesta.
Penyelidikan astronomi
Penyelidikan berkaitan astronomi biasanya akan melibatkan:
l Objek angkasa adalah jauh dan malap.
l Maklumat yang diterima hanyalah melalui gelombangnya.
l Memerlukan instrumentasi yang berkuasa dan jitu.
Ahli astronomi menggabungkan pelbagai teknik cerapan di dalam pelbagai panjang gelombang.
Selain mempelajari tentang kepentingan sifat-sifat bumi sebagai contoh, kajian ke atas angkasa juga merangkumi kegunaannya kepada manusia.
Sebagai contoh , sains angkasa akan membantu manusia menjana ilmu pengetahuan untuk menghasilkan aplikasi seperti yang ditunjukkan oleh saintis Itali Galileo Galilei mengkaji bulan planet Musytari yang membantu kepada pemahaman sistem suria. Seorang lagi saintis, Edwin Hubble mengkaji gerakan galaksi yang membantu manusia memahami konsep pengembangan alam semesta.
Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Mhd. Fairos Asillam berkata
pada era ini, penyelidikan aplikasi menjadi semakin penting termasuk untuk tujuan komersial.
''Hari ini jutaan manusia di seluruh dunia menggunakan kemajuan hasil dari penyelidikan astronomi dan sains angkasa untuk meningkatkan kualiti harian mereka tanpa mereka sedari.
Kejayaan melancarkan satelit ke angkasa membuktikan Malaysia juga mahu memperoleh faedah daripada teknologi tersebut yang dikuasai negara maju.
''Angkasa ialah suatu bidang yang mengujakan dari segi penyelidikan dan pembangunan teknologi baru serta sarat dengan misteri yang yang tidak ada batasannya (full of endless possibility) .
''Sumbangan bidang sains angkasa kepada dunia memang tidak dapat dinafikan lagi, kata Mhd. Fairos.
Abad ini akan menjanjikan banyak lagi penemuan ilmu pengetahuan baru dan spin off atau limpahan daripada penyelidikan angkasa yang akan meningkatkan kualiti kehidupan di Bumi," ujarnya.
Kata beliau, sebagai sebuah negara yang progresif dalam bidang sains dan teknologi, Malaysia tidak ketinggalan dan sebaliknya bersama-sama dengan komuniti dunia untuk menjadi sebahagian daripada kejayaan tersebut.
Antara contoh, pemindahan teknologi yang merupakan sebahagian dari hasil penyelidikan astronomi yang boleh dipindahkan teknologinya ialah pembangunan pengesan kamera, teknik pemprosesan imej, komunikasi menggunakan satelit dan pembangunan robotik.
Pada masa sama, banyak kegunaan berkaitan sains angkasa yang dimanfaatkan seperti bidang pertanian yang berguna untuk menentukan musim penanaman dan penyemaian melalui pencerapan dan pemahaman konsep pergerakan Matahari dan bulan untuk perikanan.
Di lautan pula, penentuan pasang-surut air laut dan arah pelayaran (melalui pemahaman gerakan matahari, bulan dan planet. Dalam bidang pertahanan, penggunaan satelit berguna dalam teknologi komunikasi , sistem kawalan bumi, isyarat , navigasi serta, mencari dan menyelamat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: