HIDUNG anda selalu tersumbat akibat selesema.
Hingus anda berwarna kuning dan pekat. Anda juga sering batuk serta
berasa penat dan pening.
Malah, pipi, sekitar mata, tulang atas gigi dan dahi sering berasa
sakit seperti ada sesuatu di dalamnya yang menekan tengkorak anda.
Anda berasa anda diserang demam selesema lalu mengambil ubat selesema
biasa tetapi ia masih tidak mengurangkan kesengsaraan anda.
Akhirnya anda mengheret kaki ke klinik setelah berdepan dengan pening
yang teruk dan selepas diperiksa, doktor menyatakan anda menghidap
sinusitis.
Sampai manakah tahap kesedaran anda? Adakah selepas pening teruk baru
merujuk pada pakar atau masih membiarkannya kerana menganggap ia
hanyalah masalah biasa berpunca daripada cuaca yang tidak menentu?
Ya, sinusitis bukanlah masalah yang membawa maut secara langsung
tetapi ia memberi kesan kepada kehidupan seharian pesakit serta
keyakinan diri.
Bayangkan, bagaimana anda mahu menjadi produktif atau bersemangat
jika sering bersin tidak henti serta berasa pening yang teruk sehingga
menjejaskan kehidupan anda.
Pakar Runding Pembedahan Telinga, Hidung dan Tekak, Kepala dan Leher,
Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Mallina Sivarajasingam berkata, ramai
pesakit yang merujuk kepada pakar selepas melalui saat-saat menyusahkan
itu untuk tempoh lama.
"Selesema biasa akan reda dalam tempoh tiga hari hingga seminggu dan
jika berterusan, berkemungkinan pesakit mempunyai masalah sinusitis.
"Ada sesetengah kes pesakit tidak dapat melakukan pelbagai aktiviti
yang melibatkan perubahan altitud seperti menaiki kapal terbang dan
menyelam skuba disebabkan sakit kepala vakum (vacuum headache) akibat daripada sinusitis.
"Malah, ada yang sampai ke tahap jangkitan pada sinus menyebabkan
adanya polip (ketumbuhan) di dalam hidung, menyukarkan pesakit untuk
bernafas.
"Lagi teruk jika kuman sinusitis merebak ke otak kerana lapisan tulang kepala tidak tebal.
"Sinusitis boleh dirawat sama ada melalui pengambilan ubat-ubatan
terutamanya antibiotik bagi mematikan kuman atau ada kes perlu melakukan
pembedahan sinus," ujarnya.
Apa itu sinusitis Terang Dr. Mallina, orang ramai
sering salah faham dengan istilah sinus. Semua orang mempunyai sinus
iaitu rongga-rongga di dalam tengkorak yang bersambung ke hidung melalui
saluran-saluran yang sangat kecil dan masalah yang dihidapi dipanggil
sinusitis.
Sinus terletak pada bahagian muka iaitu pipi di bawah mata, di antara
dua mata, sedikit di belakang hidung serta turut meliputi bahagian dahi
seseorang.
"Ia berfungsi untuk meringankan tulang di samping memberi resonan
pada vokal dan lendir yang dihasilkan oleh rongga-rongga ini pada setiap
masa disalirkan ke dalam hidung.
"Jangkitan sinusitis atau resdung berlaku apabila salur yang
pengaliran lendir secara semula-jadi itu tersumbat lalu membengkak serta
bernanah di dalamnya," ujar Dr. Mallina.
Terangnya, pesakit akan merasa simptom seakan-akan selesema biasa
tetapi dalam tempoh lama disertai dengan pelbagai simptom lain
terutamanya pening dan sakit pada tulang di wajah iaitu di sekitar mata,
pipi, atas gigi dan dahi.
Sinusitis dibahagikan kepada dua jenis iaitu akut (berlaku dalam tempoh pendek) dan kronik.
PuncaPelbagai punca menyebabkan sinusitis. Punca
yang paling kerap adalah selesema biasa berlanjutan yang tidak dirawat
lalu menyebabkan jangkitan bakteria pada sinus.
Rinitis yang teruk, berulang dan tidak dirawat juga boleh menyebabkan
sinusitis kerana alahan pada hidung akan mengganggu bahagian sinus.
Sinusitis turut boleh berlaku jika pesakit pernah mengalami kecederaan pada tulang hidung atau keretakan pada tengkorak.
Tulang rawan yang bengkok mungkin terkena pada bahagian sinus lalu menyebabkan jangkitan kuman.
Selain itu, apa saja yang mengganggu sistem penyaliran mukus dari sinus akan menyebabkan sinusitis.
Perubahan cuaca sejuk, alahan, masalah sistem imun seperti virus HIV
dan pesakit kanser yang menjalani kimoterapi juga boleh menjadi penyebab
sinusitis.
Rawatan alternatifSinusitis yang lebih dikenali sebagai resdung dalam kalangan orang tempatan sering dikaitkan dengan 'ulat' yang memakan muka.
Pelbagai cara alternatif yang dijalankan bagi mematikan 'ulat resdung
' ini. Antara yang paling terkenal teknik berasap iaitu asap daripada
kertas herba yang dibakar akan disalurkan pada seluruh muka.
Menurut Dr. Mallina, tidak ada masalah jika pesakit mahu berusaha melalui cara alternatif asalkan ia tidak memudaratkan.
Tetapi tegasnya, tiada teknik berasap yang digunakan dalam perubatan
hospital dan dia juga tidak pernah menemui ulat di dalam rongga sinus.
"Apa yang paling hampir dengan teknik berasap tersebut adalah ubat
wap mentol yang mampu melancarkan pernafasan tetapi ia hanya melegakan
untuk sementara.
"Tiada masalah meneruskan rawatan alternatif asalkan tidak
memudaratkan kerana saya percaya ia juga sebagai langkah psikologi untuk
pesakit.
"Namun, saya syorkan pesakit juga mencuba rawatan dengan doktor
kerana ia terbukti dengan kajian yang dijalankan oleh pakar," ujarnya.
Beliau turut menolak andaian yang jerawat berpunca daripada sinusitis
kerana jelasnya, jerawat merupakan jangkitan pada lapisan luar iaitu
kulit manakala sinusitis berada di dalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: